Universiti Awam Sedang Belayar Di Lautan Global Yang Bergelora | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Universiti Awam Sedang Belayar Di Lautan Global Yang Bergelora

Universiti Awam Sedang Belayar Di Lautan Global Yang Bergelora

Mutakhir ini, wacana 'keruntuhan senyap' atau kelumpuhan universiti awam (UA) di negara ini mencetuskan polemik hangat. Pengkritik melabelkan ahli akademik terperangkap dalam birokrasi dan obses petunjuk prestasi utama (KPI) menggambarkan seolah-olah institusi pendidikan tinggi (IPT) mengalami kegagalan sistemik kronik.

Namun, untuk menerima naratif ini secara bulat-bulat tanpa melihat konteks geopolitik pendidikan tinggi dunia adalah satu diagnosis terburu-buru dan kurang cermat.

Apa dialami UA bukan satu penyakit tempatan terpencil, sebaliknya manifestasi tempatan terhadap satu fenomena global jauh lebih besar, iaitu krisis identiti universiti moden pada era neoliberalisme.

Universiti di seluruh dunia dari Oxford di United Kingdom (UK) hingga Melbourne di Australia, sedang bergelut dengan persoalan eksistensial sama; adakah universiti masih berfungsi sebagai gedung ilmu untuk masyarakat atau sudah bertukar menjadi kilang korporat menghasilkan data demi keuntungan dan penarafan?

Tunjang utama kepada ketegangan di UA ialah fenomena yang boleh disifatkan sebagai 'tirani metrik'. Di negara maju, universiti sudah lama terjebak dalam perlumbaan 'senjata' akademik dipacu badan penarafan global seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE).

Di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, budaya publish or perish (terbit atau sirna) mencapai tahap kritikal. Kelangsungan kerjaya seseorang sarjana tidak lagi dinilai berdasarkan kualiti pemikiran atau impak kemasyarakatan nyata, tetapi diukur secara kuantitatif melalui bilangan artikel dalam jurnal berimpak tinggi dan jumlah sitasi (H-index).

Tekanan ini memaksa ahli akademik global untuk menjadi 'pengeluar makalah' secara pukal, sering kali mengorbankan integriti dan kedalaman ilmu demi mengejar angka.

Oleh itu, apabila UA di Malaysia dikritik kerana terlalu memuja KPI, kita perlu sedar Malaysia tidak mencipta peraturan permainan ini. Universiti kita dipaksa untuk 'bermain' mengikut standard antarabangsa agar kekal relevan dan tidak dipandang sepi oleh komuniti global.

Kegagalan mengejar KPI bermakna kejatuhan dalam ranking, seterusnya menjejaskan kebolehpasaran siswazah dan kemasukan pelajar antarabangsa. Justeru, apa dilihat sebagai 'tekanan KPI' di negara ini sebenarnya adalah tindak balas defensif institusi kita terhadap hegemoni sistem pendidikan tinggi global.

Kritikan kedua yang sering dilemparkan ialah UA di negara ini 'lumpuh' akibat birokrasi dan hierarki tebal. Namun, jika diteliti landskap antarabangsa, fenomena ini dikenali sebagai administrative bloat atau pengembangan pentadbiran berlebihan yang menjadi ciri utama universiti korporat moden di Barat.

Di universiti terkemuka dunia, nisbah pentadbir kepada ahli akademik semakin melebar. Universiti kini diuruskan persis syarikat multinasional gergasi, dengan lapisan pengurusan, pematuhan audit dan tatakelola kewangan ketat. Ini menjadikan universiti kurang lincah dan mewujudkan jurang antara pengurusan atasan dengan ahli akademik di lapangan.

Dalam konteks Malaysia, apa ditafsirkan sebagai 'birokrasi mematikan' sebenarnya adalah sebahagian 'budaya audit' (audit culture) yang diimport daripada amalan pengurusan awam baharu (new public management).

Ia bertujuan memastikan akauntabiliti dana awam. Hujah UA Malaysia 'hilang jiwa' kerana birokrasi perlu ditimbang tara dengan keperluan untuk menjaga ketelusan. Struktur hierarki dan budaya berhati-hati dalam bersuara bukanlah tanda kelumpuhan, tetapi mekanisme semak dan imbang dalam organisasi gergasi menggunakan wang rakyat.

Di negara maju, ketiadaan kawalan ketat inilah yang kadangkala menyebabkan skandal kewangan dan penyalahgunaan kuasa di institusi swasta mereka.

Isu sistemik, bukan kegagalan moral individu

Tidak dinafikan, isu integriti akademik seperti manipulasi data dan plagiarisme adalah barah perlu dirawat. Namun, meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu ahli akademik Malaysia adalah tidak adil.

Pada peringkat global, tekanan sistemik untuk menghasilkan output mustahil mewujudkan pasaran gelap akademik seperti 'kilang jurnal' (paper mills) dan jurnal pemangsa.

Malah, universiti tersohor dunia seperti Harvard dan Stanford baru-baru ini turut digegarkan dengan skandal integriti penyelidikan membabitkan pimpinan tertinggi mereka. Ini membuktikan apabila sistem meletakkan KPI di atas etika, pelanggaran integriti akan berlaku di mana-mana sahaja.

Namun bezanya di Malaysia, seperti ditegaskan Prof Datuk Dr Md Amin dan Prof Dr Ahmad Martadha, wujudnya tindak balas institusi yang konkrit. Langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juruaudit bertauliah dalam Lembaga Pengarah Universiti (LPU) adalah satu langkah radikal jarang dilakukan di negara lain.

Ia menunjukkan Malaysia tidak menafikan isu ini, sebaliknya menanganinya secara struktural. Ini adalah tanda sistem sedang 'memperbetulkan diri' (self-correcting), bukan sistem sedang lumpuh.

Melihat kepada hujah di atas, naratif UA Malaysia sedang mengalami 'keruntuhan senyap' adalah satu pandangan terlalu pesimistik dan tidak berpaksikan data perbandingan. Apa sedang berlaku ialah UA Malaysia sedang melalui fasa transisi menyakitkan (painful transition).

Kita sedang bergerak daripada model universiti tradisional santai kepada model universiti berprestasi tinggi yang kompetitif pada peringkat global. Dalam proses ini, ketegangan antara autonomi akademik dengan akauntabiliti awam pasti akan berlaku. Namun, UA masih berfungsi dengan baik sebagai ejen mobiliti sosial, pusat penyelidikan negara dan benteng peradaban bangsa.

Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 yang sedang dirangka adalah bukti kerajaan sedar cabaran ini dan bersedia melakukan reset atau penataan semula strategik. Ini bukan ciri institusi lumpuh, tetapi organisasi pembelajaran yang sedang beradaptasi dengan persekitaran era VUCA, iaitu ketidakstabilan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity).

Hakikatnya, UA di Malaysia tidaklah lumpuh tetapi sedang berdiri di tengah-tengah ribut perubahan global melanda seluruh dunia akademik. Cabaran dihadapi daripada tekanan KPI, birokrasi dan integriti, adalah simptom kepada penyakit sistemik global, bukan kegagalan unik Malaysia.

Malah, dengan kerangka kawal selia ketat dan usaha pemantauan berterusan oleh KPT, Malaysia mungkin berada di landasan lebih stabil berbanding sesetengah negara yang membiarkan pasaran bebas menentukan hala tuju pendidikan mereka sepenuhnya.

Kritikan adalah perlu sebagai ubat mujarab, namun ia harus membina dan berpaksikan realiti bahawa kita sedang membina kapal sambil belayar di lautan global yang bergelora.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi

Sumber: bharian.com.my (9 Januari 2026)

Date of Input: 13/01/2026 | Updated: 13/01/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (10:13:46am-10:18:46am, 21 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]