Formula Lapuk Rancang Bandar Punca Jalan Raya Sesak, Serabut | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Formula Lapuk Rancang Bandar Punca Jalan Raya Sesak, Serabut

Formula Lapuk Rancang Bandar Punca Jalan Raya Sesak, Serabut

Baru-baru ini, tular mengenai pendapat penganalisis lalu lintas mendakwa lambakan motosikal sebagai punca utama gangguan kapasiti jalan raya. Pandangan beliau mengundang polemik meluas dalam kalangan pengguna jalan raya di negara ini.

Hujah berkenaan disandarkan pada teori kejuruteraan trafik mikroskopik seperti 'geseran sisi' dikatakan merencatkan kelajuan kenderaan utama.

Namun realitinya, menyalahkan jentera beroda dua bersaiz kecil penyebab kelumpuhan infrastruktur jalan raya negara mungkin satu kesilapan diagnosis berpunca daripada pemikiran perancangan bandar terlalu mengutamakan kelebihan kereta.

Jika kita mahu menelusuri punca sebenar kesesakan dengan lebih jujur, kita wajib menuding jari ke arah 'gajah' sebenar berada di depan mata, iaitu monopoli dan kebergantungan melampau masyarakat terhadap kereta persendirian.

Kajian empirikal tempatan di laluan utama bandar seperti Jalan Pahang, Kuala Lumpur mendedahkan satu fakta saintifik amat membimbangkan. Lebih 70 peratus kenderaan persendirian menyumbat laluan harian adalah kenderaan penumpang tunggal (SOV).

Kajian berkenaan bertajuk An Assessment of Modal Split and Occupancy of Vehicle on Urban Route: The Case Study of Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Malaysia dijalankan Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ia diterbitkan secara rasmi pada Julai 2025. Cuba bayangkan realiti ini secara visual dan logik. Ribuan kotak logam gergasi mengambil ruang jalan sekitar 10 hingga 12 meter persegi setiap satu digunakan hanya untuk mengangkut seorang manusia.

Pembaziran kapasiti ruang secara drastik dan berleluasa inilah menjadi punca sebenar defisit permukaan fizikal dan bukannya kehadiran motosikal mengambil lorong lebih kecil.

Di Malaysia, perancang bandar kita sekian lama terperangkap dalam dogma pemikiran pembinaan lebih banyak jalan raya atau penambahan lorong baharu adalah penyelesaian ajaib bagi menyelesaikan masalah lalu lintas.

Bagaimanapun, formula konvensional ini terbukti gagal kerana ia hanya mencetuskan fenomena induced demand, infrastruktur mega dibina khusus untuk kenderaan persendirian hanya menyebabkan lebih banyak kereta memenuhi lorong berkenaan.

Dari sudut pandang pemerhatian saintifik antarabangsa pula, entiti motosikal sebenarnya diiktiraf sebagai komponen perawat mampu mengurangkan beban di jalan raya.

Sebuah kajian komprehensif firma perunding Transport & Mobility Leuven (TML) di Belgium membuktikan keabsahan potensi motosikal dengan membuat model senario di lebuh raya antara Leuven dan Brussels.

Hasil penyelidikan rintis itu membuktikan fakta mengejutkan ramai perancang dasar. Sekiranya 10 peratus sahaja pemandu kereta melakukan anjakan mod dengan menukar kepada motosikal, masa terbuang akibat kesesakan bagi keseluruhan sistem akan menjunam secara mendadak sehingga 40 peratus.

Malah, dapatan kajian serantau turut membuat unjuran jelas dengan penganjakan mod trafik sebanyak 25 peratus daripada kereta persendirian kepada motosikal, krisis lalu lintas di kawasan disimulasi itu mampu dilenyapkan sepenuhnya.

Hapus sentimen negatif salahkan motosikal

Oleh itu, sentimen negatif pemandu kereta memandang serong kelincahan motosikal mencelah lorong ketika trafik sedang merangkak, wajar dikaji semula dengan lebih terbuka.

Tindakan sekumpulan motosikal melepaskan diri daripada belenggu rantaian barisan kesesakan secara realitinya sangat menguntungkan kelancaran kerana memendekkan jarak rantaian kenderaan beratur, memberi lebih kelegaan logistik kepada kereta di belakang.

Selain menawarkan kelebihan operasi menjimatkan ruang, data daripada laporan Oxford Economics juga mendapati penunggang motosikal secara statistiknya menikmati penjimatan masa 10 minit lebih pantas berbanding pemandu kereta bagi laluan pergi dan balik sama setiap hari.

Kita tidak boleh menafikan hakikat sekiranya interaksi motosikal ini menyebabkan apa yang digelar pakar sebagai 'geseran sisi' mahupun merisiko nyawa penunggang, kesalahan itu terletak pada hierarki sistem rekaan sengaja mendiskriminasi pejalan kaki, penunggang basikal serta motosikal.

Menuding jari secara tidak adil ke atas entiti motosikal seolah-olah menyembunyikan punca penyakit. Selagi kebergantungan kita terhadap kereta persendirian tidak direformasi dan pengangkutan rel awam tidak dinaik taraf sepenuhnya, maka jalan raya kita akan berterusan berfungsi sebagai tempat termenung kerana terperangkap dalam kesesakan.

Sumber: bharian.com.my (24 Februari 2026)

Date of Input: 16/03/2026 | Updated: 16/03/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
F, (06:21:08pm-06:26:08pm, 28 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]