Tips Beraya Dengan Selamat | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Tips Beraya Dengan Selamat

Tips Beraya Dengan Selamat

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tak lama lagi. Umat Islam pastinya sangat teruja untuk menyambut lebaran setelah dua tahun tidak dapat beraya gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. 

Cuti panjang sempena Aidilfitri kali ini pasti akan dimanfaatkan sebaiknya masyarakat khususnya umat Islam untuk pulang beraya ke kampung halaman. Namun, aspek keselamatan harta benda dan kediaman perlu dititikberatkan bagi mengelak risiko kecurian dan kebakaran. 

Seperti sudah menjadi kelaziman apabila tibanya musim perayaan, kes kecurian dan kebakaran meningkat dengan jumlah kes dilaporkan lebih tinggi berbanding kebiasaan. Kes-kes seperti ini berlaku kerana ramai yang masih cuai dalam aspek keselamatan kediaman.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berwaspada sebelum bergerak pulang ke kampung. Ini antara perkara yang perlu diberi perhatian:- 

1. Elak Tinggalkan Barang-barang Berharga

Tidak kira anda pulang ke kampung sekejap atau pun lama, anda dinasihatkan untuk tidak meninggalkan barang-barang berharga seperti komputer riba, barang kemas, wang tunai dan sebagainya. 

Sebaiknya, bawa barangan berharga ini pulang bersama anda. Ini kerana, berdasarkan statistik rekod jenayah pecah rumah dan kecuriannya biasanya mencatatkan peningkatan terutamanya apabila tiba musim perayaan. 

2. Tutup Punca Kuasa Elektrik

Sebelum pulang ke kampung, pastikan semua suis perkakas elektrik di rumah anda ditanggalkan daripada soket. Langkah ini penting bagi mengelakkan berlakunya insiden litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran. Langkah ini juga boleh menjimatkan kadar penggunaan elektrik. 

Selain itu, jika anda menggunakan tong gas di dapur, anda dinasihatkan untuk menanggalkan kepala tong gas terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kebakaran daripada berlaku. 

3. Kunci Pintu dan Tingkap

Tidak kira sama ada pulang ke kampung beraya atau kemana sahaja, pastikan anda sentiasa mengunci pintu dan tingkap anda setiap kali anda keluar rumah. Pastikan pintu utama dan pintu belakang rumah anda dikunci dan dan dilengkapi dengan sistem kunci yang berguna.

Rumah-rumah di Malaysia dilengkapi dengan jeriji keselamatan pada pintu dan tingkap rumah. Anda juga diingatkan untuk memastikan ia berkunci. Selain itu, anda dinasihatkan untuk mengelakkan daripada menyembunyikan atau menyimpan kunci pendua rumah anda di lokasi-lokasi yang mudah dibaca seperti di dalam pasu, di bawah alas kaki atau di dalam rak kasut di luar rumah.

4. Maklumkan Pada Jiran

Untuk memastikan keselamatan kediaman anda terjamin, anda dinasihatkan untuk memaklumkan ketiadaan anda kepada jiran untuk menjaga kediaman anda sepanjang ketiadaan anda. Begitu juga dengan balai polis berdekatan dengan mengisi borang yang disediakan. Pihak polis akan melakukan rondaan secara berkala sepanjang ketiadaan anda sekali gus membantu menjaga keselamatan kediaman yang ditinggalkan.

5. Pastikan Kenderaan Diperiksa

Berdepan dengan kerosakan kereta di tengah lebuh raya adalah mimpi ngeri bagi semua pemandu. Oleh itu, selain keselamatan kediaman, kenderaan pulang ke kampung juga perlu diperiksa. Pastikan kenderaan anda diselenggara dengan baik. Ini dapat mengurangkan risiko kemalangan dan kerosakan sepanjang perjalanan.

6. Pemeriksaan Kendiri Covid-19

Akhir sekali, pastikan anda dan keluarga melakukan pemeriksaan kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung. Perkara ini penting dilakukan supaya anda dan keluarga dapat beraya kesihatan yang terjaga.

Pastikan juga anda kerap menggunakan pembersih tangan ketika bersalam-salaman dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Sumber: qoala.my (29 April 2022)

Date of Input: 07/04/2023 | Updated: 07/04/2023 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
SXFUOA0~