
Tanggal 13 Mei 1969 kekal terpahat sebagai antara episod paling hitam dalam sejarah negara. Peristiwa rusuhan kaum di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 bukan sahaja meragut nyawa, bahkan meninggalkan trauma sosial dan politik panjang kepada masyarakat Malaysia.
Secara rasmi, tragedi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 196 nyawa, manakala ribuan lagi cedera, kehilangan tempat tinggal dan terkesan secara psikologi.
Walaupun lebih lima dekad, tragedi itu tidak boleh dilihat sekadar catatan sejarah kerana ia peringatan keamanan sesebuah negara majmuk tidak datang secara automatik, sebaliknya perlu dipelihara melalui pendidikan, sikap saling menghormati dan penghayatan nilai kemanusiaan.
Dalam konteks Malaysia hari ini yang mempunyai lebih 34 juta penduduk pelbagai kaum dan agama, cabaran perpaduan semakin kompleks dalam era media sosial, politik digital dan penyebaran maklumat tanpa sempadan.
Peristiwa 13 Mei berlaku dalam suasana ketegangan politik dan hubungan kaum rapuh selepas keputusan pilihan raya. Pelbagai faktor seperti jurang ekonomi, sentimen perkauman, provokasi politik dan kegagalan komunikasi antara masyarakat menjadi pencetusnya. Banyak kajian akademik menyatakan ketegangan kaum sudah lama terbina akhirnya meledak dalam bentuk keganasan terbuka.
Namun, sejarah tidak seharusnya dibaca untuk mencari pihak bersalah semata-mata, sebaliknya dijadikan cermin untuk membina masa depan lebih matang dan harmoni. Dalam hal ini, al-Quran memberikan prinsip asas yang sangat penting dalam membina hubungan antara manusia berbeza bangsa dan budaya seperti ayat ke-13 surah al-Hujurat: "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita; dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang paling bertakwa."
Islam tidak menolak kepelbagaian kaum, bahkan mengiktirafnya sebagai sebahagian sunnah Allah SWT. Perbezaan bangsa bukan alasan untuk bermusuhan, tetapi asas saling mengenali, memahami dan bekerjasama.
Malangnya, dalam dunia digital, sentimen perkauman semakin mudah disebarkan. Kata-kata kebencian, stereotaip kaum dan penghinaan agama boleh tersebar hanya dengan satu klik.
Lebih membimbangkan, sebahagian generasi muda mula melihat isu perkauman sebagai bahan hiburan atau jenaka tanpa memahami kesan sejarah pernah berlaku, sedangkan tragedi 13 Mei membuktikan ucapan kebencian tidak dikawal mampu menghancurkan keharmonian kaum dan keamanan negara.
Justeru, generasi muda perlu dididik supaya memahami keamanan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa, tetapi tanggungjawab setiap warganegara. Sikap saling menghormati, toleransi dan empati mesti dipupuk sejak awal melalui pendidikan keluarga, sekolah dan masyarakat.
Hakikatnya, Malaysia hari ini jauh lebih kompleks berbanding 1969. Teknologi digital mengubah cara manusia berinteraksi. Maklumat bergerak pantas tanpa sempadan. Dalam keadaan ini, perpaduan tidak lagi boleh bergantung kepada slogan semata-mata, tetapi mesti dibina melalui kesedaran sivik dan literasi digital yang matang.
Usah terpengaruh provokasi perkauman
Masyarakat perlu belajar menilai maklumat secara kritikal dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi berunsur perkauman dan sentimen politik sempit.
Di sinilah pentingnya konsep tabayyun dalam Islam, iaitu menyelidik dan memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya. Firman Allah SWT dalam ayat ke-6 surah al-Hujurat menegaskan setiap berita diperiksa terlebih dahulu agar tidak membawa mudarat kepada orang lain. Dalam era media sosial, prinsip ini semakin penting kerana banyak konflik bermula daripada berita palsu dan manipulasi sentimen.
Rasulullah SAW juga memberikan panduan sangat signifikan mengenai keamanan sosial dalam masyarakat majmuk. Baginda bersabda: "Sebarkanlah salam sesama kamu." (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini sering difahami secara literal sebagai memberi salam, tetapi maknanya jauh lebih luas. Perkataan salam berasal daripada akar kata membawa maksud keamanan, kesejahteraan dan keselamatan. Oleh itu, menyebarkan salam sebenarnya bermaksud menyebarkan keamanan dan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.
Ketika Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah, Baginda hidup bersama masyarakat pelbagai kaum dan agama termasuk Yahudi, Arab dan kelompok bukan Islam lain. Piagam Madinah diperkenalkan Rasulullah SAW dianggap antara dokumen sosial terawal yang mengiktiraf hak hidup bersama secara aman dalam masyarakat majmuk. Ini menunjukkan Islam sangat menekankan prinsip hidup bersama secara harmoni tanpa menafikan identiti masing-masing.
Dalam konteks Malaysia hari ini, semangat Piagam Madinah amat relevan. Rakyat Malaysia boleh berbeza agama, budaya dan bahasa, tetapi tetap berkongsi tanggungjawab mempertahankan keamanan negara. Perpaduan tidak bermaksud menyeragamkan semua orang, tetapi membina kesediaan untuk hidup bersama secara hormat dan beradab.
Aspek ekonomi dan pendidikan juga memainkan peranan besar dalam memperkukuh perpaduan. Kajian menunjukkan jurang sosial dan ekonomi boleh menjadi faktor ketegangan antara masyarakat.
Selepas tragedi 13 Mei, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Walaupun dasar berkenaan mempunyai pelbagai perdebatan, matlamat utama adalah memastikan kestabilan sosial melalui pengagihan peluang ekonomi lebih seimbang.
Hari ini, cabaran perpaduan bukan sahaja berkaitan ekonomi, tetapi persepsi dan komunikasi antara kaum. Banyak generasi muda hidup dalam kelompok sosial terpisah mengikut kaum dan bahasa. Ada membesar tanpa benar-benar memahami budaya masyarakat lain. Keadaan ini boleh melahirkan stereotaip dan prasangka yang akhirnya merosakkan keharmonian sosial.
Oleh itu, institusi pendidikan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membina interaksi antara kaum. Program kesukarelawanan, aktiviti komuniti dan dialog antara budaya perlu diperluas supaya generasi muda dapat belajar memahami realiti masyarakat Malaysia secara lebih dekat. Pendidikan bukan sekadar proses akademik, tetapi proses membina manusia mampu hidup bersama secara beradab.
Pemimpin politik dan tokoh masyarakat juga perlu menunjukkan teladan. Retorik perkauman demi kepentingan politik hanya akan menghidupkan kembali luka lama masyarakat. Sejarah membuktikan api perkauman sangat mudah dinyalakan tetapi amat sukar dipadamkan. Oleh itu, setiap pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam ucapan dan tindakan mereka.
Peranan media juga sangat penting. Media sepatutnya menjadi jambatan perpaduan, bukannya alat provokasi. Dalam era digital, masyarakat perlu dididik supaya tidak menjadi 'kilang penyebar kebencian' melalui komen, hantaran dan perkongsian yang menghina kaum atau agama lain.
Tragedi 13 Mei seharusnya menjadi pengajaran bahawa kebencian kaum tidak membawa kemenangan kepada sesiapa. Yang menang hanyalah kehancuran, ketakutan dan penyesalan. Sebaliknya, perpaduan dan saling menghormati akan melahirkan masyarakat yang lebih kuat dan stabil.
Malaysia tidak memerlukan generasi mewarisi prasangka lama, tetapi mereka yang mampu membina masa depan bersama dengan semangat saling menghormati, keadilan dan kemanusiaan.
Penulis adalah Penolong Pengarah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Sumber: bharian.com.my (13 Mei 2026)
Date of Input: 13/05/2026 | Updated: 13/05/2026 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia