Curi Kabel Jenayah Sabotaj Negara Tuntut Tindakan Tegas | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Curi kabel jenayah sabotaj negara tuntut tindakan tegas

Curi kabel jenayah sabotaj negara tuntut tindakan tegas

Apabila penjenayah mencuri kabel di landasan dan jalan raya kita, mereka bukan sekadar mencuri tembaga, tetapi mempertaruhkan keselamatan awam dan kemajuan negara. Kecurian kabel boleh disifatkan sebagai satu bentuk sabotaj tidak lagi boleh dianggap sebagai jenayah biasa di Malaysia.

Apabila kabel membekalkan kuasa kepada sistem rel, rangkaian komunikasi dan infrastruktur tenaga menjadi sasaran, kesannya adalah melebihi kerugian kewangan semata-mata.

Tindakan ini mengganggu kehidupan harian, membahayakan keselamatan awam serta menjejaskan berbilion ringgit pelaburan diperuntukkan untuk memodenkan infrastruktur negara. Sudah terlalu lama kes kecurian kabel ini dianggap sebagai jenayah harta benda biasa.

Namun, kesan sebenarnya adalah jauh lebih serius. Satu kabel dicuri boleh menghentikan perkhidmatan rel, melewati ribuan penumpang dan mendedahkan pengguna kepada risiko tinggi.

Kerja pembaikan pula senantiasa kompleks dan memakan masa serta sering memaksa operator menghentikan operasi sementara juruteknik mengesan dan memulihkan sistem yang rosak.

Kelewatan membawa kos tersembunyi sering diabaikan, iaitu masa. Individu terlepas janji temu, perniagaan kehilangan produktiviti dan operasi komersial terganggu. Dalam ekonomi hari ini, masa adalah antara aset paling berharga.

Dalam banyak industri seperti pembinaan dan pembuatan, gangguan operasi diukur melalui petunjuk seperti 'Lost Time Injury' (LTI), yang mana itu menjadi sebab organisasi melabur besar dalam pengurusan risiko keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Kecurian kabel jarang berlaku secara terpencil atau berdasarkan peluang. Ia sering membabitkan rantaian aktiviti yang lebih luas. Daripada mereka mencabut kabel, kepada orang tengah mengangkut atau mengumpulkan bahan curi, sehingga kepada pembeli memasukkannya ke dalam pasaran besi buruk dan kitar semula.

Bagi menangani masalah ini dengan berkesan, keseluruhan rantaian bekalan ini perlu dipetakan bagi menghasilkan risikan yang boleh digunakan untuk pendakwaan.

Pendekatan ini bukan sesuatu yang baharu dalam penguatkuasaan undang-undang. Siasatan moden semakin menumpukan kepada pemusnahan rangkaian, bukan sekadar menangkap pelaku di peringkat bawahan.

Oleh itu, beberapa langkah praktikal wajar dipertimbangkan antaranya:

  • Peruntukan undang-undang lebih kukuh khusus untuk sabotaj infrastruktur boleh memberi isyarat jelas jenayah mengancam keselamatan awam akan ditangani dengan sangat serius.
  • Pemantauan lebih ketat terhadap transaksi besi buruk dapat mengurangkan ruang penjenayah menukar bahan curi kepada keuntungan. Ketelusan dalam rantaian kitar semula amat penting bagi memutuskan insentif jenayah ini.
  • Operator infrastruktur mungkin perlu menggunakan teknologi mengenal pasti dan pemantauan aset moden bagi membantu siasatan serta memperkukuh pencegahan.

 

Lindungi infrastruktur negara

Pada masa sama, dialog berterusan antara pembuat dasar, pihak penguat kuasa, industri dan masyarakat amat penting. Kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mencerminkan kebimbangan kerajaan terhadap insiden kecurian kabel menjejaskan perkhidmatan rel.

Kebimbangan ini wajar dijadikan titik permulaan kepada perbincangan nasional lebih menyeluruh. Jenayah tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya.

Namun, dengan kepemimpinan tegas, undang-undang berkesan dan penguatkuasaan bersepadu, ia boleh dikurangkan ke tahap terkawal selaras dengan standard keselamatan awam dan pembangunan negara.

Akhirnya, perlindungan terhadap infrastruktur negara mesti dilihat sebagai tanggungjawab bersama. Apabila penjenayah mengganggu sistem menggerakkan kereta api, komunikasi dan tenaga, kesannya dirasai setiap rakyat.

Malaysia sememangnya mempunyai keupayaan membanteras jenayah ini. Agensi penguat kuasa membuktikan melalui operasi berfokus rangkaian jenayah terancang boleh dibongkar dan ditumpaskan.

Apa yang diperlukan kini ialah keazaman kolektif merentasi kerajaan, industri dan masyarakat untuk bertindak secara tegas dan konsisten melindungi infrastruktur menjadi asas keselamatan dan kemajuan negara.

Penulis adalah Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

Sumber: bharian.com.my (22 April 2026)

Date of Input: 13/05/2026 | Updated: 13/05/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
W, (01:07:58am-01:12:58am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]