
Kita berdepan cuaca panas dengan ada yang berada pada tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius beberapa hari berturut-turut.
Walaupun sesetengah negeri tidak dilanda cuaca panas melampau, terik matahari di negara beriklim tropika seperti Malaysia tetap cukup untuk menukarkan kenderaan kita menjadi 'ketuhar bergerak' dalam tempoh sangat singkat.
Dalam kesibukan mengejar masa, satu kesilapan kecil atau kecuaian boleh membawa kepada tragedi menghantui seumur hidup, iaitu tertinggal atau meninggalkan anak di dalam kereta.
Mungkin ada beranggapan kenderaan dipasang cermin gelap tidak akan menjadi terlalu panas. Hakikatnya, ia tidak tepat dan boleh mengundang risiko besar.
Secara saintifik, kenderaan bertindak seperti rumah hijau. Sinar matahari menembusi cermin dan memanaskan bahagian dalaman seperti papan pemuka, tempat duduk dan udara. Haba terhasil akan terperangkap dan tidak dapat dilepaskan keluar dengan mudah.
Walaupun suhu luar hanya 30 darjah Celsius, suhu dalam kenderaan tertutup boleh meningkat melebihi 45 darjah Celsius hanya dalam 10 minit. Menurunkan sedikit tingkap juga tidak memberi kesan signifikan.
Lebih membimbangkan, fisiologi kanak-kanak jauh lebih terdedah. Suhu badan mereka boleh meningkat tiga hingga lima kali lebih cepat berbanding orang dewasa, manakala sistem perpeluhan belum cukup matang untuk menyejukkan badan dengan berkesan. Dalam keadaan terperangkap dalam haba melampau, mereka boleh mengalami strok haba dengan pantas, diikuti kegagalan organ dan kematian.
Bagaimanapun, setiap kali berita kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan dalam kenderaan tular, masyarakat sering mengecam hingga mempersoalkan 'bagaimana boleh lupa anak sendiri?'.
Dari sudut psikologi, situasi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk ibu bapa penyayang. Fenomena ini dikenali sebagai forgotten baby syndrome atau sindrom bayi tertinggal.
Otak berfungsi dalam mod autopilot
Keadaan ini berlaku apabila otak manusia berfungsi dalam mod autopilot, terutama ketika berada dalam keadaan tertekan, keletihan, kurang tidur atau mengalami perubahan rutin harian. Selepas cuti perayaan panjang, rutin terganggu meningkatkan risiko ini.
Bayangkan ibu bapa yang biasanya tidak menghantar anak ke taska, perlu mengambil alih tugas berkenaan. Dalam keadaan tergesa-gesa, fikiran dipenuhi urusan kerja, ditambah gangguan seperti panggilan telefon, otak secara automatik membawa mereka terus ke tempat kerja tanpa menyedari bahawa anak masih berada di tempat duduk belakang.
Keadaan lebih berisiko apabila anak berada dalam keadaan tidur, sekali gus menghilangkan sebarang petunjuk bunyi atau pergerakan yang boleh mengingatkan ibu bapa.
Selain kecuaian tidak disengajakan, terdapat juga sikap mengambil mudah dengan alasan 'sekejap sahaja'.
Ada ibu bapa berbuat demikian untuk urusan seperti membeli barang di kedai serbaneka, membayar di stesen minyak atau mengeluarkan wang di mesin ATM. Ada juga merasakan selamat kerana enjin dan penyaman udara dibiarkan hidup.
Namun, pelbagai risiko boleh berlaku dalam tempoh singkat. Enjin kenderaan boleh mati secara tiba-tiba, sistem penyaman udara gagal berfungsi atau pintu terkunci secara tidak sengaja. Malah, risiko jenayah seperti kenderaan dilarikan bersama anak juga tidak boleh diketepikan.
Hakikatnya, kesedaran semata-mata tidak mencukupi tanpa tindakan konsisten. Oleh itu, beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan ibu bapa.
Akhir sekali, biasakan diri untuk sentiasa memeriksa tempat duduk belakang setiap kali mematikan enjin kenderaan.
Tragedi meninggalkan anak di dalam kenderaan bukan sekadar soal takdir, tetapi dalam banyak keadaan, ia boleh dicegah dengan langkah berjaga-jaga yang konsisten.
Walaupun tidak semua negeri berdepan cuaca panas ekstrem seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia, risiko tetap wujud pada setiap masa. Suhu persekitaran yang kelihatan 'biasa' masih mampu bertukar menjadi ancaman maut dalam ruang tertutup seperti kenderaan.
Dr Norhaliza Abu Bakar, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Sumber: bharian.com.my (3 April 2026)
Date of Input: 13/04/2026 | Updated: 13/04/2026 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia