Buli Bukan Bina Ketahanan Mental, Tapi Luka Tak Tersembuh | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Buli bukan bina ketahanan mental, tapi luka tak tersembuh

Buli bukan bina ketahanan mental, tapi luka tak tersembuh

Apabila perkataan buli disebut, ramai terus membayangkan sekumpulan pelajar besar mengepung seorang pelajar kecil di tandas atau asrama.

Hakikatnya, gambaran ini terlalu sempit. Buli bukan isu kanak-kanak semata-mata, sebaliknya ia adalah fenomena sosial boleh berlaku di mana-mana - di rumah, sekolah, tempat kerja, media sosial, malah dalam badan beruniform yang sepatutnya membentuk disiplin dan kepemimpinan.

Persoalan yang sering timbul adalah sama ada pembuli dilahirkan dengan sifat berkenaan. Jawapannya jelas. Tiada siapa yang lahir sebagai pembuli.

Tingkah laku membuli terbentuk melalui persekitaran. Anak membesar dalam suasana keganasan rumah tangga, remaja dibiasakan dengan ejek-mengejek di sekolah atau pekerja melihat penghinaan sebagai norma kepemimpinan, akhirnya mempelajari bahawa membuli itu boleh diterima. Apabila perbuatan ini tidak ditegur, ia berubah menjadi budaya.

Lebih membimbangkan, masih wujud pihak cuba menjustifikasi buli sebagai 'latihan mental'. Kononnya, seseorang akan menjadi lebih tabah selepas dibuli.

Hakikatnya, ini adalah satu mitos berbahaya. Buli tidak pernah membina ketahanan mental, sebaliknya ia meninggalkan luka psikologi mendalam - ada yang sembuh, namun ramai yang membawanya sepanjang hayat.

Ketahanan sebenar dibina melalui cabaran sihat seperti latihan fizikal, persaingan akademik, aktiviti kepemimpinan dan disiplin berstruktur, bukan melalui penghinaan atau kekerasan.

Di negara ini, masyarakat pernah digemparkan dengan kes kematian seorang remaja berusia 13 tahun yang dikaitkan dengan kejadian buli di asrama. Tragedi ini membuka mata bahawa buli bukan sekadar isu disiplin kecil, tetapi mampu meragut nyawa.

Dalam dunia profesional pula, terdapat laporan mengenai pegawai perubatan muda yang mengalami tekanan emosi melampau akibat budaya buli di tempat kerja sehingga memerlukan rawatan. Namun, kes sebegini jarang mendapat perhatian kerana mangsa dewasa cenderung berdiam diri.

Dalam badan beruniform, masyarakat juga pernah dikejutkan dengan kes kematian pelatih akibat penderaan rakan sendiri. Kejadian ini membuktikan bahawa buli diselindungkan atas nama disiplin atau latihan ketahanan boleh membawa akibat yang tragik.

Usaha henti buli perlu bermula dari akar

Pada peringkat antarabangsa, dunia masih mengingati kes Phoebe Prince di Amerika Syarikat (AS) yang membunuh diri akibat buli berterusan serta kes pelajar Syria berusia 15 tahun di United Kingdom (UK) yang menjadi mangsa serangan rakan sekelasnya. Buli jelas tidak mengenal sempadan usia, bangsa atau geografi.

Persoalan lain yang sering timbul ialah mengapa kes buli di sekolah lebih kerap mendapat liputan media. Antaranya kerana simpati masyarakat lebih tinggi terhadap kanak-kanak, rakaman kejadian mudah tular di media sosial dan keberanian pelajar berkongsi pengalaman.

Mangsa dewasa pula sebaliknya, mereka takut kehilangan pekerjaan, dikenakan tindakan disiplin atau tercalar reputasi. Akibatnya, banyak kes buli dewasa diselesaikan secara dalaman dan tenggelam tanpa perhatian umum.

Cabaran buli hari ini semakin kompleks dengan kewujudan buli siber. Mangsa dihina, dimalukan dan difitnah di ruang maya tanpa sempadan dan tanpa henti. Tekanan emosi akibat buli siber terbukti memberi kesan serius terhadap kesihatan mental, khususnya dalam kalangan remaja.

Jika benar kita mahu menghentikan budaya buli, usaha mesti bermula dari akar. Individu perlu sedar bahawa ejekan, penghinaan dan pemulauan bukan gurauan.

Keluarga perlu menjadi ruang selamat yang mendidik empati. Sekolah mesti memperkukuh literasi antibuli dengan sokongan guru dan kaunselor. Organisasi pula perlu mempunyai dasar antibuli dan mekanisme aduan yang telus.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang penting untuk menghantar mesej jelas bahawa buli bukan salah laku kecil.

Pakar Psikologi Kaunseling, Dr Rozanizam Zakaria, pernah menegaskan bahawa buli bukan cara membentuk ketahanan, sebaliknya satu bentuk keganasan yang meninggalkan luka psikologi mendalam.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pula menunjukkan lebih 80 peratus kanak-kanak pernah terbabit dengan buli sama ada sebagai mangsa atau pelaku, dengan kesan langsung terhadap kesihatan mental mereka.

Dalam apa jua bentuk dan di mana jua berlaku, buli tetap salah. Ia tidak mendidik dan tidak menguatkan. Jika kita mahukan generasi yang berani, tabah dan berempati, rantaian budaya buli mesti dihentikan sekarang. Ini kerana buli bukan ujian ketahanan mental, sebaliknya ia adalah luka yang sering tidak pernah sembuh.

Penulis adalah Pensyarah Akademik Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Sumber: bharian.com.my (5 Februari 2026)

Date of Input: 13/04/2026 | Updated: 13/04/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
F, (09:26:19am-09:31:19am, 23 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]