Kawal Emosi Elak Bakar Sentimen Perkauman | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Kawal Emosi Elak Bakar Sentimen Perkauman

Kawal Emosi Elak Bakar Sentimen Perkauman

 

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Peribahasa Melayu ini sudah cukup untuk mendidik masyarakat betapa besarnya kesan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat perpaduan masyarakat dan ketenteraman awam.

Banyak kes kecil yang akhirnya menjadi besar kerana kegagalan mengawal mulut ketika mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi dan penghinaan.

Oleh sebab itulah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pantas meminta orang ramai supaya tidak melakukan sebarang tindakan, termasuk mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman sehingga menjejas ketenteraman awam.

Ini susulan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, awal pagi Isnin lalu. Langkah itu membantu meredakan ketegangan yang dengan sendirinya membantu pihak polis mengawal dan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang negara.

Kerajaan selama ini sememangnya memandang serius insiden yang boleh menggugat perpaduan dan tegas mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan keamanan negara tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan.

Tiada tempat golongan bakar sentimen perkauman

Di negara kita tiada tempat bagi golongan yang membakar sentimen perkauman sehingga boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan sudah pasti mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Kita percaya kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa memilih bulu, siapa bersalah akan menerima hukuman.

Sehingga pagi semalam, polis sudah menahan 21 individu bagi membantu siasatan insiden rusuhan di tapak kuil terbabit. Kita yakin lebih banyak tangkapan akan dilakukan selepas ini dan kes itu akan dapat diselesaikan secara baik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan, berkata kejadian berkenaan adalah kes terpencil berkaitan isu pemindahan kuil dan meminta orang ramai menghentikan status atau mesej yang mengaitkan kejadian dengan isu perkauman.

Kerajaan tidak kompromi perkauman

Sejak dahulu lagi kerajaan tidak berkompromi dengan sentimen perkauman yang dapat dilihat menerusi penubuhan Majlis Perundingan Negara di Dewan Negara, Kuala Lumpur pada 1970 bertujuan memahami latar belakang kebudayaan, sosial, ekonomi dan agama setiap kaum di negara ini.

Penubuhan majlis itu untuk mengekalkan suasana harmoni dan muhibah di negara ini selepas berlaku tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Jabatan Perpaduan Negara yang bertanggungjawab mengkaji dasar kerajaan untuk memastikan dasar sebelum itu memberi sumbangan terhadap keharmonian kaum turut ditubuhkan.

Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan timbalannya, Tun Abdul Razak Hussein bertindak bijak melaksanakan pendekatan bersepadu bagi memastikan perpaduan kaum dapat dikembalikan untuk kepentingan negara.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berkata kebebasan bersuara tidak sepatutnya disalah gunakan untuk melakukan kacau-bilau dan saling membenci.

Katanya, walaupun rakyat bebas bersuara tetapi semangat saling menghormati perlu dikekalkan kerana asas pembentukan negara ini adalah perpaduan kaum.

Beliau berkata, pemimpin sesuatu kaum juga perlu bijak dan bertanggungjawab meredakan ketegangan, bukannya mengapi-apikan sentimen perkauman dan menuduh agama atau kaum tertentu punca rusuhan.

Elak kenyataan porak-peranda negara

“Apabila berlaku sesuatu perkara yang menggugat perpaduan, bermacam-macam kenyataan dikeluarkan dan dalam keadaan marah sudah tentu ada yang di luar batasan sehingga mengetepikan perasaan kaum lain. Lebih baik berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan yang akhirnya memporak-peranda negara,” katanya.

Sebarang kenyataan dikeluarkan tidak seharusnya melanggar undang-undang, apatah lagi dalam konteks negara kita, iaitu sepatah perkataan yang sensitif boleh membawa kepada perselisihan kaum.

Dalam kes di Kuil Maha Mariamman, USJ25 agak menyedihkan juga apabila perusuh bertindak di luar batasan menyerang seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya sehingga dilaporkan kritikal. Inilah bahaya mengikut perasaan sehingga hilang kewarasan.

Tindakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau mengaitkan insiden rusuhan di Kuil Sri Mariamman sebagai sentimen agama apabila menuduh ia dimulakan sekumpulan orang Islam adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengeruhkan keadaan.

Begitu juga tuduhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy kononnya polis lewat tiba untuk mengawal keamanan.

Insiden bawa isu perakauman

Sebelum ini banyak peristiwa yang hampir membawa kepada isu perkauman seperti pergaduhan berpunca kes curi telefon bimbit yang berlaku di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada Julai 2015.

Begitu juga insiden kekecohan di Plaza Kota Raya, Kuala Lumpur membabitkan perasaan tidak puas hati antara pelanggan dengan peniaga di kompleks terbabit sehingga membawa kepada kekecohan pada Disember 2015.

Satu lagi kejadian ialah murid bukan Islam diminta menggunakan bilik persalinan ketika makan sepanjang Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana (SKSP) di Sungai Buloh pada Julai 2013.

Bagaimanapun, ketiga-tiga kes itu tiada kaitan dengan isu perkauman, namun menjadi iktibar kepada semua pihak supaya berhati-hati mengeluar kenyataan agar tidak berulang.

Justeru, dalam konteks perpaduan nasional dan ketenteraman awam lebih elok pemimpin kaum tertentu bertindak waras bukan mengikut perasaan bagi mengelak tercetusnya kejadian tidak diingini yang menggugat keamanan.

Sumber: bharian.com.my (28 November 2018)

Date of Input: 02/10/2019 | Updated: 15/10/2019 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
SXFUKAA~