Malaysia menyatakan hasrat dan komitmen yang cukup jelas dan berani untuk berada dalam kalangan 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang sembilan tahun lagi.
Namun, dalam mengejar sasaran ini, pendekatan hanya bergantung pada penguatkuasaan dan kawal selia semata-mata tidak akan mencukupi.
Apa yang diperlukan adalah satu strategi yang bukan sahaja membasmi rasuah secara sistemik, tetapi menjadikan integriti sebagai budaya dalam kehidupan masyarakat.
Di sinilah munculnya Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) sebagai pelengkap penting kepada Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) diperkenalkan kerajaan pada 2024 melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jika NACS mewakili pendekatan 'luaran' melalui struktur dan sistem, NIES pula mendekati dimensi 'dalaman' iaitu membentuk nilai, sikap dan budaya berintegriti menolak rasuah dalam diri setiap rakyat.
NACS (2024-2028) diperkenalkan sebagai pelan komprehensif negara dalam memerangi rasuah secara holistik. Ia merangkumi lima strategi utama seperti pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif.
Keberhasilan NACS memperketat ruang manipulasi, mengoptimumkan sistem serta meningkatkan ketelusan adalah nyata. Namun, kesan NACS secara langsung kepada CPI agak terbatas sekiranya persepsi umum masih melihat rasuah sebagai satu 'kebiasaan'.
Di sinilah CPI sebagai petunjuk global berfungsi bukan hanya mengukur bilangan kes rasuah disiasat tetapi menilai keyakinan awam dan antarabangsa terhadap ketelusan pentadbiran sesebuah negara.
Maka, walaupun ada peningkatan dalam penguatkuasaan, jika rakyat dan pelabur masih meragui integriti dan tadbir urus negara, CPI tidak akan melonjak. Persepsi itu memerlukan intervensi lebih halus iaitu budaya dan nilai diperjuangkan menerusi Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES).
NIES menyemai nilai menyeluruh
NIES yang sedang dibangunkan Institut Integriti Malaysia (IIM) membawa pendekatan lebih menyeluruh dari segi pembangunan nilai. Ia menyasarkan pembentukan budaya integriti sejak usia awal, di rumah, sekolah, tempat kerja, institusi agama, komuniti digital sehingga ke pentas kepemimpinan.
NIES tidak menunggu kes rasuah berlaku untuk bertindak. Ia mendidik perbuatan rasuah ditolak dari awal, bukan kerana takut ditangkap, tetapi kerana bertentangan dengan prinsip, agama dan harga diri. Rasuah bukan hanya salah di sisi undang-undang, tetapi salah di sisi hati nurani.
Transformasi inilah berlaku dalam negara mendominasi CPI seperti Denmark, New Zealand dan Finland. Mereka bukan sekadar mempunyai sistem keadilan yang baik, tetapi rakyatnya menjadikan integriti sebagai norma sosial dan budaya. Di negara ini, rasuah adalah 'memalukan', bukan sekadar 'berbahaya'.
Inilah yang diharapkan supaya NIES bakal dilancarkan kelak berfungsi untuk membawa Malaysia ke tahap disasarkan. Ia memperkasa pendidikan integriti, menggerakkan komuniti, melatih pemimpin akar umbi dan memanfaatkan media serta budaya popular sebagai alat perubahan sikap.
Keberhasilan sebenar hanya boleh dicapai apabila NACS dan NIES bergerak seiring. Satu mengawal, satu menyemai. Justeru, beberapa cadangan sinergi boleh diberi perhatian antaranya:
Bukan kerja satu agensi
Mencapai kedudukan CPI dalam kelompok 25 teratas bukan kerja satu agensi. Ia bukan semata-mata tanggungjawab SPRM, IIM, atau mana-mana kementerian tertentu. Ia tanggungjawab nasional yang mesti membabitkan semua pihak khasnya kerajaan, swasta, masyarakat, media, institusi agama, pendidik dan keluarga.
Setiap individu perlu memainkan peranan khasnya guru di sekolah rendah, penjawat awam di kaunter, hinggalah kepada pemimpin tertinggi negara. Maka, NACS dan NIES perlu diberikan sokongan setara daripada pelbagai aspek, pelaksanaan dan pemantauan.
Keazaman politik Kerajaan MADANI berkaitan sasaran CPI ini diterjemahkan apabila kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas CPI dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 2024.
Perjuangan melawan rasuah bukan sahaja menyentuh soal ketelusan, tetapi soal maruah dan kepercayaan. Jika benar-benar melonjak ke tangga 25 CPI, Malaysia mesti menunjukkan kepada dunia kita bukan sahaja mempunyai sistem berfungsi, tetapi juga masyarakat berprinsip, jujur dan dipercayai.
Dengan gabungan struktur kukuh menerusi NACS dan jiwa bersih melalui NIES, Malaysia bukan sahaja boleh melonjak dalam kedudukan CPI tetapi muncul sebagai negara contoh dalam pembudayaan integriti di rantau ini.
Penulis adalah Ketua Pegawai Strategi, Institut Integriti Malaysia
Sumber: bharian.com.my (31 Julai 2025)
Date of Input: 05/08/2025 | Updated: 05/08/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia