Keberanian Politik, Penguatkuasaan Tegas Bendung Rasuah | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Keberanian politik, penguatkuasaan tegas bendung rasuah

Keberanian politik, penguatkuasaan tegas bendung rasuah

Pendedahan terhadap beberapa skandal rasuah membabitkan individu serta institusi awam kebelakangan ini menggugat keyakinan rakyat terhadap integriti dan kebertanggungjawaban mereka yang diamanahkan untuk berkhidmat kepada negara.

Rasuah dalam apa juga bentuk bukan sahaja mencabuli prinsip keadilan dan tadbir urus yang baik, malah meruntuhkan asas kepercayaan awam amat penting bagi kelangsungan demokrasi, kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial.

Skandal ini bukan sahaja mencemarkan nama individu terbabit, tetapi turut menjejaskan imej dan kredibiliti institusi awam secara keseluruhan.

Bagi rakyat, keadaan ini menimbulkan kekecewaan, rasa tidak puas hati serta persepsi sistem sedia ada gagal melindungi kepentingan rakyat dan sebaliknya memihak kepada golongan berkuasa.

Kepercayaan terhakis bukan mudah dipulihkan, namun ia bukan sesuatu yang mustahil diperbetulkan.

Keyakinan rakyat perlu dibina semula melalui tindakan yang jelas, tegas dan konsisten bukan sekadar retorik.

Bagi menangani isu rasuah secara berkesan dan mengembalikan kepercayaan awam, pendekatan menyeluruh serta bersepadu perlu dilaksanakan, antaranya:

  • Memperkukuh kerangka perundangan dan institusi

Dalam hal ini, agensi pencegah rasuah khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu berfungsi secara bebas, berwibawa dan dilindungi daripada campur tangan politik.

Undang-undang berkaitan konflik kepentingan, perolehan awam, pengisytiharan harta dan pembiayaan politik perlu dikaji dan diperketat bagi menutup ruang penyalahgunaan kuasa.

  • Meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban

Amalan keterbukaan data dalam kontrak kerajaan, perbelanjaan dan pengurusan kewangan awam patut dilaksanakan supaya rakyat dapat menilai penggunaan wang negara.

Ini termasuk mewajibkan pengisytiharan harta penjawat awam dan pemimpin, disertai dengan mekanisme pengesahan serta tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan.

  • Memupuk kepemimpinan beretika dan budaya integriti

Perkhidmatan awam mesti dipandu kod etika kukuh, disokong latihan berterusan dan penguatkuasaan berkesan. Pemimpin perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan komitmen jelas bahawa rasuah tidak akan ditoleransi dalam apa juga keadaan.

  • Melindungi pemberi maklumat dan menggalakkan penyertaan awam

Undang-undang perlindungan yang kukuh kepada pemberi maklumat perlu ada supaya mereka berani melaporkan salah laku tanpa rasa takut dengan tindakan balas.

Paling penting, memperkasa peranan masyarakat, media dan sektor swasta sebagai rakan strategik memantau serta mendedahkan amalan rasuah.

  • Keadilan yang cepat dan saksama

Bermaksud, setiap dakwaan rasuah mesti disiasat secara telus, cepat dan adil. Apabila kesalahan dibuktikan, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh individu terbabit.

Pemulihan kepercayaan awam menuntut keikhlasan, konsistensi dan keberanian politik. Kerajaan dan institusi berkaitan mesti telus menangani kes rasuah serta berkomunikasi secara terbuka dengan rakyat. Kepercayaan tidak dapat dibina semula melalui janji semata-mata, tetapi melalui tindakan nyata mencerminkan komitmen sebenar terhadap integriti dan keadilan.

Marilah kita memperbaharui azam menegakkan kedaulatan undang-undang, memartabatkan kepemimpinan beretika dan melindungi kepentingan rakyat.

Hanya dengan itu kita dapat memastikan jawatan awam kekal sebagai amanah untuk berkhidmat, bukan peluang disalahgunakan serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Tan Sri Lee Lam Thye, Ahli Institut Integriti Malaysia

Sumber: bharian.com.my (29 Januari 2026)

Date of Input: 11/02/2026 | Updated: 11/02/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
W, (07:42:43pm-07:47:43pm, 02 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]