Bahaya Penggunaan Telefon Bimbit Semasa Memandu | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Bahaya Penggunaan Telefon Bimbit Semasa Memandu

Bahaya Penggunaan Telefon Bimbit Semasa Memandu

 

Penggunaan telefon bimbit merupakan salah satu daripada enam punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia. Masih ramai yang mengabaikan larangan penggunaan telefon bimbit walaupun mereka sedar akan bahaya penggunaannya semasa memandu kenderaan.

Senario ini bukan lagi perkara asing. Walaupun denda RM300 bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit seakan sedikit pun tidak memberi kesan malah rata-rata pemandu masih bersikap tidak endah dan masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Tahukah anda bahawa kesalahan di bawah kaedah 17A, LN166/59 dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya ia adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, jangan sesekali ambil mudah perbuatan ini kerana tabiat menggunakan telefon semasa memandu boleh memusnahkan hidup anda. Pastikan anda memberikan fokus sepenuhnya pada jalan raya, bukan pada telefon anda.

 

Kesan Penggunaan Telefon Bimbit

 

1. Hilang Tumpuan Semasa Memandu

 

Membalas pesanan ringkas dan membuat panggilan telefon semasa memandu boleh mengganggu tumpuan pemandu. Aktiviti lain seperti mengawal sistem navigasi dan sistem maklumat di dalam kenderaan juga boleh mengganggu tumpuan pemandu.

Sekiranya kadar gangguan semasa memandu semakin tinggi maka semakin lambat tindak balas yang menyebabkan jarak berhenti kenderaan meningkat. Hal ini menyebabkan risiko yang lebih tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.

 

2. Menjejaskan Kawalan Stereng

 

Pemandu yang sering menggunakan telefon bimbit di lampu isyarat atau bila-bila masa berkesempatan mungkin akan hilang kawalan stereng kerana terlampau fokus terhadap skrin telefon.

Hal ini kerana minda manusia tidak boleh fokus terhadap banyak perkara pada satu-satu masa. Oleh itu, pemanduan mungkin akan terganggu dan boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diingini berlaku.

Selain itu, memandu menggunakan satu tangan sambil menggunakan telefon juga sangat bahaya terutamanya apabila melalui jalan yang mempunyai selekoh tajam. Ia boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan terhadap kenderaan dan menyebabkan ia terbabas.

 

3. Gangguan Emosi

 

Gangguan emosi terjadi apabila minda seseorang pemandu berada di tempat lain dan bukannya pada pemanduan. Hal ini terjadi jika pemandu menjawab panggilan telefon ataupun membalas pesanan sewaktu memandu. Tumpuan mereka tidak akan sepenuhnya berada pada jalan raya kerana mereka memberi tumpuan terhadap perkara lain. Ia sangat berbahaya dan boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

 

4. Lambat Bertindak Balas

 

Apabila fokus seseorang pemandu itu terganggu, banyak perkara yang tidak diingini boleh menimpa pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain. Apabila tumpuan seseorang pemandu tidak lagi di jalan raya, mereka akan kurang peka tentang apa yang berlaku di atas jalan raya dan akan lambat memberikan tindak balas. Ini boleh menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan lain di mana pemandu tidak sempat menekan pedal brek lalu menjadi punca berlakunya kemalangan.

 

Sumber: www.prihatinspanco.com.my (9 Januari 2022)

 

Date of Input: 20/09/2022 | Updated: 20/09/2022 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
SXFUPAX~