Bantu Pekerja Hadapi Cabaran Baharu Alam Pekerjaan | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Bantu Pekerja Hadapi Cabaran Baharu Alam Pekerjaan

Bantu Pekerja Hadapi Cabaran Baharu Alam Pekerjaan

1 Mei yang lalu negara telah meraikan Hari Pekerja dan tema sambutan tahun ini ialah Pekerja Kesuma Bangsa. Secara prinsipnya, pekerja mahu kerjaya terjamin, masa depan cerah, sumbangan dihargai serta disediakan bantuan kebajikan yang sewajarnya.

Majikan pula mahukan pekerja cekap, efisien dan berintegriti memberikan perkhidmatan selain terus berusaha meningkatkan produktiviti dan keuntungan organisasi.

Maka, situasi menang-menang antara keperluan kebajikan pekerja dan tuntutan kemahuan majikan hanya akan terbentuk jika kedua-dua pihak saling memahami kehendak masing-masing melalui hubungan kerjasama secara ikhlas dan jujur.

Peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara serta ancaman revolusi teknologi dan digital khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) cukup membimbangkan pekerja.

Pekerja mahu majikan cakna dengan cabaran sedang mereka hadapi, misalnya perlu mengiktiraf sumbangan dan peranan pekerja melalui peningkatan gaji progresif, setimpal dengan kelayakan dan kemahiran.

Ia termasuk menawarkan kemudahan kebajikan untuk diri seperti jumlah cuti wajar serta bantuan kos rawatan perubatan untuk diri serta keluarga. Kadar gaji yang diterima sering mencetuskan perdebatan, sama ada setimpal dengan kelayakan dan pengalaman atau tidak.

Justeru, perlu ada pertimbangan dan perbincangan strategik antara majikan dengan pekerja supaya pekerja memperoleh gaji setimpal dan sebagai pulangan organisasi menikmati peningkatan produktiviti membanggakan.

Wujudkan ekosistem kerjaya selesa, kondusif

Dalam konteks ini majikan perlu mewujudkan ekosistem kerjaya selesa dan kondusif bagi membolehkan pekerja menikmati keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

Aspek kesihatan mental juga harus diberi perhatian sewajarnya oleh majikan kerana ia kini memberikan ancaman besar kepada kehidupan pekerja.

Majikan juga perlu membantu meredakan kebimbangan pekerja terhadap ancaman AI yang dikhuatiri boleh menjejaskan kedudukan dan masa depan kerjaya mereka.

Jujurnya, ramai yang risau AI akan meragut kerjaya mereka, justeru majikan perlu memberikan jaminan tidak akan mengorbankan pekerja kerana kemunculan AI yang dilihat boleh menggantikan tempat pekerja dalam beberapa sektor pekerjaan.

Dalam hal ini, majikan tidak harus bertindak terburu-buru atau mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya mengoptimumkan pekerja yang ada dengan menyuntik pelbagai nilai tambah melalui latihan kemahiran.

Pekerja perlu diberikan peluang latihan sewajarnya untuk menimba pengetahuan dan pengalaman bagi membolehkan relevan, sekali gus menjamin masa depan kerjaya mereka.

Namun, pekerja juga perlu terbuka untuk mengubah cara kerja dengan mengadaptasi teknologi terkini dalam kerja seharian. Pekerja perlu bersedia mengikuti latihan kemahiran dan teknologi supaya boleh melaksanakan tugas dengan lebih cekap, cepat dan efisien.

Falsafah Pekerja Kesuma Bangsa memerlukan pemerkasaan sinergi dan kerjasama erat antara majikan dan pekerja. Kerjasama erat ini akan meletakkan negara di landasan betul menuju matlamat status negara maju berpendapatan tinggi.

Penulis adalah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM

Sumber: bharian.com.my (29 April 2025)

Date of Input: 07/05/2025 | Updated: 07/05/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
F, (06:13:43pm-06:18:43pm, 03 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]