Apakah Kita Akan Belajar Daripada Tragedi Bas Pelajar UPSI | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Apakah Kita Akan Belajar Daripada Tragedi Bas Pelajar UPSI

Apakah Kita Akan Belajar Daripada Tragedi Bas Pelajar UPSI

Kita biasa mendengar ungkapan my life flashed before my eyes atau 'seluruh kehidupanku seolah-olah diputar kembali sekelip mata' diucapkan seseorang yang mengalami detik cemas hampir meragut nyawa selepas terselamat daripada kemalangan mahupun bencana.

Tidak hairanlah, ramai percaya pada saat akhir sebelum sakaratul maut, kita akan dibentangkan dengan potongan-potongan fragmen kehidupan kita.

Mungkin ia kejutan kek ulang tahun kelahiran, jambangan bunga diperbuat daripada wang kertas hadiah hari lahir ibu, pelukan, salaman dan lambaian terakhir kepada kedua-dua orang tua serta ahli keluarga masing-masing atau hafazan al-Quran seorang hafizah yang sering menulis sendiri ayat suci itu.

Ia semua adalah sebahagian detik akhir dilalui 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum bas dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik, dua malam selepas Aidiladha lalu.

Bagaimanapun, kita pasti tidak dapat mengetahuinya kerana mereka sudah meninggalkan kita, malah kita juga tidak tahu sama ada kematian meragut mereka dalam keadaan jaga atau ia menjadi tidur terakhir sebelum dijemput Tuhan.

Apa yang dapat kita tahu melalui bacaan, dengar dan mungkin tontonan adalah perkongsian pengalaman ngeri dialami 27 rakan mereka yang tercedera serta membawa bersama parut dan trauma dalam perjalanan hidup selepas ini.

Begitu juga rintihan ibu bapa yang terpaksa mengebumikan jenazah anak di kampung halaman masing-masing yang tentu terlalu berat, tetapi takdir itu terpaksa diterima meskipun hati luka, selain tangisan abang, kakak dan adik yang tiada pilihan kecuali melepaskan mereka pergi.

Kita juga akan membaca dan mendengar kisah gelak tangis rakan mereka, baik sepermainan mahupun dari bangku sekolah hingga universiti dikongsi, terutama di media sosial.

Dalam ratusan, bahkan ribuan perkongsian itu, kita juga akan membaca, mendengar dan menonton kenyataan demi kenyataan daripada menteri dan pihak berkuasa hingga pakar, politikus, pemimpin tempatan dan agama serta orang perseorangan.

Antaranya kita dapat mengetahui betapa JRTB yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan dibina pada 1970 dan mula dibuka kepada lalu lintas pada 1 Julai 1982 sebenarnya sudah terlalu 'lusuh' hingga 70 peratus keadaannya keadaan kritikal dan teruk.

Kita digambarkan bagaimana JRTB berusia lebih 40 tahun itu adalah jalan dua lorong yang sempit, mempunyai selekoh tajam, cerun curam dan pencahayaan minimum terutama pada waktu malam, sekali gus menjadi 'resipi' kepada kemalangan maut.

Kita juga buat kesekian kalinya didedahkan betapa penghadang besi yang digunakan di kebanyakan jalan dan lebuh raya asalnya untuk mengelakkan kenderaan terbabas, bertukar menjadi pisau yang menghunus dan merobek kenderaan, termasuk bas persiaran yang dinaiki 42 pelajar UPSI itu.

Malah, kita juga 'dikejutkan' pemandu bas mempunyai 18 saman trafik lampau - walaupun kalimah kejutan itu sudah hilang makna kerana rekod hampir sama selalu didedahkan setiap kali kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.

Bongkar punca kemalangan maut

Bahkan, selepas tragedi maut sebegitu, kita juga sering dibongkarkan dengan masalah sistemik yang antara punca mengapa kemalangan maut sebegitu terus berulang.

Tragedi satu keluarga terkorban dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Keroh pada tahun lalu, membawa kepada serbuan ke atas 43 cawangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dalam Ops Mengejut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menahan beberapa individu atas kes meluluskan kenderaan tak selamat.

Dalam kemalangan tragik di Gerik itu pula, kita didedahkan perbuatan memajak permit bas ekspres dan persiaran membabitkan ribuan kenderaan itu yang beroperasi di seluruh negara walaupun menyalahi syarat pelesenan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Selepas satu demi satu kita didedahkan mengenai keadaan baik jalan raya, pemandu mahupun masalah sistemik, kita juga akan membaca kenyataan dan menonton sidang media menteri serta pihak berkuasa mengenai pelbagai penambahbaikan dari semua segi.

Antara kita baca ialah kerajaan kata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sedang merangka dasar baharu, termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

Malah, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangunkan pangkalan data pemandu bas ekspres dan persiaran, lengkap dengan rekod lampau dan buruk mereka, bagi tujuan penambahbaikan keselamatan pengangkutan awam darat.

Kerajaan juga kata, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sedia mengkaji semula penggunaan penghadang besi di sepanjang lebuh raya dan jalan utama negara ini yang dipersoalkan tahap keselamatannya kerana struktur itu boleh mengancam keselamatan pengguna.

Malah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mengeluarkan notis pemeriksaan dan surat tunjuk sebab kepada beberapa entiti perniagaan berkaitan kemalangan itu.

Puluhan syor, cadangan elak tragedi berulang

Kita akan terus membaca puluhan syor dan cadangan serta maklum balas daripada pihak berkuasa dengan satu hasrat, iaitu tragedi kemalangan maut sebegitu tidak lagi berulang.

Bagaimanapun, sebagaimana kita mahu mempercayai janji dan tekad untuk penambahbaikan serta perubahan itu, tetap ada sekelumit bimbang andai apa yang kita baca bakal mengulangi banyak tragedi sebelum ini.

Apa yang kita bimbang selepas darah sudah kering, pohon mula rimbun di atas pusara, luka kian sembuh dan jalan kembali diturap serta penghadang dipasang semula, semua pihak disibukkan dengan tugasan lain.

Ia akan berlalu begitu saja hinggalah kita dikejutkan dengan satu lagi tragedi dan kita akan membaca semula satu demi satu perkongsian mangsa dan ahli keluarga serta kenyataan pelbagai pihak daripada pihak berkuasa bertanggungjawab kepada pakar dan rakyat biasa.

Namun, kita tetap berharap biarlah kali ini, kita belajar daripada sejarah pedih ini untuk menjadi bangsa yang betul-betul mengubah tahap pemanduan dan keselamatan jalan raya.

Sumber: bharian.com.my (18 Jun 2025)

Date of Input: 11/07/2025 | Updated: 11/07/2025 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
X, (04:47:00am-04:52:00am, 31 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]