
Dewasa ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang rancak mengubah dimensi kehidupan manusia termasuk dalam bidang pendidikan terutama aspek pengajaran dan pembelajaran di seluruh dunia.
Di Malaysia, bakal pendidik atau guru praperkhidmatan sedang melangkah ke dalam bilik darjah, bukan sekadar mengaplikasikan teknologi baharu, bahkan menghadapi cabaran baharu dalam dunia pendidikan.
Kecanggihan teknologi AI seperti ejen perbualan ChatGPT, sistem pembelajaran adaptif dan perisian perancangan pintar memerlukan bakal pendidik atau guru pelatih bukan sekadar belajar cara untuk mengajar, malah belajar bagaimana mengajar dengan menggunakan AI.
Dalam alam pendidikan, kemunculan AI tujuannya adalah untuk membantu, bukan sama sekali menggantikan guru. Prinsip ini dipersetujui pakar daripada Institut Kecerdasan Buatan Berpusatkan Manusia, Universiti Stanford yang mengkaji bagaimana kecanggihan AI boleh melahirkan golongan pendidik hebat.
Sejak kebelakangan ini, institusi pendidikan guru di Malaysia mengintegrasikan teknologi AI dalam kurikulum mereka, terutama melalui platform seperti ChatGPT.
Pada tahun lalu, satu kajian dilakukan untuk meninjau persepsi guru pelatih mengenai penggunaan platform ChatGPT dalam pembelajaran mereka.
Seramai 41 responden dipilih dalam kajian ini dan tinjauan mendapati mereka menggunakan ChatGPT dengan kerap iaitu dengan skor 4.11 daripada 5 dan berpendapat ChatGPT memberi manfaat yang banyak kepada mereka (skor 4.19 / 5).
Bagaimanapun, kajian ini turut mendedahkan sisi ChatGPT berbeza yang tidak boleh dipandang enteng iaitu kebimbangan terhadap kebolehpercayaan maklumat diberi platform ini.
Seperti yang digembar-gemburkan, AI generatif masih lagi ada kelemahan, iaitu halusinasi AI atau penjanaan fakta palsu yang kelihatan benar dan guru pelatih ini menyokong situasi ini, dengan skor 3.56 daripada 5).
Tidak dinafikan, guru di Malaysia sekarang, sama ada guru pelatih mahupun sedang berkhidmat, sedang menguji keberkesanan AI secara praktikal.
Ada yang menggunakannya untuk mencari contoh rancangan pembelajaran, menjana soalan pentaksiran, menerangkan konsep sukar difahami dan membaiki tatabahasa dalam kerja penulisan pelajar.
Misalnya, bagi program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), guru pelatih sering menggunakan aplikasi AI untuk menghasilkan dialog, menulis teks mengikut tahap kecekapan berbeza dan juga mencari frasa alternatif atau tambahan.
Pada 2024, satu kajian berkenaan tahap Pengetahuan Kandungan Pedagogi Teknologi Cerdas (I-TPACK) guru pelatih dan persepsi mereka terhadap aplikasi AI generatif dijalankan penyelidik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Taylor's University.
Seramai 190 pelajar TESL menyertai kajian ini dan hasilnya membuktikan guru pelatih TESL ini mempunyai pengetahuan tinggi kandungan dan teknik, tetapi masih berasa susah untuk mengaplikasikan AI dalam sesi pembelajaran secara pedagogi.
Jelas di sini masih terdapat jurang penyelidikan antara latihan guru dan AI. Justeru, kajian terhadap latihan praktikal guru pelatih perlu dilakukan, bukan sahaja menekankan bagaimana AI boleh digunakan, malah bagaimana guru mengajar menggunakan AI secara berkesan.
Cabaran penggunaan AI dalam Pendidikan
Walau serancak mana AI melebarkan sayapnya dalam dunia pendidikan, cabarannya perlu diberi perhatian antaranya isu liputan internet dilihat masih tidak sekata, terutama di kawasan luar bandar. Kebanyakan guru bersetuju mereka tiada capaian internet konsisten.
Di samping itu, masih ramai warga pendidik belum didedahkan dengan latihan berkenaan penggunaan AI dalam sesi pengajaran mereka. Tanpa latihan cukup, mereka akan bergelut dengan kecanggihan teknologi di bilik darjah.
Selain dua isu di atas, penggunaan teknologi AI secara beretika perlu turut dititikberatkan dalam dunia pendidikan. Ini kerana maklumat atau kandungan disampaikan AI mencetuskan kerisauan dalam integriti akademik.
Apabila topik AI dalam pendidikan dibincangkan, risiko pengurangan watak manusia sebagai guru turut mendapat perhatian serius. Walaupun AI boleh mengautomasikan tugas seharian sebagai guru atau meningkatkan mutu pembelajaran, ia tetap tidak dapat meniru rasa empati, usaha membimbing, nilai moral tinggi atau apa sahaja kriteria mentakrifkan seorang guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga menyokong prinsip ini, yang mana beliau menekankan teknologi tidak akan menggantikan peranan seorang guru walaupun ia semakin berkembang maju.
Dalam erti kata lain, kedudukan guru mesti kekal sebagai titik tengah dalam proses pembelajaran dan hadirnya AI berfungsi sebagai pengukuh suara pendidik, bukan pengganti kepada pendidik.
Jika pemegang taruh dalam sesebuah kelas terlalu bergantung kepada AI, ia secara tidak langsung boleh menghakis interaksi dan hubungan emosi sesama mereka.
Oleh itu, penerapan literasi AI dalam pendidikan dilihat sangat penting dilakukan dengan kadar segera di negara kita. Di bawah usaha Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), guru praperkhidmatan dan yang sedang berkhidmat diletakkan sebagai kelompok utama bagi latihan dan pembangunan sumber manusia masa depan.
Terbaru, syarikat gergasi Google memperuntukkan RM9.4 bilion sebagai pelaburan dalam kemudahan digital di Malaysia. Projek besar ini menjanjikan usaha untuk menaik taraf capaian kepada aplikasi pengkomputeran termasuk penganjuran program literasi AI, khas untuk pelajar dan pendidik. Namun begitu, pelaksanaannya haruslah diperhalusi sebaiknya dan bersifat inklusif.
Pada peringkat global, pakar pendidikan menganjurkan penggunaan seimbang antara aplikasi AI dan pengajaran oleh guru manusia. Pakar antarabangsa turut mengingatkan guru perlu menumpukan perhatian kepada pembelajaran pelajar dan kualiti pedagogi mereka, sementara teknologi sebagai watak sampingan dalam sesi pengajaran.
Bagi bakal pendidik, masa depan teknologi AI kelihatan menarik dan menyeronokkan. Di sebaliknya, wujud juga ketidakpastian mungkin mencabar jiwa pendidik.
Kita sedar teknologi AI berkembang pantas. Justeru jika semua pihak seperti universiti, kerajaan dan sektor swasta saling menyokong, saling berganding bahu, guru pelatih bukan sahaja boleh menjadi pengguna digital bijak, malah boleh menjadi pemimpin digital masa depan.
Sesungguhnya, AI tidak mungkin boleh menggantikan guru, tetapi guru menggunakan AI secara bijak boleh menggantikan guru yang tidak menggunakannya.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Sumber: bharian.com.my (25 Julai 2025)
Date of Input: 05/08/2025 | Updated: 05/08/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia