Kes Bunuh Ahli Keluarga Isyarat Kesihatan Mental Isu Nasional | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Kes bunuh ahli keluarga isyarat kesihatan mental isu nasional

Kes bunuh ahli keluarga isyarat kesihatan mental isu nasional

Sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa kes pembunuhan membabitkan ahli keluarga sendiri. Suami membunuh isteri, ibu bapa mencederakan anak, malah ada kes anak sanggup 'mengambil' nyawa ibu atau saudara kandung.

Setiap kali berita sebegini terpampang di dada akhbar, kita tertanya-tanya, bagaimana hubungan darah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan bertukar menjadi medan tragedi?

Walaupun setiap kes mempunyai latar belakang berbeza, banyak laporan awal sering mengaitkan insiden ini dengan tekanan emosi, masalah kewangan, konflik rumah tangga serta gangguan kesihatan mental tidak dirawat. Hakikatnya, isu kesihatan mental di negara ini bukan lagi perkara terpencil.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, dianggarkan sekitar 2.3 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami kemurungan, bersamaan hampir setengah juta individu ketika itu.

Lebih membimbangkan, kajian sama menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja. Data Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan angka kes bunuh diri melebihi 600 kes setahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Statistik ini memberi gambaran jelas tekanan emosi dalam masyarakat semakin serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Di sebalik angka itu, ada individu bergelut dengan tekanan hidup, rasa kecewa, kemarahan dan putus asa. Apabila emosi negatif dipendam terlalu lama tanpa saluran sihat, ia boleh berubah menjadi letusan merosakkan, sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain.

Dalam konteks institusi keluarga, tekanan berganda sering berlaku serentak. Kos sara hidup meningkat, beban kerja berat, konflik pasangan serta kurangnya komunikasi berkesan boleh mencetuskan suasana tegang di rumah.

Tanpa kemahiran mengurus emosi, konflik kecil boleh membesar menjadi pertengkaran serius. Dalam keadaan mental tidak stabil, pertimbangan rasional menjadi kabur dan tindakan impulsif boleh berlaku. Tragedi berlaku bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi sering berpunca daripada tekanan berlarutan dan tidak ditangani sejak awal.

Mengawal emosi bukan bermaksud menafikan perasaan, sebaliknya mengenali dan mengurus perasaan berkenaan sebelum ia menguasai diri. Kesedaran diri adalah langkah pertama dengan mengakui kita sedang tertekan, marah atau sedih.

Komunikasi terbuka

Komunikasi terbuka dalam keluarga amat penting agar setiap ahli mempunyai ruang selamat untuk meluahkan perasaan. Aktiviti seperti bersenam, beribadah, menulis atau mendapatkan khidmat kaunseling juga boleh membantu menstabilkan emosi.

Namun, usaha mengawal emosi tidak boleh diserahkan kepada individu semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan sistemik dan tindakan bersama.

Kerajaan dan pihak berkaitan wajar memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental di klinik serta hospital kerajaan dengan menambah bilangan pegawai psikologi dan kaunselor. Kempen kesedaran awam perlu digiatkan agar stigma terhadap masalah mental dapat dikurangkan.

Di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), modul literasi emosi dan pengurusan stres perlu diberi penekanan sejak awal usia. Majikan pula digalakkan menyediakan sokongan kesihatan mental di tempat kerja termasuk waktu kerja lebih seimbang dan akses kepada kaunseling.

Selain itu, peranan komuniti tidak harus dipandang ringan. Sikap prihatin terhadap jiran, rakan sekerja dan ahli keluarga menunjukkan perubahan tingkah laku boleh menjadi langkah pencegahan awal. Masyarakat perlu beralih daripada budaya menghakimi kepada budaya memahami.

Kes pembunuhan dalam keluarga semakin kerap dilaporkan seharusnya menjadi amaran bahawa kesihatan mental adalah isu nasional, bukan isu peribadi semata-mata. Kita mungkin tidak mampu menghapuskan semua tekanan hidup, tetapi kita mampu membina daya tahan emosi dan sistem sokongan lebih kukuh.

Mengawal emosi hari ini mungkin kelihatan seperti usaha kecil. Namun, hakikatnya ia boleh menjadi garis pemisah antara penyelesaian dan penyesalan seumur hidup. Sudah tiba masanya kesihatan mental diberi keutamaan setara dengan kesihatan fizikal demi melindungi institusi keluarga dan demi masa depan masyarakat yang lebih sejahtera.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak

Sumber: bharian.com.my (25 Februari 2026)

Date of Input: 13/04/2026 | Updated: 13/04/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (06:31:27pm-06:36:27pm, 15 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]