Apabila Jocelyn Leitzinger menugaskan pelajarnya di kelas untuk menulis pengalaman mereka mengalami diskriminasi, pensyarah universiti itu mendapati watak wanita bernama Sally sering muncul sebagai mangsa dalam kebanyakan cerita ditulis mereka.
"Jelas sekali ChatGPT menetapkan nama umum untuk watak mangsa ialah Sally. Ini menunjukkan pelajar tidak menghasilkan cerita anekdot berdasarkan pengalaman hidup mereka sendiri," katanya yang juga Pensyarah Sarjana Muda Perniagaan dan Kemasyarakatan di Universit Illinois, Chicago.
Leitzinger menganggarkan sekitar separuh daripada 180 pelajarnya menggunakan ChatGPT secara tidak wajar dalam semester lepas, termasuk ketika menghasilkan tugasan mengenai etika kecerdasan buatan (AI), sekali gus disifatkan sebagai 'ironik' dan 'mengelirukan'.
Justeru, beliau tidak terkejut dengan penyelidikan terbaharu yang menyimpulkan pelajar menggunakan ChatGPT untuk menulis esei, kurang berfikir secara kritis.
Kajian pracetak yang belum melalui kajian semula setara oleh rakan sejawat (peer-reviewed), sudah tular di internet dan menarik perhatian pendidik yang selama ini kecewa dengan isu itu.
Pasukan penyelidik daripada Massachusetts Institute of Technology itu yang melakukan penyelidikan berkenaan, menerima lebih 3,000 e-mel daripada guru sejak ia diterbitkan bulan lalu, kata penyelidik utamanya, Nataliya Kosmyna kepada.
Dalam kajian berskala kecil itu, 54 pelajar dari Boston dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu kumpulan pertama menggunakan ChatGPT untuk menulis esei selama 20 minit; enjin carian (kedua) dan menggunakan pengetahuan mereka sendiri (ketiga).
Penyelidik menggunakan peranti elektroensefalogram (EEG) untuk mengukur aktiviti otak pelajar dan dua guru menanda esei berkenaan.
Pengguna ChatGPT memperoleh markah jauh lebih rendah berbanding kumpulan yang hanya menggunakan minda mereka. EEG menunjukkan bahagian otak mereka jarang terhubung.
Lebih 80 peratus daripada kumpulan ChatGPT juga gagal memetik sebarang isi kandungan daripada esei yang baru sahaja dihasilkan, berbanding sekitar 10 peratus dalam dua kumpulan lain.
Masuk ke sesi ketiga, kumpulan ChatGPT dilihat lebih tertumpu kepada kerja salin dan tampal.
Pensyarah menyatakan mereka mudah mengecam esei dihasilkan ChatGPT yang disifatkan tidak memiliki 'jiwa' kerana kurang kreatif, personaliti dan pandangan mendalam walaupun struktur dan tatabahasanya baik.
Pelajar guna minda, lebih bijak manfaatkan ChatGPT
Namun, Kosmyna menolak laporan media yang mendakwa kajian berkenaan membuktikan ChatGPT menyebabkan pengguna menjadi malas atau kurang bijak.
Beliau merujuk kepada sesi keempat, apabila kumpulan yang sebelum ini hanya menggunakan otak diberikan peluang menggunakan ChatGPT dan menunjukkan peningkatan dalam sambungan saraf mereka.
Kosmyna menegaskan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan daripada kajian berskala kecil itu, sebaliknya meminta lebih banyak kajian dijalankan untuk memahami bagaimana perisian AI boleh dimanfaatkan secara bijaksana dalam pembelajaran.
Sementara itu, ahli neuro sains daripada Universiti California San Diego, Ashley Juavinett yang tidak terbabit dalam kajian itu, mengkritik tajuk berita yang 'tersasar' dan membuat kesimpulan tidak tepat berdasarkan kajian awal berkenaan.
"Makalah ini tidak memiliki bukti mencukupi atau metodologi kukuh untuk membuat sebarang dakwaan mengenai kesan neural penggunaan model bahasa besar (LLM) seperti ChatGPT terhadap otak kita," katanya.
Bagaimanapun, Leitzinger berkata, hasil kajian itu mencerminkan pemerhatiannya dalam penulisan pelajar sejak ChatGPT dilancarkan pada 2022 apabila kesalahan ejaan semakin berkurang, begitu juga pandangan asli mereka.
Kadang-kadang, pelajar langsung tidak menukar jenis huruf (font) apabila menyalin daripada ChatGPT, katanya.
Perlu adil nilai pelajar, ramai keliru
Namun, beliau meminta pelajar diberi diadili dengan empati kerana mereka keliru apabila penggunaan AI digalakkan dalam sesetengah kursus, tetapi diharamkan dalam kursus lain.
Penggunaan perisian AI baharu kadangkala dibandingkan dengan pengenalan kalkulator yang memerlukan guru menyesuaikan kaedah pengajaran.
Bagaimanapun, Leitzinger bimbang kerana pelajar tidak perlu mengetahui apa-apa mengenai sesuatu topik sebelum menampal soalan esei ke dalam ChatGPT, sekali gus melangkau beberapa langkah penting dalam proses pembelajaran.
Sementara itu, seorang pelajar universiti di Britain yang enggan dikenali, berkata dia mendapati ChatGPT berguna untuk menyusun nota kuliah, mencari maklumat dalam talian dan menjana idea.
"Saya rasa menggunakan ChatGPT untuk menulis tugasan adalah salah kerana bukan itu tujuan kita belajar di universiti," katanya.
Isu ini bukan hanya membabitkan pelajar sekolah dan universiti.
Jurnal akademik turut berdepan dengan lambakan kertas penyelidikan yang dihasilkan menggunakan AI. Industri buku tidak terkecuali menerima tempias ini dengan sebuah syarikat pemula merancang untuk menerbitkan 8,000 buku ditulis AI setiap tahun.
"Menulis ialah berfikir, manakala berfikir adalah menulis. Apabila kita menghapuskan proses itu, apa lagi yang tinggal untuk pemikiran?" tanya Leitzinger.
Sumber: bharian.com.my (2 Julai 2025)
Date of Input: 11/07/2025 | Updated: 11/07/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia