Rukun Negara Bukan 'dokumen Mati', Tetapi Roh Pentadbiran Negara | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Rukun Negara bukan 'dokumen mati', tetapi roh pentadbiran negara

Rukun Negara bukan 'dokumen mati', tetapi roh pentadbiran negara

Tahun lalu, negara menyambut ulang tahun ke-55 pengisytiharan Rukun Negara dengan pelbagai program menghayati lima prinsipnya. Kini pada 2026, ia kembali menjadi tajuk utama, bukan hanya sebagai simbol perpaduan, tetapi sebagai teras peringatan kepada pemimpin dan rakyat supaya jangan sesekali melupakan adab, kesetiaan dan keluhuran Perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam perutusan Aidilfitri 2025 bertitah supaya rakyat Malaysia jangan lupa terhadap lima prinsip Rukun Negara yang turut mengandungi prinsip 'Kesopanan dan Kesusilaan'. Baginda dalam titah di Parlimen pada 26 Februari 2024 turut mengingatkan agar berpegang teguh kepada Rukun Negara.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini menitahkan dua wakil rakyat mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor, supaya mereka 'tahu hormat kepada kedaulatan institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan'. Titah itu datang selepas baginda menegur sikap segelintir pemimpin yang dianggap kurang memahami maksud sebenar Rukun Negara dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Sementelah itu, ia mengingatkan kita kepada peringatan bersejarah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada sambutan 50 tahun Rukun Negara di Putrajaya, Ogos 2020. Baginda dengan tegas menitahkan rakyat agar 'roh dan semangat Rukun Negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian', bukan sekadar lafaz di perhimpunan sekolah atau majlis rasmi.

Apa sebenarnya Rukun Negara sehingga ia menjadi rujukan tertinggi institusi Raja? Mengapakah ia kembali relevan pada hari ini?

Rukun Negara tidak lahir dalam suasana damai. Ia digubal daripada kesedihan dan kengerian peristiwa hitam 13 Mei 1969, apabila rusuhan etnik meragut ratusan nyawa dan menggugat asas negara yang baru 12 tahun merdeka.

Ketika Parlimen digantung, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein yang mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MAPEN) dianggotai pelbagai etnik, termasuk wakil orang Melayu, Cina, India serta tokoh akademik.

Hasil rundingan teliti itulah sebagai satu muafakat nasional, maka lahirlah Rukun Negara. Ia diisytiharkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong Keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, pada 31 Ogos 1970, bersempena ulang tahun kemerdekaan ke-13.

MAPEN mengadakan mesyuarat dua kali, iaitu pada 27 hingga 28 Januari 1970 dan buat kali kedua pada 2 hingga 4 Mac 1970. Pada akhir mesyuarat kali kedua ini, ahli MAPEN sebulat suara bersetuju Jawatankuasa Rukun Negara ditubuhkan yang dipengerusikan Tun Tan Siew Sin dan dianggotai 12 tokoh pelbagai bidang.

Lima prinsip Rukun Negara yang kita lafazkan itu bukan sekadar rangkai kata: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Ada mukadimahnya untuk menerap nilai perpaduan, demokratik, adil, sederhana dan progresif.

Inilah 'formulanya'. Seperti titah Al-Sultan Abdullah, prinsip ini adalah formula bagaimana rakyat berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa dapat mengatasi segala perbezaan, seterusnya hidup secara rukun dan damai.

Prinsip pertama meletakkan nilai ketuhanan sebagai teras kerana negara ini menghormati semua kepercayaan. Prinsip kedua menuntut taat setia kepada Raja sebagai payung kedaulatan. Prinsip ketiga dan keempat memastikan Perlembagaan dan undang-undang kekal tertinggi. Prinsip kelima mengikat semua dengan adab dan etika termasuk di dewan rakyat mahupun di ruang media sosial.

Ketika berucap pada 2020, Al-Sultan Abdullah dengan lantang mengingatkan Rukun Negara 'menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada Raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara.

Teguran Sultan Selangor penting

Teguran baginda itu kini seolah-olah bergema semula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Sultan Sharafuddin, yang terkenal dengan pendirian tegasnya, dilihat tidak teragak-agak menegur wakil rakyat yang didapati kurang menghayati prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Mengapa titah Sultan Selangor ini penting? Ini kerana ia membuktikan Rukun Negara bukan dokumen mati. Ia hidup, dan institusi Raja adalah 'pemegang amanah' tertinggi yang memastikan kelima-lima prinsip itu tidak dilanggar, terutama apabila membabitkan kontroversi yang boleh menjejaskan keharmonian etnik atau mempertikai kedudukan istimewa Melayu dan Islam serta hak sah etnik lain.

Persoalannya, cukupkah sekadar menghafal lafaz Rukun Negara? Jawapannya, tidak.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim, baru-baru ini mengingatkan Rukun Negara "bukan sekadar slogan atau hafalan upacara rasmi, sebaliknya adalah asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara."

Bahkan, timbul suara mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan prinsip Rukun Negara sebagai nilai asas kenegaraan yang wajib dihormati dan dipertahankan. Ini kerana 'semakin banyak pihak yang mula mempersoalkan perkara asas berkaitan identiti negara, adab terhadap institusi diraja, perpaduan etnik serta semangat kenegaraan'.

Jika dicapai kata sepakat, langkah ini akan meninggikan martabat Rukun Negara daripada sekadar 'panduan hidup' kepada 'roh pentadbiran negara' yang mengikat semua pihak, termasuk ahli politik, penjawat awam dan rakyat jelata.

Selepas 56 tahun, Rukun Negara kekal sebagai pemadam api terbaik untuk perpaduan Malaysia. Persengketaan etnik pada 1969 harus dijadikan 'sempadan' dalam mengurus keharmonian, agar tragedi hitam itu tidak berulang.

Titah Sultan Selangor baru-baru ini bukanlah untuk memalukan sesiapa, tetapi untuk menyedarkan kita semua: bahawa harga sebuah negara aman itu mahal. Kita membayarnya dengan darah dan air mata pada 13 Mei 1969. Jangan sampai kerana keegoan politik atau kata-kata biadab di media sosial, kita terpaksa membayar harga itu untuk kali kedua.

Rukun Negara adalah perjanjian sosial teragung kita. Hayatilah. Jangan sekadar lafazkan.

Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber: bharian.com.my (25 Mei 2026)

Date of Input: 22/06/2026 | Updated: 22/06/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
W, (02:35:33am-02:40:33am, 25 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]