Rukun Tetangga Masih Relevan, Tetap Dinamik Menyatukan Komuniti | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC) apsec
» ARTICLE » Rukun Tetangga masih relevan, tetap dinamik menyatukan komuniti

Rukun Tetangga masih relevan, tetap dinamik menyatukan komuniti

Lebih lima dekad lalu, kita melalui satu episod getir menguji perpaduan dan keharmonian rakyat. Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi detik hitam membekas dalam sejarah negara.

Namun, daripada peristiwa inilah lahir kesedaran mendalam bahawa keamanan dan perpaduan bukan sesuatu boleh diambil mudah, sebaliknya mesti dipelihara, diperkukuh dan dipertahankan dengan penuh kesungguhan.

Menerusi kebijaksanaan kepemimpinan negara ketika itu, khususnya Allahyarham Tun Abdul Razak, lahir Rukun Tetangga melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.

Inisiatif ini muncul sebagai langkah strategik membina benteng keselamatan masyarakat serta wadah memperkukuh integrasi rakyat selepas tragedi berkenaan.

Kawasan Rukun Tetangga pertama mula ditubuhkan pada 1974 dengan Kawasan Rukun Tetangga Kampung Baru Macap Baru pada 1 Januari 1974, Kawasan Rukun Tetangga Pekan Alor Gajah pada 2 Januari 1974 dan Kawasan Rukun Tetangga Pekan Masjid Tanah pada 3 Januari 1974.

Dari titik inilah bermula perjalanan panjang Kawasan Rukun Tetangga sebagai institusi rakyat berperanan menjaga keamanan dan keharmonian negara.

Sepanjang lima dekad kewujudannya, Rukun Tetangga mengalami transformasi besar, selari dengan perkembangan negara dan tuntutan zaman. Pada awalnya, Rukun Tetangga berfungsi sebagai mekanisme keselamatan menekankan rondaan wajib bagi memastikan kejiranan berada dalam keadaan terkawal.

Namun, fungsinya tidak terhenti di situ. Menjelang 1980-an, pendekatan Rukun Tetangga berkembang kepada konsep kejiranan menekankan hubungan mesra dan kerjasama sesama jiran.

Perubahan ini terus berlanjutan pada 2001 apabila Rukun Tetangga diberi wajah baharu dengan memperkenalkan konsep pembangunan komuniti, sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat lebih sejahtera dan bersatu padu.

Pada 2010, Model Transformasi Rukun Tetangga dilancarkan bagi menyusun semula peranan Kawasan Rukun Tetangga supaya lebih inklusif dan bersesuaian dengan cabaran semasa.

Evolusi ini mencapai kemuncak pada 2024 apabila Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif, menekankan keupayaan Kawasan Rukun Tetangga bergerak sebagai agen perubahan pada peringkat akar umbi, berdaya saing dalam ekosistem sosial semasa serta mendukung agenda besar Malaysia MADANI.

Hari ini, dengan jumlah 8,529 Kawasan Rukun Tetangga di seluruh negara, institusi ini menjadi tulang belakang kepada usaha kerajaan dalam memupuk semangat kejiranan, memperkukuh perpaduan dan memastikan kesejahteraan komuniti setempat.

Platform integrasi masyarakat

Peranan Kawasan Rukun Tetangga melangkaui bukan sekadar aktiviti rondaan atau gotong-royong, malah berkembang menjadi platform integrasi masyarakat menyatukan rakyat berbilang kaum melalui program kesenian dan kebudayaan, pameran warisan sejarah, sukan rakyat serta pelbagai aktiviti komuniti menghidupkan semangat kebersamaan.

Kawasan Rukun Tetangga juga menjadi wadah penting menyampaikan aspirasi dan dasar kerajaan kepada rakyat. Ia berfungsi sebagai jambatan menghubungkan pentadbiran dengan masyarakat, memastikan suara rakyat didengari, keperluan mereka diambil kira, serta setiap dasar digubal benar-benar menyentuh dan memenuhi realiti kehidupan di peringkat akar umbi.

Namun, timbul juga persoalan adakah Kawasan Rukun Tetangga masih relevan dalam dunia moden yang penuh dengan teknologi dan jaringan media sosial?

Jawapannya, ya. Kawasan Rukun Tetangga kekal relevan kerana mengangkat nilai sejagat yang tidak pernah lapuk ditelan zaman khasnya kepercayaan, kebersamaan dan rasa tanggungjawab terhadap jiran.

Banyak negara maju turut mengekalkan inisiatif kejiranan mereka. Sebagai contoh, di United Kingdom (UK), program Neighbourhood Watch terus berfungsi sebagai platform keselamatan komuniti dengan penyertaan ribuan kawasan kejiranan di seluruh negara.

Di Jepun pula, Koban System yang menghubungkan balai polis mini dengan komuniti setempat menjadi model berkesan dalam membina keyakinan, kerjasama dan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

Kedua-dua contoh ini membuktikan mekanisme kejiranan berstruktur tetap relevan walaupun masyarakat berubah, kerana ia menyentuh aspek paling asas dalam kehidupan iaitu rasa selamat, memiliki dan kebersamaan.

Menginjak usia 50 tahun, Rukun Tetangga terbukti sebagai institusi dinamik, relevan dan terus berfungsi sebagai ejen penyatuan negara.

Aspirasi kita adalah untuk melihat Kawasan Rukun Tetangga terus progresif, digerakkan komuniti setempat dan menjadi medan pembinaan bangsa inklusif, harmoni serta berdaya tahan.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, Rukun Tetangga kekal antara teras penting untuk memastikan perpaduan bukan sahaja diwarisi, tetapi diperkasakan dan diteruskan generasi akan datang.

Sumber: bharian.com.my (29 Ogos 2025)

Date of Input: 06/11/2025 | Updated: 06/11/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (03:07:26am-03:12:26am, 14 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]