Nilai Dasar Lupus Kenderaan Lama Dari Segi Keselamatan, Ekonomi | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Nilai dasar lupus kenderaan lama dari segi keselamatan, ekonomi

Nilai dasar lupus kenderaan lama dari segi keselamatan, ekonomi

Pelaksanaan dasar pelupusan kenderaan sering dikaitkan dengan dua objektif utama, iaitu peningkatan keselamatan jalan raya dan pembaharuan struktur pasaran automotif.

Namun, keberkesanan sesuatu skim pelupusan kenderaan tidak boleh dinilai berdasarkan niat semata-mata, sebaliknya perlu dianalisis dari sudut kesan sebenar terhadap tingkah laku pengguna, struktur kos pemilikan kenderaan dan kumpulan sasaran.

Dari perspektif ekonomi pengguna, keputusan menggantikan kenderaan lama dengan baharu adalah keputusan jangka panjang dipengaruhi kos pemilikan keseluruhan. Insentif kewangan sekitar RM2,000, jika dibandingkan dengan kos pembelian kenderaan baharu mencecah puluhan ribu ringgit, menyumbang peratusan sangat kecil dalam struktur kos berkenaan.

Analisis pasaran menunjukkan insentif pada skala ini kebiasaannya tidak cukup untuk mengubah keputusan pemilik kenderaan lama yang masih berfungsi, khususnya dalam kalangan pengguna sensitif terhadap komitmen hutang dan aliran tunai bulanan.

Dalam konteks ini, insentif lebih berfungsi sebagai isyarat dasar berbanding pemacu sebenar perubahan tingkah laku pengguna.

Dari sudut kejuruteraan keselamatan, kelebihan utama kenderaan baharu terletak pada integrasi sistem keselamatan aktif dan pasif direka secara menyeluruh. Penambahbaikan struktur badan, teknologi pengurusan perlanggaran dan sistem bantuan pemandu moden menyumbang kepada pengurangan risiko kecederaan signifikan berbanding kenderaan lama.

Namun, dari sudut keberkesanan dasar, penggantian menyeluruh kenderaan lama kepada kenderaan baharu memerlukan masa serta kos tinggi. Dalam tempoh peralihan ini, peningkatan tahap penyelenggaraan kenderaan lama, terutama keadaan brek, suspension dan tayar masih memberikan impak keselamatan boleh diukur, walaupun tidak setara dengan tahap perlindungan kenderaan baharu.

Tuntut pendekatan berperingkat

Oleh itu, strategi keselamatan jalan raya realistik perlu menggabungkan kedua-dua pendekatan, iaitu penggantian berperingkat dan pengurangan risiko menerusi penyelenggaraan.

Dalam usaha untuk bergerak ke arah dasar lebih seimbang, keselamatan jalan raya dan kebajikan rakyat tidak seharusnya dilihat sebagai perkara berbeza. Dasar pelupusan berkesan memerlukan pendekatan berperingkat, berasaskan data serta perlu mengambil kira realiti sosioekonomi rakyat Malaysia.

Gabungan antara insentif kewangan munasabah, sokongan pembiayaan bersasar serta penguatkuasaan pemeriksaan keselamatan kenderaan lebih sistematik berpotensi menghasilkan impak keselamatan lebih baik.

Matlamat utama bukan sekadar mengurangkan bilangan kenderaan lama, tetapi memastikan setiap pengguna jalan raya dapat bergerak dengan selamat tanpa menanggung beban kewangan tidak seimbang.

Dr. Mohd Radzi Abu Mansor, Pusat Penyelidikan Automotif, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber: bharian.com.my (31 Januari 2026)

 

Date of Input: 11/02/2026 | Updated: 11/02/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (06:58:19am-07:03:19am, 01 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]