
Malaysia dibina atas asas persefahaman, toleransi dan semangat kebersamaan dipersetujui pengasas negara sejak sebelum kemerdekaan.
Dalam sebuah negara terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, kestabilan serta kemakmuran hanya dapat dicapai apabila setiap pihak menghormati semangat Perlembagaan, institusi negara dan nilai kebersamaan menjadi asas pembentukan Malaysia.
Sebagai negara majmuk, Malaysia mempunyai identiti tersendiri berteraskan budaya bangsa Melayu sebagai tunjang pembinaan negara bangsa.
Pada masa sama, kepelbagaian kaum dan budaya diraikan sebagai kekuatan menyumbang kemajuan negara. Formula ini terbukti berjaya selama beberapa dekad apabila rakyat pelbagai latar belakang dapat hidup aman, saling menghormati dan bekerjasama membangunkan negara.
Dalam konteks politik semasa, setiap parti mempunyai hak menentukan pendirian serta hala tuju masing-masing. Keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik tidak seharusnya dilihat melalui lensa perkauman atau kebencian terhadap sesuatu kaum.
Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai satu keputusan politik dibuat berdasarkan prinsip, nilai dan pertimbangan terhadap kepentingan jangka panjang masyarakat serta negara.
Apa yang lebih penting ialah memastikan politik negara tidak terjerumus ke dalam budaya boleh menimbulkan ketegangan antara kaum. Sebarang pendekatan berpotensi menghakis kepercayaan antara masyarakat perlu dielakkan.
Rakyat hari ini menginginkan kepemimpinan mampu menyatukan, bukan memecahkan di samping membina persefahaman, bukan memperbesarkan perbezaan.
Di Johor, semangat kebersamaan diwarisi sejak era kemerdekaan terus menjadi pegangan utama kepemimpinan negeri. Pendekatan menitikberatkan kestabilan politik, keharmonian kaum dan pembangunan ekonomi membantu mewujudkan suasana kondusif untuk lapisan masyarakat.
Kejayaan ini bukan sahaja dinikmati satu kaum tertentu, malah dirasai seluruh rakyat Johor tanpa mengira latar belakang.
Masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai kaum lain dapat menjalani kehidupan dengan aman dan selesa hasil daripada dasar mengutamakan keseimbangan serta kepentingan bersama.
Inilah antara faktor menjadikan Johor sebagai contoh bagaimana negeri majmuk boleh ditadbir dengan baik tanpa mengabaikan identiti asal dan nilai teras menjadi asas pembinaannya.
Keharmonian dinikmati hari ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia hasil usaha berterusan pelbagai pihak sentiasa mengutamakan perpaduan dan mengelakkan politik boleh mencetuskan perpecahan.
Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab semua pihak mempertahankan suasana harmoni dibina sekian lama demi kesejahteraan generasi akan datang.
Institusi Raja-Raja Melayu memainkan peranan amat penting sebagai payung kepada seluruh rak- yat. Di Johor khususnya, Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor sentiasa menekankan kepentingan menjaga keharmonian antara kaum, memperkukuh perpaduan rakyat serta memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati semua secara adil.
Titah dan pandangan dizahirkan institusi diraja sentiasa mengingatkan pemimpin tanggungjawab mentadbir bukan sekadar mengejar pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan hubungan antara masyarakat sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan saling menghormati.
Nilai ini perlu terus dijadikan panduan dalam setiap dasar dan keputusan dibuat. Pada akhirnya, kekuatan Malaysia bukan terletak pada persamaan dimiliki rakyatnya, tetapi kemampuan rakyat hidup bersama dalam kepelbagaian.
Budaya bangsa Melayu sebagai teras negara, digabungkan dengan semangat hormat-menghormati antara kaum, adalah formula membolehkan Malaysia berkembang sebagai negara aman dan stabil.
Justeru, semua pihak perlu terus mengutamakan politik perpaduan, mengelakkan retorik boleh mengeruhkan hubungan antara masyarakat serta memperkukuh semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat.
Dengan berpegang kepada prinsip kebersamaan, kesederhanaan dan hormat terhadap institusi negara, Malaysia akan kekal sebagai negara majmuk aman, makmur dan dihormati.
Penulis adalah Penaung Briged Negaraku
Sumber: bharian.com.my (11 Jun 2026)
Date of Input: 22/06/2026 | Updated: 22/06/2026 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia