Tindakan Tegas Elak Provokasi Dan Penghinaan Institusi Raja | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC) apsec
» ARTICLE » Tindakan tegas elak provokasi dan penghinaan institusi raja

Tindakan tegas elak provokasi dan penghinaan institusi raja

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan. Prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah perisai keselamatan nasional bukan bersifat ketenteraan.

Namun kini, konsep waadat, daulat, ini dipandang enteng segelintir masyarakat. Waadat ialah rakyat berjanji taat setia kepada raja, manakala raja pula wajib berlaku adil dan menjaga kebajikan rakyat. Daulat pula sesuatu yang tidak kelihatan sifatnya dan sering ditentang dengan sikap derhaka.

Bagaimanapun, mutakhir ini kes menghina institusi beraja sangat ketara sehingga membimbangkan pelbagai pihak. Perkara ini tidak boleh digeneralisasikan kepada seluruh rakyat kerana majoriti masyarakat masih menghormati sistem Raja Berperlembagaan dan institusi kesultanan.

Terdapat beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca perkara ini semakin meruncing antaranya, pengaruh media sosial membuka ruang kepada sesiapa sahaja memberi pandangan tanpa batasan.

Media sosial menjadi lubuk penyebaran fitnah, menggunakan bahasa kasar dan kesat serta mempertikaikan institusi raja secara terbuka.

Tambahan pula kadangkala institusi raja sering dikaitkan dengan polemik politik semasa. Penghormatan terhadap institusi beraja terjejas apabila rakyat terlalu emosi dan wujud budaya mempertikai tanpa memahami bidang kuasa Raja Berperlembagaan.

Sungguhpun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan bersuara, ia tidak bermakna memberi hak mutlak kepada sesiapa sahaja menghina dan memperlekehkan 'Payung Negara'.

Selain itu, kurangnya penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara mengakibatkan nilai hormat terhadap pemimpin, institusi negara dan simbol kedaulatan semakin terhakis.

Ketandusan nilai murni dan adab seiring dengan budaya global dan pemikiran liberal, menganggap institusi tradisional ini tidak lagi relevan tanpa memahami fungsi raja dalam konteks Malaysia.

Bagi mengembalikan rasa hormat, taat dan tanggungjawab terhadap institusi beraja ini, ia perlu dilakukan dengan memperkukuhkan pengetahuan berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan peranan Raja Berperlembagaan.

Selain itu, kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas untuk mengelak provokasi, penghinaan dan hasutan demi menjaga keharmonian negara bangsa.

Kempen cintakan negara perlu diperluaskan untuk menghidupkan semula nilai patriotisme dan rasa bangga terhadap negara.

Jika institusi raja dipandang rendah secara berterusan, ia boleh mencetuskan ketegangan sosial, menggugat perpaduan antara kaum dan melemahkan semangat patriotisme.

Apa yang penting, rakyat perlu cakna institusi beraja kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Isu menghina raja perlu ditangani secara tegas, adil dan berhikmah supaya waadat ini terus dipelihara bagi menjamin keselamatan nasional.

Siti Nor Zakiah Saidi
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia

Sumber: bharian.com.my (19 Mei 2026)

Date of Input: 22/06/2026 | Updated: 22/06/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
W, (11:51:54am-11:56:54am, 09 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]