Henti Normalisasi 'Letak Sekejap' Di Petak OKU | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Henti Normalisasi 'Letak Sekejap' Di Petak OKU

Henti Normalisasi 'Letak Sekejap' Di Petak OKU

Petak khas meletakkan kenderaan orang kurang upaya (OKU) disediakan bagi memudahkan pergerakan golongan ini, namun terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan alasan 'sekadar sekejap sahaja'.

Sikap ini bukan sahaja mencerminkan kurangnya kesedaran sivik, tetapi menzalimi OKU yang benar-benar memerlukan kemudahan berkenaan.

Kajian dijalankan sekumpulan pelajar Jabatan Komunikasi, Universiti Selangor (UNISEL) mendapati, penyalahgunaan petak meletak kenderaan OKU masih berleluasa.

Kajian ke atas 176 responden menunjukkan, 62 peratus daripada mereka pernah melihat petak khas itu digunakan individu tidak layak, manakala 38 peratus mengakui pernah menggunakan petak berkenaan tanpa kebenaran.

Alasan utama diberikan termasuk kekurangan tempat letak kereta biasa (45 peratus), tergesa-gesa untuk akses lebih dekat (30 peratus) dan beranggapan tindakan mereka tidak salah selagi tiada pengguna OKU di lokasi berkenaan (25 peratus).

Tindakan ini mencerminkan sikap mementingkan diri sendiri yang perlu dibendung. Ini bukan sekadar isu kurang empati, tetapi mencerminkan kegagalan masyarakat memahami keperluan sebenar golongan OKU.

Bagi menangani isu ini, tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memastikan petak khas ini digunakan golongan OKU.

Antara cadangan penyelesaian termasuk:

  • Kempen kesedaran melalui media massa dan sosial

Pendedahan melalui video, poster dan kempen dalam talian boleh meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan petak letak kenderaan OKU.

  • Penguatkuasaan kompaun lebih tinggi

Denda sedia ada mungkin tidak cukup berkesan, mungkin hukuman lebih berat patut dikenakan sebagai langkah pencegahan.

  • Papan tanda lebih jelas

Mesej lebih besar dan jelas perlu dipasang bagi mengingatkan pemandu normal tidak sewenang-wenangnya menggunakan petak khas untuk OKU.

  • Sekatan akses dengan palang automatik

Penggunaan sistem automatik yang hanya boleh diakses pemegang kad OKU boleh mengurangkan penyalahgunaan parkir ini.

Penyalahgunaan petak OKU bukan sahaja mencerminkan sikap tidak peduli, tetapi satu bentuk penindasan terhadap hak mereka yang memerlukan.

Kesedaran dan empati harus dijadikan keutamaan dalam membentuk sebuah masyarakat bertamadun dan bertanggungjawab.

Munirah Ilias, Universiti Selangor

Sumber: bharian.com.my (20 Mac 2025)

Date of Input: 07/05/2025 | Updated: 07/05/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (09:12:41pm-09:17:41pm, 30 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]