HARGA SEBUAH KEMERDEKAAN
- Leluhur kita telah berjuang dengan keringat, darah dan air mata untuk membebaskan negara tercinta ini. Cita-cita dan impian mereka hanya satu, mempertahankan martabat dan maruah anak bangsa ini dipertahankan dan dipelihara. Dari sebarang kemusnahan, penindasan dan kekejaman oleh penjajahan.
- Hakikatnya, perjuangan getir ini tidak terhenti dengan laungan keramat dari Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman pada pagi 31 Ogos 1957. Ancaman untuk menggalang kemerdekaan ini kekal wujud. Ancaman Konfrantasi, ancaman subversif dari Parti Komunis Malaya, tuntutan dari Filiphina atau Sulu terhadap Sabah, estremis kaum dan agama sentiasa wujud di negara tercinta ini.
- Perjuangan ini sentiasa teruji hari demi hari. Perjuangan ini, sentiasa menuntut korban yang bukan kepalang sedikit. Apakah sebenarnya nilai untuk mempertahankan harga sebuah kemerdekaan ini?
- Saudara kita di negara utara Sabah, telah kehilangan agama dan bangsanya. Negara yang satu ketika dulu milik rumpun Melayu dan beragama Islam dan ibukotanya bernama Fiamanillah, telah lenyap dari peta sejarah. Sebuah negara yang tidak lagi mengaku melayu dan kehilangan agamanya. Saudara kita di utara Semenanjung, sedang dan sentiasa terancam keganasan dan program asimilasi. Mereka tidak punya lagi nama, bangsa, bahasa dan tinggal hanya agama yang sedikit demi dikikis secara halus.
- Hari ini, ramai dari kita telah kehilangan erti maskud sebuah kemerdekaan. Kita semua hari ini, berdepan peperangan baharu yang tidak pernah dijangkakan. Kejutan demi kejutan semasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dan disusuli dengan PKPD, PKPB telah mengejutkan kita semua. Betapa kebebasan dan kemerdekaan yang kita miliki, tidak beerti. Semua dari kita merasai bagaimana leluhur sebelum kita merasai suasana curfew atau Perintah Berkurung.
- Bezanya, ketika itu, majoriti dari kita tidak terputus hubungan. Kita masih punya talian maya yang sentiasa menghubungkan kita dengan dunia luar. Mari kita bayang sejenak, bagaimana datuk nenek kita mengharungi Perintah Berkurung yang terputus segalanya, termasuk rezeki. Bagaimana mereka terkurung tanpa sebarang berita dari 6 petang hingga 6 pagi besoknya.
- Sebahagian kecil dari kita merasi jerih perih pelaksanaan PKP. Banyak perniagaan yang ditutup. Ramai juga kehilangan pekerjaan, Ramai tidak percaya bahawa pekerjaan yang mereka laksanakan yang akan kekal hingga hari tua, tidak diperlukan di saat PKP dilaksanakan. Tiada kerjaya yang kekal selamat.
- Sebahagian teman atau saudara kita, tersekat di sebarang Tambak, bertahun lamanya. Anak dan isteri atau suami, ibubapa terputus kasih sayang. Nilai dan harga sebuah kebebasan dan kemerdekaan diragut begitu sahaja apabila virus paling membunuh menular di kalangan kita. Lebih menyedihkan, kita kehilangan saudara, rakan, sahabat bahkan ibu dan bapa tanpa mampu kita memberikan penghormatan terakhir buat mereka.
- Pandemik Covid19, merupakan peperangan kejam yang meregut semua nilai dan harga sebuah kemerdekaan. Dijangkiti dan menjangkiti orang lain kemudiannya, merupakan dosa yang sangat besar yang dihurung rasa bersalah dan menyesal. Mereka yang dijangkiti, seolah telah menerima waran kematian yang tidak kunjung pasti bila hari pelaksanaan hukuman.
- Kemerdekaan bukan sahaja boleh hilang dengan peperangan. Kebebasan tidak sahaja boleh hilang dengan kekacauan atau pergelutan politik yang tidak pernah menampak sinar untuk dipadamkan, Keselesaan dan kebahagiaan boleh hilang dengan segala macam cara, dalam konteks yang tidak pernah kita mimpikan.
- Angka korban melebihi 36 ribu dan lebih 4.7 juta kes yang direkodkan pernah benar-benar menakutkan kita semua. Satu angka yang mengatasi jumlah korban ketika negara ini berdepan dengan ancaman Komunis.
- Sebagai sebuah pasukan yang menjadi front liner di zaman peperangan kelam dan kejam ini, kita menjadi saksi kesunyian dan kepiluan ini. Kita melihat sendiri, bagaimana kota yang sentiasa hiruk pikuk dengan segala macam aktiviti menjadi kelu, senyap dan sunyi. Manusia di dalam ketakutan diancam kematian yang menyeksakan. Kita menjadi saksi, kesedihan dan kesusahan ini. Masjid, kekal sunyi berbulan lamanya.
- Untuk ini, sesungguhnya nilai harga sebuah kemerdekaan adalah harga mati, tiada galang ganti. Ia menuntut segalanya yang kita miliki untuk kita pertahankan. Keutuhan jiwa, disiplin, dan integriti adalah ramuan untuk kita kekal kukuh, teguh dan Bersatu di dalam perjuangan ini. Kemusnahan yang berlaku akibat kegagalan mempertahankan kemerdekaan, adalah kemusnahan bangsa itu sendiri. Ia menjadi tanggungjawab bersama dan semua di dalam Pasukan ini, kerana kemusnahan itu nanti, akan memusnahkan semua ada yang di dalam pasukan ini.
- Meletakkan kepentingan peribadi, keuntungan diri sendiri atau polemik kecewa di haluan perjuangan ini, akan melemahkan diri sendiri. Pasukan tidak punya waktu untuk melayani sentiment keperibadian yang sama sekali tidak menguntungkan pasukan.
- Sejarah telah mengajar kita bahawa kemerdekaan boleh dimusnahkan dengan pelbagai cara. Kita tidak pernah punya pilihan selain apa yang kita lakukan, dari kukuh dan terus berjuang untuk memastikan nilai sebuah kemerdekaan ini tetap utuh dan terpelihara untuk generasi kita selepas ini. Perjuangan ini tidak pernah padam dan disaat ini, giliran kita pula berjuang untuk memastikan nilai sebuah kemerdekaan dapat dipertahankan.
- Mari kita terus berjuang dan membuktikan bahawa bangsa keramat dan negara berdaulat ini, tidak pernah kekeringan warisan darah perwira yang diwarisi oleh pejuang generasi ini yang silih berganti untuk terus mempertahankan, nilai sebuah kemerdekaan untuk negara yang berdaulat ini, Malaysia.
DSP/KS NORAZLAN BIN MOHAMMED
Pengarah Keselamatan
Kemaskini:: 12/10/2022
PERKONGSIAN MEDIA