Dalam mencari penyelesaian isu buli, sukan bela diri dilihat sebagai antara alternatif berkesan untuk melahirkan individu berani dan berkeyakinan. Sukan ini bukan sekadar mengajar seni mempertahankan diri, malah turut menekankan nilai murni seperti disiplin, tanggungjawab, hormat-menghormati serta membina keyakinan dan kekuatan mental.
Halangan paling ketara untuk berjaya di sekolah dan masa hadapan, walaupun dalam keadaan sukar ialah keupayaan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran mencabar atau kritikal dan ia dirujuk sebagai mekanisme ketahanan diri.
Pelajar terbabit dalam kes salah laku remaja mempunyai tahap ketahanan diri rendah dan tidak dapat mengatasi kesukaran mereka sendiri dalam hidup seperti konflik dengan ibu bapa, masalah kewangan dan tekanan rakan sebaya.
Justeru, mereka yang mempunyai ketahanan diri lemah, tidak dapat membuat keputusan dan mendapati ia agak mencabar untuk menangani semua kesukaran. Malah, pelajar mudah hilang minat, enggan membuat perubahan dan menghadapi masalah mengawal kemarahan serta kecewa.
Pembabitan seseorang dalam sukan bela diri seperti silat, taekwondo, karate, wushu, muay thai, tinju atau judo mampu membentuk jati diri yang jitu. Semangat dan keyakinan diri tinggi dapat mencegah individu daripada terus menjadi mangsa buli kerana lazimnya pembuli akan memilih mangsa kelihatan lemah atau mudah dipengaruhi.
Mangsa juga akan dibuli atau dijadikan sasaran pembuli bukan hanya kerana kekurangan dimiliki, tetapi boleh juga berpunca kelebihannya. Dengan ilmu dan pengalaman daripada sukan bela diri, mereka mampu bertindak lebih berani, bukan untuk menyerang, tetapi untuk tidak mudah tunduk terhadap ancaman atau tekanan.
Bijak kawal situasi hadapi provokasi
Nilai disiplin diterapkan juga menjadikan mereka lebih bijak mengawal situasi ketika berhadapan dengan provokasi.
Antara elemen utama dalam sukan bela diri ialah penghormatan kepada diri sendiri, rakan seperjuangan dan lawan. Dalam sukan silat misalnya, sebelum perlawanan bermula, pesilat perlu memberi tanda hormat kepada lawan sebagai simbol persaudaraan. Ini menunjukkan pertarungan adalah untuk pembangunan diri, bukan untuk menindas. Pada akhir perlawanan, tanda hormat sekali lagi diberikan kepada lawan dan juri, menanam nilai hormat sesama manusia serta membina peribadi yang luhur.
Pembabitan dalam sukan bela diri dapat dijadikan sebagai antara medium untuk menyalurkan tenaga ke arah positif. Aktiviti ini melatih individu mengawal emosi dan tenaga dalaman. Teknik pernafasan, kawalan fokus dan ketenangan menjadi asas penting yang perlu dikuasai setiap peserta.
Oleh itu, mereka didedahkan dengan cara yang sihat dan terarah untuk melepaskan tekanan atau mengisi masa terluang. Pendedahan ini juga membantu membentuk hubungan positif dalam komuniti sihat, di samping memupuk semangat persahabatan dan kerjasama berpasukan.
Adalah diharapkan sukan bela diri dapat dijadikan sebagai antara alternatif berkesan dalam usaha membina individu yang berani mempertahankan diri daripada ancaman buli.
Kerjasama pelbagai pihak termasuk pentadbiran sekolah, ibu bapa, kelab, persatuan, alumni dan kerajaan amat penting untuk merealisasikannya. Usaha bersepadu dalam melahirkan 'pejuang' bukan hanya dari segi fizikal, tetapi generasi yang kuat jiwanya, bijak mengawal emosi dan tidak mudah tunduk kepada tekanan sosial.
Penulis adalah Pegawai Belia dan Sukan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Sumber: bharian.com.my (19 Ogos 2025)
Date of Input: 06/11/2025 | Updated: 06/11/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia