Istinggar Testimoni Teknologi Persenjataan Melayu | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Istinggar Testimoni Teknologi Persenjataan Melayu

Istinggar Testimoni Teknologi Persenjataan Melayu

Pengetahuan umum mengenai sejarah persenjataan Melayu selalu tertumpu kepada keris yang dianggap sebagai lambang identiti orang Melayu sejak zaman berzaman.

Bagaimanapun selain keris, istinggar juga antara warisan budaya Melayu yang perlu dikenali apatah lagi ia banyak disebut menerusi naskhah sastera lisan juga catatan pegawai zaman kolonial.

Malah seperti juga keris, istinggar dari segi sejarahnya juga bukan sekadar senjata mempertahankan diri, tetapi lambang kebijaksanaan, simbol kuasa dan nilai spiritual masyarakat terdahulu.

Pengkaji Manuskrip Melayu, Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, berkata istinggar adalah antara senjata yang banyak direkodkan dalam manuskrip Melayu.

Katanya, istinggar adalah sejenis senjata ringan yang banyak digunakan antara abad ke-16 dan 19.

"Dalam teks seperti Petua Menembak Meriam Istinggar dari Terengganu, ada catatan mengenai cara menggunakan bedil, manakala Ilmu Hulubalang dari Brunei pula berkait dengan cara bertikam.

"Ini menunjukkan bahawa masyarakat terdahulu memiliki ilmu pengetahuan bertunjangkan kepada adat dan fahaman spiritual tempatan.

"Dalam teks dari Terengganu itu ada menyebutkan jarak tembakan istinggar, senjata api ringan yang disebarkan melalui perdagangan dan peperangan.

"Ia bermula apabila Portugis meluaskan penjajahannya dan berpangkalan di Goa, India, langsung membawa teknologi istinggar ke Asia merangkumi alam Melayu, Korea, China dan Jepun," katanya ketika tampil dalam Wacana Manuskrip Melayu Bil.3/2025 yang mengupas mengenai Persenjataan Melayu: Citra Budaya Bangsa.

Wacana itu adalah sebahagian daripada pengisian majlis pelancaran Projek Transliterasi Warisan 2025 berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), baru-baru ini.

Wan Mohd Dasuki sebelum ini dalam kertas kerjanya, Istinggar dalam Manuskrip Melayu: Tradisi Ilmu dan Teknologi Minangkabau (2019), menyebutkan istilah istinggar tidak banyak digunakan dalam teks-teks hikayat dan sastera sejarah.

Katanya, konsepsi mengenai senjata api ringan sering tergambar dengan istilah-istilah senapang, bedil, atau terakul seperti yang dipertonjolkan dalam kebanyakan teks Tuhfat al-Nafis, Hikayat Siak, Silsilah Melayu Bugis, Misa Melayu, Hikayat Pahang, Hikayat Patani, Hikayat Seri Kelantan, atau sebagainya yang merekodkan mengenai peperangan.

"Anehnya kata istinggar ini selalu tampil dalam sastera lisan, misalnya dalam Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Seri Rama dan Bongsu Pinang Peribut,"katanya.

Tambahnya lagi, bagi manuskrip Ilmu Hulubalang dari Brunei walaupun tidak merekodkan mengenai istinggar, ia memberi banyak penekanan kepada cara memegang dan menikam musuh menggunakan keris serta tombak, sekali gus turut menjadi antara rujukan penting masa kini.

Beliau berkata, ilmu mengenai persenjataan sebegitu menjadi testimoni ilmu pengetahuan dan teknologi orang Melayu yang sudah menjangkau ratusan tahun penggunaannya. Malah, dari satu segi ia turut merekodkan mengenai juga seni pembuatannya.

Misalnya kata beliau, pamur pada keris atau lebih dikenali sebagai bilah mata bercorak, menjelaskan mengenai kepercayaan masyarakat Melayu silam mengenai kewujudan kuasa mistik yang mampu mempengaruhi kehidupan pemilik keris.

"Banyak manuskrip Melayu menjelaskan adanya penggunaan dimensi spiritual dalam persenjataan.

"Ini termasuklah bacaan tertentu yang berfungsi untuk 'mengunci' keris serta memberikan kekuatan batin yang mampu menundukkan musuh tanpa pertumpahan darah," katanya.

Bagaimanapun katanya, pengetahuan mengenai persenjataan Melayu sebenarnya masih agak terhad. Ini berdasarkan terdapat banyak lagi manuskrip Melayu lama yang masih belum dikaji secara menyeluruh.

Tambahnya, usaha mengkaji manuskrip itu kini disokong oleh Projek Transliterasi Warisan dengan kerjasama PNM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Katanya menerusi usaha itu, transliterasi dibuat dengan penukaran huruf tulisan jawi lama ke rumi, yang sekali gus mampu menggalakkan generasi kini membaca manuskrip dan mengkaji kandungannya.

Wan Mohd Dasuki berkata, persenjataan ialah tradisi dan warisan yang perlu dihargai dan patut dipertahankan serta kajian berterusan terhadap manuskrip ini sangat digalakkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah PNM, Anisatul-Wahidah Abdul Wahid, berkata program itu bertujuan untuk mendedahkan kepada orang awam dan penyelidik mengenai kepentingan manuskrip Melayu yang merekod kebijaksanaan sarjana silam.

Katanya, program itu juga dianjurkan bagi memberikan pendedahan lebih mendalam kepada orang awam dan juga penyelidik mengenai persenjataan tradisional selain mengkaji simbolisme senjata dalam budaya serta kepercayaan masyarakat Melayu.

"Manuskrip Melayu lama merekod keintelektualan orang dulu yang datang daripada pelbagai latar," katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Untuk rekod, Projek Transliterasi Warisan dengan kerjasama PNM dan USIM membabitkan seramai 18 pelajar dan dua pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Menerusi projek itu, sebanyak lima naskhah manuskrip Melayu dalam bidang sains dan teknologi akan dibuat transliterasi.

Sumber: bharian.com.my (23 Jun 2025)

Date of Input: 11/07/2025 | Updated: 11/07/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
F, (06:13:48pm-06:18:48pm, 03 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]