Banyak iktibar boleh dikutip daripada ancaman geopolitik berlaku di sekeliling kita hari ini.
Rakyat Malaysia terutama kepemimpinannya perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman anasir luar. Perlu banyak menjelaskan dan menjawab isu babitkan geopolitik berkisar pencerobohan asing di luar sana - ancaman Zionis serta kuasa besar di ruang udara dan perairan Laut China Selatan.
Kawasan geopolitik Nusantara di Asia Tenggara sahaja membabitkan penduduk seramai 618 juta dengan keluasan 11 negara 4.5 juta kilometer persegi. Indonesia dengan lebih 18,000 pulaunya meliputi kawasan seluas 1.9 juta kilometer persegi dan berpopulasi sekitar 285 juta orang. Sementara Malaysia berkeluasan 329,000 kilometer persegi dengan 33 juta penduduk.
Bab geopolitik seharusnya menjadi perhatian serius badan tersohor kendalikan hal ehwal sejarah negara. Ia harus babitkan kepakaran antarabangsa, wilayah serta tempatan dalam apa jua program bertemakan sejarah.
Hakikatnya terlalu banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya yang masih kabur dan tidak sampai paras muktamad. Tuntutan Filipina dan geng Sulu terhadap Sabah; kesan sejarah mengenai pentadbiran Brunei terhadap wilayah Sarawak dan Sabah serta apa yang dinamakan watershed areas. Kawasan ini yang dilakukan pemetaannya oleh Inggeris banyak dipertikai kerana tiadanya batu sempadan.
Itu belum lagi masuk bicara cukup rumit babitkan pemilikan lebih 700 terumbu, beting dan rabung yang sudah 'ditandakan' banyak negara di perairan luas Laut China Selatan.
Apa sudah jadi dunia ini
Ada ketika apabila kita diasak untuk berfikir 'apa sudah jadi dengan dunia ini', barulah kita tahu besarnya nikmat keamanan yang kita kecapi di Malaysia ini. Seperti rakyat menerima bantuan tunai RM100 secara one-off yang terus dikreditkan ke dalam MyKad, biarpun ada segelintir pemimpin politik memperlekehkannya sebagai 'nilai sangat rendah'. Namun rupa-rupanya politikus terbabit tidak mewakili respons rakyat Malaysia yang menghargainya - dengan nilainya boleh digunakan membeli 14 kategori barangan asas di 7,300 kedai dan pasar raya terpilih seluruh negara.
Lantas semua pihak segeralah ambil iktibar, teladan daripada isu geopolitik yang terus membadai tanpa perikemanusiaan seperti di Gaza, Ukraine serta yang terbaharu demonstrasi ganas di Indonesia serta musibah menimpa Perdana Menteri Thailand sebelum ini, Paetongtarn Shinawatra.
Banyak pengajaran dan iktibar boleh dikutip dari rantau yang aman damai ini. Bukankah pelosok Nusantara ini pernah dipecah-pecahkan mengikut selera kolonial sejak 1511 hingga ke tahun-tahun merdekanya wilayah berkenaan? Bagi tempoh 1642-1945 (303 tahun) terhadap Indonesia dan 1511-1957 (446 tahun) bagi Semenanjung.
Harus ada rasa cuak dan prasangka mengapa politik Melayu di negara ini 'tampak' dipecah-pecahkan. Berlarutan sampai tak sudah sehingga ke hari ini tidak mendatangkan manfaat langsung kepada rakyat.
Tambah pula apabila ibu kota Indonesia yang baharu, Nusantara nanti akan muncul gah di Kalimantan dalam tempoh terdekat - kurang empat tahun sahaja lagi. Kelak daya saing kita akan lebih mencabar, selain diasak Singapura, Bangkok dan Hanoi. Walau apapun diutarakan sebagai mercu tanda atau tanda aras sesebuah masyarakat atau bangsa, indeks yang akan kekal tertera sebagai penentu dan cerminan ialah cara hidupnya.
Dentuman bom
Sebab itu daya menghidu ancaman geopolitik ini perlu tersemat dalam diri setiap rakyat kita. Hari ini, 2025 kita tidak pernah dengar dentuman bom perang. Yang pernah merasai derita ini adalah ayah ibu tok nenek kita dulu semasa zaman keganasan komunis 1960-an dan awal 1970-an. Yang berlaku pun pada era moden ini hanyalah insiden pencerobohan Lahad Datu kira-kira sedekad lalu. Lepas itu tidak ada.
Malah amat jarang kita dengar di sini orang mati dibunuh setiap hari, setiap bulan macam di Mexico dan satu, dua negara di rantau ini. Cuma kalau kemalangan jalan raya dan satu dua tragedi terpencil itu ada ramai terkorban. Tetapi pasal bedilan bom perang langsung tiada.
Masalah kita hari ini sebahagian pemimpin politik, baik di negeri dan pekan serta kampung mereka kurang pendedahan isu dan topik geopolitik ini. Pada siapa yang boleh kita rujuk?
Kalau kita boleh berfikir secara terbuka dengan keinsafan tinggi, kita akan akui politik itulah merubah negara bangsa. Kerana melalui prosesnya, ketentuan perjuangan dan hak individu serta kelompok dapat dinyata dan diterjemahkan.
Kuasa politik itulah melahirkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta perkembangannya yang pula mampu mengubah sejarah tanah air. Kuasa politik itulah yang menjamin hak istimewa Melayu dan komuniti lain di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), berkuasanya Raja-Raja Melayu wujudnya pengasingan kuasa, norma pentadbiran - semuanya hasil perjuangan politik.
Kuasa politik itulah yang menjamin tanah sawah tidak susut dan kedaulatan negara dijaminkan. Usah kita berpeluk tubuh, malas berfikir bab geopolitik berlaku di seluruh dunia hari ini.
Sumber: bharian.com.my (8 September 2025)
Date of Input: 10/09/2025 | Updated: 10/09/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia