Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Langkah Perkukuh Jati Diri Pelajar | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Langkah Perkukuh Jati Diri Pelajar

Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Langkah Perkukuh Jati Diri Pelajar

Dalam era globalisasi semakin mencabar identiti nasional, usaha memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda menjadi semakin penting.

Satu daripada pendekatan dilaksanakan di institusi pendidikan ialah pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh pelajar pada pakaian seragam murid di sekolah.

Pemakaian ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan suatu pendekatan pendidikan nilai menyasarkan pembangunan jati diri pelajar.

Jati diri merujuk kepada kesedaran individu terhadap identiti diri dalam konteks budaya, sejarah dan negara asalnya. Dalam konteks Malaysia, pengukuhan jati diri nasional berkait rapat dengan nilai seperti semangat perpaduan, cintakan tanah air dan penghargaan terhadap sejarah negara.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan, pendidikan perlu berperanan membentuk insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani yang setia kepada negara.

Lencana Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan kebanggaan negara. Pemakaian lencana ini dalam kalangan pelajar memberi implikasi psikologi dan simbolik mendalam.

Penghayatan semangat kemerdekaan

Ia menyemai rasa kepunyaan terhadap negara, menguatkan kesedaran sivik serta mendorong pelajar mengambil bahagian aktif dalam kegiatan kebangsaan.

Arahan Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya ketika Bulan Kemerdekaan, menggalakkan sekolah melaksanakan pemakaian lencana bagi mempertingkatkan penghayatan pelajar terhadap semangat kemerdekaan.

Walaupun ia bukan keperluan wajib sepanjang tahun, keberkesanannya terbukti melalui penyertaan aktif pelajar dalam aktiviti berteraskan patriotisme.

Walaupun usaha ini membawa kesan positif, terdapat juga cabaran seperti kurang kesedaran mendalam pelajar terhadap makna simbol itu sendiri.

Oleh itu, pemakaian lencana perlu disertai dengan ceramah sejarah, dokumentari dan aktiviti interaktif yang dapat menjelaskan makna sebenar Jalur Gemilang.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang bukan satu tindakan kosmetik, tetapi langkah strategik membina jati diri pelajar. Ia mencerminkan usaha berterusan sistem pendidikan negara melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi berjiwa patriotik dan bertanggungjawab kepada negara.

Penulis adalah Pembantu Penyelidik Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA Perlis

Sumber: bharian.com (8 Mei 2025)

Date of Input: 11/06/2025 | Updated: 11/06/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (08:20:53pm-08:25:53pm, 30 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]