Pasang CCTV Di Lokasi Strategik Kawasan Asrama Atasi Kes Buli | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC) apsec
» ARTICLE » Pasang CCTV di lokasi strategik kawasan asrama atasi kes buli

Pasang CCTV di lokasi strategik kawasan asrama atasi kes buli

Sekolah berasrama sering dianggap sebagai institusi pendidikan elit yang mampu membentuk pelajar cemerlang dalam akademik dan sahsiah.

Namun, kebelakangan ini, pelbagai isu keselamatan dan kebajikan pelajar timbul, mencetuskan persoalan sejauh mana sekolah berasrama benar-benar selamat untuk menjadi pusat pendidikan inklusif.

Ini kerana, kes buli dan penderaan mental dilaporkan berleluasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa sejauh mana persekitaran sekolah berasrama melindungi pelajar secara menyeluruh atau hanya menekankan pencapaian akademik semata-mata.

Isu buli bukan lagi perkara baharu di sekolah berasrama kerana majoriti pelajar senior menganggap tindakan mereka 'menyentuh' pelajar junior sebagai tradisi untuk mewujudkan kemesraan sesama mereka.

Namun, bagi budak baharu, mereka terkejut dan ketakutan apabila dipanggil dan diminta untuk melakukan 'sembah ratu' kepada pelajar senior.

Disebabkan bimbang akan diapa-apakan, pelajar junior biasanya memilih memilih untuk berdiam diri. Selain itu mereka biasanya tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Walaupun begitu, tidak semua sekolah berasrama gagal dalam memastikan keselamatan. Banyak sekolah berjaya membentuk pelajar berdisiplin dan cemerlang dalam suasana terkawal.

Namun, keselamatan pelajar tidak boleh dikompromi. Ia harus menjadi keutamaan, bukan sekadar aspek sampingan.

Jaminan diberikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang sekolah berasrama adalah selamat untuk pelajar memang sesuatu yang sangat melegakan.

Ini menandakan pihak pengurusan sekolah, guru warden dan Kementerian Pendidikan (KPM) peka terhadap isu ini. Namun, keselamatan sekolah berasrama ini perlu sentiasa dipantau.

Kaunselor tetap di sekolah berasrama 

Sistem aduan mesra pelajar serta latihan pengurusan krisis kepada guru asrama perlu dipertingkat.

Malah, kesihatan mental pelajar wajar diberi perhatian serius melalui penempatan kaunselor tetap di semua sekolah berasrama.

Isu buli di sekolah asrama juga menyentuh soal sikap dan sifat pelajar, maka pengurusan sekolah perlu memastikan golongan senior ini dipantau dan dikawal dengan lebih berdisiplin bagi mengurangkan risiko buli.

Mungkin KPM patut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik kawasan asrama untuk menghentikan perbuatan buli ini. Setidak-tidaknya, CCTV ini juga akan menggerunkan pelajar untuk melakukan perkara menyalahi peraturan sekolah.

Tidak rugi bagi KPM melabur memasang CCTV kerana ia bukan menyekat kebebasan penghuni, sebaliknya memastikan suasana selamat dan aman di sekolah berasrama.

Sumber: bharian.com.my (9 Ogos 2025)

Date of Input: 06/11/2025 | Updated: 06/11/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (12:19:35am-12:24:35am, 12 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]