Amal Etika Kerja Islam Bina Jiwa Pekerja Berintegriti, Tadbir Urus Telus | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Amal Etika Kerja Islam Bina Jiwa Pekerja Berintegriti, Tadbir Urus Telus

Amal Etika Kerja Islam Bina Jiwa Pekerja Berintegriti, Tadbir Urus Telus

Dalam dunia moden penuh cabaran, perbincangan mengenai etika kerja semakin mendapat perhatian. Sama ada dalam sektor swasta mahupun awam, masyarakat mencari panduan nilai boleh menjamin keberkesanan organisasi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks ini, etika kerja berlandaskan Islam menawarkan kerangka nilai yang bukan sahaja berpaksikan wahyu Ilahi, malah bersifat sejagat serta relevan kepada semua agama dan bangsa.

Islam mengajar bahawa kerja adalah sebahagian daripada ibadah. Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 105 bermaksud: "Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang beriman".

Konsep ini mengubah kerja daripada sekadar mencari rezeki kepada satu bentuk pengabdian diri. Apabila kerja dilihat sebagai ibadah, ia melahirkan budaya disiplin, dedikasi dan kesungguhan dalam kalangan pekerja.

Teladan daripada Rasulullah SAW jelas membuktikan perkara ini. Baginda sendiri seorang pedagang terkenal dengan sifat amanah dan jujur, sehingga digelar al-Amin. Baginda tidak pernah menipu timbangan, malah mengutamakan kejujuran biarpun dalam urusan perniagaan. Ini membuktikan mencari rezeki dengan cara halal adalah ibadah, bukan sekadar urusan dunia.

Antara teras utama etika kerja Islam ialah amanah. Setiap tanggungjawab dipikul dianggap sebagai amanah mesti ditunaikan dengan penuh integriti. Rasulullah SAW bersabda: "Tiada iman bagi orang tidak amanah dan tiada agama bagi orang tidak menunaikan janji". (HR Ahmad).

Dalam kerangka tadbir urus, amanah bermaksud mengurus sumber secara telus, mengelak salah guna kuasa dan memastikan keputusan dibuat berlandaskan prinsip keadilan. Nilai ini sejajar dengan tuntutan tadbir urus baik yang menekankan ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban.

Khalifah Umar al-Khattab RA, misalnya, terkenal dengan ketegasannya menjaga amanah. Saidina Umar sering turun padang meninjau keadaan rakyat, memastikan pegawai tidak menyeleweng. Umar, bahkan memadam pelita minyak negara ketika berbual hal peribadi, kerana tidak mahu bercampur antara kepentingan diri dengan amanah negara.

Etika kerja Islam juga menekankan keikhlasan iaitu bekerja dengan niat bersih tanpa kepentingan diri. Pekerja yang ikhlas memberi komitmen melebihi ganjaran material, sekali gus membina organisasi kukuh.

Selain itu, Islam menuntut ketekunan dan disiplin. Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah mencintai seseorang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, ia dilakukan dengan tekun. (HR Baihaqi).

Disiplin benteng kepada penyelewengan

Ketekunan memastikan mutu kerja terjaga, manakala disiplin menjadi benteng daripada kelalaian dan penyelewengan. Saidina Uthman bin Affan RA pula menjadi contoh sahabat menghayati ketekunan kerja.

Beliau seorang ahli perniagaan berjaya yang banyak membiayai perjuangan Islam. Kejayaannya bukan sahaja dinikmati sendiri, malah dimanfaatkan untuk masyarakat, antaranya dengan membeli telaga milik Yahudi di Madinah dan mewakafkannya untuk kegunaan umum.

Etika kerja Islam turut membawa dimensi sosial luas. Pekerjaan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi masyarakat. Pekerja bertanggungjawab tidak menzalimi orang lain atau mengabaikan hak pelanggan. Prinsip ini selari dengan konsep tadbir urus Islam menekankan maslahah umum, memastikan segala tindakan membawa manfaat kolektif.

Khalifah Umar Abdul Aziz RA menjadi teladan kepemimpinan menzahirkan tadbir urus berteraskan nilai Islam. Pemerintahannya dikenang kerana adil, telus dan berpihak kepada rakyat. Model ini wajar dijadikan inspirasi kepada tadbir urus masa kini.

Walaupun berakar daripada ajaran Islam, nilai ini sebenarnya bersifat sejagat. Amanah, ikhlas, tekun dan bertanggungjawab adalah nilai kemanusiaan diterima semua agama dan budaya. Etika kerja Islam boleh dijadikan jambatan memperkukuh keharmonian antara kaum serta keyakinan terhadap institusi.

Dalam dunia hari ini, yang bergelut dengan isu rasuah dan ketirisan, menghayati etika kerja Islam mampu membina individu berintegriti dan tadbir urus adil serta telus.

Bagi Malaysia, penjawat awam adalah nadi utama pentadbiran negara. Mereka bukan sahaja melaksanakan dasar kerajaan, malah menjadi wajah pertama berurusan dengan rakyat.

Apabila penjawat awam menghayati konsep kerja sebagai ibadah, setiap tugasan seperti meluluskan permohonan, mengurus dana awam atau memberi khidmat nasihat bukan sekadar rutin, tetapi amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat.

Kesedaran ini mampu meningkatkan ketelusan, mengurangkan salah guna kuasa dan memperkukuh kecekapan penyampaian dasar. Ia juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI menekankan ihsan, integriti dan tanggungjawab sosial. Jika semua penjawat awam menghayati nilai ini, perkhidmatan awam akan lebih berwibawa dan diyakini rakyat.

Dalam konteks Malaysia, penjawat awam memainkan peranan penting sebagai tulang belakang pentadbiran negara. Mereka bukan sahaja melaksanakan dasar kerajaan, tetapi menjadi wajah utama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Apabila penjawat awam menjadikan kerja sebagai ibadah, ia mengubah keseluruhan landskap perkhidmatan awam. Tugas harian seperti meluluskan permohonan, mengurus dana awam atau memberi khidmat nasihat bukan lagi sekadar rutin, tetapi amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat.

Pendekatan ini mampu membina budaya kerja lebih telus, mengurangkan risiko salah guna kuasa dan meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar. Kesedaran bahawa setiap keputusan adalah sebahagian daripada ibadah akan mendorong penjawat awam untuk mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Malah, ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai berteraskan ihsan, integriti dan tanggungjawab sosial. Jika setiap penjawat awam menghayati konsep kerja sebagai ibadah, perkhidmatan awam negara akan lebih cekap, berintegriti dan diyakini rakyat.

Penulis ialah Ketua Pegawai Strategi, Institut Integriti Malaysia (IIM)

Sumber: bharian.com.my (19 September 2025)

Date of Input: 13/01/2026 | Updated: 13/01/2026 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6160
03-9769 7930
Z, (01:51:51am-01:56:51am, 02 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]