
Kebebasan bersuara dinikmati dalam era digital hari ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kebebasan mutlak tanpa batas. Media sosial bukan medan untuk menghukum, apatah lagi menjadi senjata bagi mencederakan keselamatan dan maruah individu lain. Namun mutakhir ini, fenomena doxing semakin membimbangkan dan menuntut perhatian serius semua pihak.
Doxing atau doxxing antara bentuk gangguan dalam talian yang semakin ketara dalam landskap digital masa kini. Ia merujuk kepada perbuatan menyebarkan maklumat peribadi seseorang ke ruang awam digital tanpa kebenaran, lazimnya dengan niat jahat.
Maklumat seperti alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri, tempat kerja serta butiran keluarga didedahkan kononnya atas nama pendedahan atau keadilan, sedangkan kesannya amat merbahaya.
Sebagai antara kategori gangguan secara dalam talian, doxing sering digunakan sebagai alat untuk mengugut, intimidasi atau menakut-nakutkan dan menekan mangsa secara psikologi. Tidak seperti kritikan terbuka atau perbezaan pandangan, doxing membabitkan pencerobohan privasi yang disengajakan, sekali gus mendedahkan mangsa kepada risiko gangguan berpanjangan serta ancaman keselamatan dalam dunia nyata.
Lebih membimbangkan, budaya menghukum di media sosial semakin dianggap normal. Apabila seseorang dilihat bersalah di mata warganet, maklumat peribadinya mula disebarkan secara terbuka tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap dirinya dan keluarga. Dalam keadaan ini, emosi mengatasi rasional, manakala undang-undang diketepikan demi kepuasan segera.
Pada peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut meletakkan gangguan secara dalam talian sebagai ancaman serius terhadap hak asasi manusia dan keselamatan individu.
Melalui laporan agensi seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan UN Women, gangguan secara dalam talian termasuk doxing dikenal pasti sebagai bentuk keganasan digital yang boleh menjejaskan kebebasan bersuara, keselamatan peribadi serta kesejahteraan psikologi mangsa.
Pendirian antarabangsa itu selari dengan ketegasan pihak berkuasa negara ini dalam memerangi jenayah siber. Penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran adalah perbuatan menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Ancam keselamatan fizikal mangsa
Pendedahan data peribadi tanpa kebenaran bukan sekadar melanggar privasi, malah boleh mengancam keselamatan fizikal mangsa, membuka ruang kepada ugutan, gangguan berterusan dan tekanan emosi mendalam. Dalam banyak kes, kesan doxing berlarutan walaupun kandungan asal sudah dipadam daripada platform digital.
Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang jelas termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) serta Kanun Keseksaan bagi memastikan pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.
Di bawah Seksyen 233 AKM, individu menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan jelik, mengancam atau bersifat gangguan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali serta denda tambahan bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Melalui Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 pula, penyebaran atau pemprosesan data peribadi tanpa kebenaran boleh membawa hukuman denda tinggi, bergantung kepada jenis pelanggaran, termasuk denda sehingga RM300,000 dan/atau penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan tertentu membabitkan pendedahan data tanpa kebenaran.
Selain itu, Kanun Keseksaan turut memperuntukkan tindakan terhadap perbuatan mengancam keselamatan atau menimbulkan ketakutan jenayah seperti di bawah Seksyen 503 dan 506 berkaitan ugutan jenayah, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada tahap keseriusan kes.
Namun, undang-undang semata-mata tidak mencukupi tanpa kesedaran masyarakat. Setiap pengguna media sosial perlu memahami bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab. Hak bersuara tidak pernah memberi lesen untuk menceroboh privasi orang lain atau menjadikan gangguan secara dalam talian sebagai norma baharu.
Ruang siber selamat hanya dapat diwujudkan apabila masyarakat sedar bahawa setiap klik mempunyai akibat. Media sosial tidak seharusnya menjadi senjata untuk menyerang, tetapi medium membina kefahaman dan keharmonian.
Dalam isu doxing sebagai bentuk gangguan secara dalam talian mesejnya jelas, fikir dahulu sebelum sebar kerana satu tindakan cuai boleh bertukar menjadi satu jenayah.
Masyarakat perlu menolak normalisasi gangguan siber dan bersama-sama membina ekosistem dalam talian beradab, berperikemanusiaan serta menghormati undang-undang negara demi kesejahteraan bersama dan keharmonian sosial berpanjangan.
Tanggungjawab ini bukan hanya milik kerajaan atau penguat kuasa, tetapi kewajipan kolektif semua warga digital tanpa mengira latar belakang, pengaruh atau kedudukan dalam masyarakat hari ini. Kesedaran berterusan mampu membendung budaya toksik dan penyalahgunaan kuasa maya.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Sumber: bharian.com.my (27 Februari 2026)
Date of Input: 16/03/2026 | Updated: 16/03/2026 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia