
Isu agama sering menjadi topik sensitif dan kompleks dalam masyarakat majmuk di negara ini. Ia membabitkan emosi, kepercayaan dan nilai yang dipegang teguh individu atau kelompok.
Kajian Pew Research Survey pada 2022 di lima negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Thailand mendapati, majoriti berpendapat kepelbagaian agama memberi kesan positif terhadap keharmonian hidup.
Singapura mencatat 51 peratus, Indonesia (50 peratus), Kemboja (31 Peratus) dan Thailand (19 peratus). Malaysia pula mencatat purata tertinggi, iaitu 62 peratus membuktikan kepelbagaian agama mendatangkan kesan positif terhadap keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
Kajian juga mendapati majoriti responden terbuka untuk hidup berdampingan dengan penganut agama lain di kawasan kediaman mereka. Sebanyak 56 peratus responden di Malaysia bersetuju bahawa agama utama selari dengan kebudayaan kebangsaan. Bagaimanapun, sejak merdeka sehingga hari ini, banyak isu sensitif berkaitan agama seperti rumah ibadat, makanan halal, penggunaan nama Allah, penghinaan terhadap nabi dan penggunaan simbol suci kalangan masyarakat. Senarainya amat panjang jika disoroti sejak merdeka lagi.
Di Malaysia, kadangkala isu jenayah yang tiada kaitan dengan agama dan bangsa pun akhirnya akan diseret dalam kancah konflik agama dan kaum. Tindakan penguat kuasa terhadap isu bermotif 'agama' yang lain turut dilihat sesetengah pihak sebagai tidak diurus dengan baik dan double standard. Jika diamati, sejak 2018, isu sensitif membabitkan agama, Raja dan kaum (3R) semakin menjadi-jadi. Dalam perspektif orang Melayu, agama, Raja dan kaum adalah 'subset' kepada Islam. Ketiga-tiga elemen ini menyatu dan saling terintegrasi.
Justeru, sama ada membabitkan isu jenayah atau bukan jenayah, agama akan menjadi faktor penyatu dan penentangan. Apatah lagi, di Malaysia ketiga-tiga agama terbesar diwakili tiga kaum utama - Melayu (Islam), Buddha (Cina) dan Hindu (India).
Maka, yang sering terjadi isu membabitkan antara kaum akan diolah dan disensasikan menjadi isu agama. Justeru, dalam konteks di Malaysia dek kerana situasi dan konteksnya adalah 'agama', menjadikan sesuatu isu itu lebih rumit, mencabar dan tidak mudah ditangani.
Namun, isu ini kadangkala menjadi lebih tidak terkawal apabila dimanipulasi menerusi agenda dan ideologi politik, politik identiti serta sifat perkauman yang sempit.
Isu penggunaan kalimah tertentu seperti 'Allah' oleh penganut Kristian pernah mencetuskan kontroversi di Malaysia. Sebahagian umat Islam berpendapat kalimah Allah khusus untuk agama Islam, manakala penganut Kristian berhujah mereka menggunakan kalimah itu dalam amalan agama mereka sejak sekian lama.
Isu agama juga sering dimanipulasi untuk kepentingan politik atau peribadi. Ada pihak sengaja membangkitkan sentimen agama untuk memecahbelahkan masyarakat atau mengalih perhatian daripada masalah lain.
Politik identiti dan sifat perkauman yang sempit sering menjadikan isu agama lebih sukar untuk ditangani. Di Malaysia, politik identiti sering digunakan parti untuk menarik sokongan daripada kumpulan tertentu sambil mengabaikan kepentingan kaum dan agama lain.
Pupuk pemahaman dan toleransi
Sifat perkauman sempit juga menyumbang kepada ketegangan agama. Sikap sebegini hanya akan memperdalam jurang antara komuniti berbeza agama. Selain itu, ideologi politik ekstrem boleh mencetuskan konflik agama. Ada kelompok memperjuangkan agenda agama dan kaum secara melampau sama ada secara eksplisit mahu pun implisit, dengan mengabaikan hak dan keperluan agama lain. Ini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan ketakutan dalam kalangan penganut agama lain, seterusnya mengancam keharmonian sosial.
Dialog antara agama adalah langkah penting untuk memupuk pemahaman dan toleransi secara berterusan. Di Malaysia, Majlis Perundingan Agama-agama Malaysia (MCAM) ditubuhkan untuk memudahkan dialog antara pemimpin agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain.
Melalui dialog, pemimpin agama dan masyarakat dapat berkongsi pandangan, menjelaskan salah faham dan mencari titik persamaan. Ini dapat mengurangkan prasangka dan membina hubungan yang lebih baik antara komuniti berbeza agama.
Bagaimanapun, MCAM hanya menjadi penting apabila munculnya isu dan pertikaian berkaitan agama. Seharusnya, MCAM yang neutral dan berkepentingan awam ini lebih proaktif sebagai ejen keharmonian antara agama. Selain itu, semua kementerian dan agensi berkaitan agama serta perpaduan perlu bergerak seiringan dalam memobilasi aset dan sumber untuk meningkatkan keharmonian dan perpaduan kaum.
Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk sikap terbuka dan toleransi. Kurikulum sekolah dan program masyarakat perlu menekankan nilai kepelbagaian dan penghormatan terhadap agama lain. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam di sekolah boleh memasukkan elemen yang menggalakkan pemahaman antara agama.
Agak malang subjek seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) yang pernah menjadi wajib teras universiti dijumudkan susulan bantahan parti politik, sedangkan menerusi TITAS semua pelajar universiti dapat memahami kepelbagaian pemikiran, nilai teras dan budaya merentas kaum dan agama. Media juga mempunyai pengaruh besar membentuk persepsi masyarakat. Pemberitaan seimbang dan sensitif dapat membantu mengurangkan ketegangan dan mempromosikan keharmonian.
Ketika ini, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengekang berlaku perbuatan mempersenda dan menghina agama. Seksyen 298, Seksyen 504 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu digunakan untuk memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.
Pemimpin agama dan masyarakat perlu menjadi contoh dalam mempromosikan keharmonian. Mereka harus mengelakkan ucapan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dan sebaliknya, menyeru kepada perpaduan dan toleransi.
Menangani isu agama seperti 'menarik rambut dalam tepung' memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan komitmen semua pihak. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, keharmonian agama adalah kunci kepada kestabilan dan kemajuan. Dengan pendekatan yang betul, isu agama dapat ditangani tanpa menjejaskan hubungan antara komuniti.
Justeru, setiap individu perlu memainkan peranan dalam memupuk rasa hormat dan memahami antara satu sama lain. Hanya dengan cara ini, kita dapat membina masyarakat yang lebih bersatu dan harmoni.
Penulis adalah Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia
Sumber: bharian.com.my (11 Mac 2025)
Date of Input: 05/08/2025 | Updated: 05/08/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia