Demonstrasi Mansuh AUKU Halang Mahasiswa Laksana Pembaharuan Bersama Dasar Pendidikan Tinggi | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC) apsec
» ARTICLE » Demonstrasi mansuh AUKU halang mahasiswa laksana pembaharuan bersama dasar pendidikan tinggi

Demonstrasi mansuh AUKU halang mahasiswa laksana pembaharuan bersama dasar pendidikan tinggi

9 Februari 2026, sekumpulan mahasiswa akan berdemonstrasi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), terutama peruntukan memberikan kuasa luas kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk melantik Naib Canselor (NC).

Selaku bekas pimpinan persatuan mahasiswa universiti awam (UA), penulis memahami aspirasi mereka untuk memperkukuh autonomi universiti sebagai sebahagian daripada usaha mematangkan demokrasi kampus dan meningkatkan akauntabiliti institusi.

Namun, persoalan besar di sini ialah adakah demonstrasi 'mansuh AUKU' tindakan tepat untuk mencapai pembaikan dimahukan, khususnya apabila isu disasar sebenarnya lebih spesifik, iaitu kuasa menteri melantik NC.

Pimpinan persatuan mahasiswa sekarang perlu memahami AUKU ialah punca kuasa mengikat penubuhan dan pentadbiran UA serta menjadi asas kepada perlembagaan universiti.

Seperti ditegaskan bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada 8 Mac 2023, pemansuhan AUKU boleh mengakibatkan punca kuasa penubuhan dan tadbir urus 20 UA terbatal.

Dalam bahasa mudah, tuntutan 'mansuh' boleh mencetuskan kerosakan sistemik. Jika AUKU dimansuhkan, universiti perlu disusun semula dari segi perlembagaan, struktur pihak berkuasa universiti dan aturan undang-undang selama ini mengikat operasi harian.

Sewaktu menggulung perbahasan meminda AUKU di Parlimen pada 18 Mac 2024, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengakui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan jawatankuasa pada 2019 untuk mengkaji pemansuhan AUKU.

Bagaimanapun, kajian lanjut mendapati pemansuhan AUKU akan membabitkan pewujudan perlembagaan baharu kepada semua UA, mengambil masa amat panjang dan mengganggu operasi UA.

Jelas beliau, sesi libat urus mencadangkan pindaan dibuat mengikut keutamaan dan permintaan kumpulan sasar, terutama mahasiswa. Justeru, KPT berpandangan lebih realistik pada peringkat itu untuk menambah baik seksyen dibangkitkan berbanding memansuhkan AUKU.

Maksudnya, tindakan memansuhkan AUKU boleh menimbulkan tempoh peralihan kelam-kabut dan menjejaskan kelangsungan universiti termasuk dari segi urusan akademik, kewangan, perjawatan, senat dan hal-ehwal pelajar.

Zambry ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Parlimen pada 25 Februari 2025 juga menegaskan pelantikan NC dan Timbalan Naib Canselor (TNC) tidak dibuat secara sembrono atau berdasarkan faktor politik.

Sebaliknya pelantikan bagi jawatan berkenaan perlu dibuat mengikut prosedur ditetapkan, berdasarkan syor dan saranan daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam (JKTPNCUA).

Penegasan sama juga dibuat Pengerusi JKTPNCUA, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, pada 15 Februari 2025 yang menegaskan semua proses pemilihan NC sangat terperinci serta intensif.

Jelas beliau, JKTPNCUA bertemu serta mendapatkan maklum balas mengenai universiti berkenaan daripada tujuh kumpulan wakil pemegang taruh universiti, iaitu LPU dan Pentadbiran, Senat, Pensyarah Muda, Alumni, Rakan Industri, Persatuan Berkaitan (Akademik, Pentadbir dan Pelaksana) serta Perwakilan Pelajar.

Seterusnya, input tambahan diperoleh daripada proses profiling kepemimpinan UA secara terperinci dibuat Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan calon disenarai pendek seterusnya dipanggil ditemubual dan dihadiri Pengerusi LPU serta dua wakil Senat UA.

Zambry pernah menegaskan di Parlimen pada 18 Mac 2024 pindaan AUKU bukan dibuat secara sepihak atau hanya satu idea daripada pihak kerajaan tanpa berbincang dengan kelompok mahasiswa tetapi membabitkan kepemimpinan mahasiswa melalui siri libat urus dilaksanakan semenjak 2021.

Malah, beliau turut mengakui pindaan AUKU waktu itu mungkin 'bukan satu pindaan yang sempurna' dan mengaku 'ada ruang perlu perkukuh lagi daripada semasa ke semasa'.

Semua ini penting untuk diteliti kerana ia menunjukkan kerajaan meletakkan AUKU sebagai sesuatu dinamik. Apabila saluran libat urus dan pembaikan berperingkat sudah berjalan, maka demonstrasi menuntut pemansuhan menyeluruh boleh dilihat sebagai amat bercanggah dengan ruang sudah dibuka.

Malah, jika diteliti Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 diluncurkan pada 20 Januari lalu, dokumen dasar ini dibangunkan proses kolaboratif dan perundingan menyeluruh dengan lebih 8,000 pihak berkepentingan, termasuk komuniti akademik, kesatuan dan persatuan, pihak industri serta mahasiswa.

Lebih penting, RPTM 2026-2035 turut memperincikan komitmen KPT untuk membangunkan Akta Satu Pendidikan Tinggi (OHEA) bagi menyatukan dan mengharmonikan keseluruhan perundangan pendidikan tinggi sedia ada, khususnya dalam Gelombang 1 (2026-2028).

Ini menunjukkan isu struktural termasuk tadbir urus universiti dan kuasa pelantikan kepemimpinan tertinggi sedang ditangani secara strategik, berperingkat dan berpaksikan kelangsungan institusi, bukan melalui tindakan tergesa-gesa yang berisiko menggugat kestabilan sistem.

Justeru, dalam konteks ini, demonstrasi menuntut pemansuhan AUKU secara menyeluruh bukan sahaja tidak sejajar dengan haluan reformasi sedang berjalan, malah berpotensi melemahkan kedudukan mahasiswa dalam proses pembaharuan dasar.

Lebih elok jika pimpinan persatuan mahasiswa sekarang dapat menggunakan ruang rasmi tersedia serta berperanan sebagai rakan pembina sistem kerana reformasi pendidikan tinggi menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan keupayaan berfikir, bukan melalui laungan emosi menggunakan desakan di jalanan.

Penulis ialah bekas Presiden INASIS Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia

Sumber: bharian.com.my (8 Februari 2026)

Gambar: sinarharian.com.my (9 Februari 2026)

Date of Input: 11/02/2026 | Updated: 11/02/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (02:17:32am-02:22:32am, 27 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]