Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam dengan rahmat dan redha-Nya kita masih boleh bernafas sehingga hari ini untuk menunaikan kewajiban sebagai hamba-Nya dan khalifah di atas muka bumi. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan mengalu-alukan kunjungan tuan-tuan dan puan-puan ke laman web Pusat Polis Bantuan & Keselamatan Universiti (APSeC), UPM.
APSeC sebuah Pusat Tanggungjawab (PTJ) atau jabatan dalam Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan agensi terulung dalam menyediakan perkhidmatan perlindungan keselamatan fizikal kepada warga kampus. Ini bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kampus tercinta kekal terpelihara. Sebagai sebuah badan yang memiliki kuasa Polis di bawah Akta Polis 1967, kami berperanan sebagai badan penguatkuasa undang-undang dan peraturan dalam kampus selain memberikan khidmat nasihat kepada pihak pengurusan universiti dalam aspek keselamatan.
Laman web APSeC ini telah diwujudkan bagi menyediakan maklumat berkaitan fungsi dan perkhidmatan jabatan kepada semua warga kampus termasuklah pelajar, pekerja, pelawat, ibubapa, pemegang taruh dan sebagainya. Maklumat-maklumat yang dipaparkan juga sentiasa dikemaskini secara berterusan bagi memastikan ianya sentiasa relevan dan terkini. Diharapkan dengan adanya laman web ini semua maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan dapat disalurkan kepada pengguna agar kualiti penyampaian perkhidmatan dan tahap kecekapan jabatan dapat dipertingkatkan sekaligus mengwujudkan rasa selamat tuan-tuan dan puan-puan sepanjang berada di dalam kampus UPM.
Saya mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan yang bernas daripada tuan-tuan dan puan-puan bagi menjadikan APSeC menjadi sebuah jabatan yang unggul dan progresif selaras dengan misi dan visi universiti untuk menjadi sebuah univerisiti bereputasi antarabangsa dalam memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.