Remaja Perlu Tolak Kandungan Lucah Di Media Sosial | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Remaja perlu tolak kandungan lucah di media sosial

Remaja perlu tolak kandungan lucah di media sosial

Kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial secara meluas dalam kalangan remaja diakui banyak memberi manfaat kepada proses komunikasi dan pembelajaran. Namun, perkembangan itu turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk penyalahgunaan, termasuk perbuatan berkongsi kandungan atau gambar lucah sesama rakan sebaya menerusi aplikasi media sosial.

Apa yang membimbangkan, perbuatan itu semakin dianggap biasa atau dianggap sekadar gurauan dalam kelompok mereka sedangkan ia bertentangan nilai agama, moral dan undang-undang negara. Lebih mengecewakan apabila ada remaja perempuan menjadi mangsa gangguan digital dengan menerima gambar tidak senonoh daripada kenalan lelaki.

Perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau dinormalisasikan. Gadis tidak boleh lagi berdiam diri dan menganggap ia perkara remeh kerana ia akan menggalakkan pelaku mengulangi perbuatan sama.

Penerima kandungan lucah perlu berani menolak perlakuan tidak beradab ini dengan tegas dan tidak menganggap ia sebagai bahan gurauan.

Pada masa sama, remaja perlu dididik supaya memahami tindakan berkongsi gambar atau video lucah bukan sekadar kesalahan moral, bahkan boleh membawa implikasi undang-undang serius.

Ramai pelajar masih tidak sedar perbuatan menghantar, menyimpan atau menyebarkan kandungan lucah boleh disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk kesalahan komunikasi tidak senonoh dan penyebaran bahan lucah menerusi medium digital.

Justeru, pendidikan berkaitan keselamatan digital dan etika penggunaan media sosial perlu diperkasakan di sekolah. Guru kaunseling, pentadbir serta ibu bapa perlu memainkan peranan aktif memberi kefahaman kepada pelajar mengenai batas pergaulan, privasi dan risiko jenayah siber.

Pendidikan ini tidak seharusnya bersifat bermusim atau sekadar kempen sementara, sebaliknya dijadikan sebahagian daripada usaha berterusan membentuk sahsiah pelajar.

Sekolah boleh menganjurkan program literasi digital lebih praktikal dengan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kesan psikologi terhadap mangsa, implikasi undang-undang kepada pelaku serta kepentingan menghormati maruah individu lain.

Pada masa sama, ibu bapa perlu lebih peka terhadap aktiviti anak di media sosial. Pengawasan dan komunikasi terbuka dengan anak amat penting untuk membantu remaja berkongsi masalah dihadapi tanpa rasa takut atau malu. Anak juga perlu diyakinkan mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual dalam talian.

Sekiranya menerima kandungan lucah, remaja tidak sepatutnya memendam perkara itu sendirian. Aduan perlu dibuat kepada ibu bapa, guru atau pihak berkuasa bagi mengelakkan perlakuan itu terus berulang.

Kita perlu bersama-sama menolak budaya songsang ini. Media sosial seharusnya menjadi medium membina ilmu dan hubungan sihat, bukan tempat menyebarkan kandungan tidak bermoral yang boleh merosakkan pemikiran serta masa depan generasi muda.

Sumber: bharian.com.my (8 Mei 2026)

Date of Input: 13/05/2026 | Updated: 13/05/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
W, (12:06:54am-12:11:54am, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]