Rancang Strategi Betul Untuk Mencegah Jenayah | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Rancang Strategi Betul Untuk Mencegah Jenayah

Rancang Strategi Betul Untuk Mencegah Jenayah

 

JENAYAH dan kegiatan jenayah telah menjadi perkara penting kepada semua rakyat Malaysia. Saban hari kita dihidangkan dengan berita jenayah sama ada jenayah jalanan, kekerasan atau yang melibatkan harta benda.

Jenayah dan ancaman ke­selamatan sememangnya telah menjadi satu masalah yang serius. Kebanyakan jenayah kekerasan yang berlaku meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada mangsa.

Hakikatnya kejadian jenayah berlaku di setiap negara selagi wujud punca dan penyebab serta selagi ada manusia yang mempunyai kecenderungan kepada pe­rilaku jenayah di mana Malaysia tidak terkecuali.

Untuk mengharapkan sebuah negara benar-benar bebas daripada jenayah adalah mustahil. Tetapi apa yang mungkin boleh dilakukan adalah dengan mengambil semua langkah perlu untuk mengurangkan kejadian jenayah atau untuk mencegah jenayah. Pencegahan jenayah adalah usaha yang merangkumi pelbagai sektor, disiplin dan tindakan yang bersepadu.

Pencegahan jenayah boleh meningkatkan kualiti hidup semua rakyat. Terdapat bukti jelas bahawa perancangan yang baik dan strategi yang betul bukan sahaja mencegah jenayah tetapi juga meningkatkan keselamatan masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

Tidak dinafikan pihak kerajaan yang perlu memikul tanggungjawab utama, tetapi penyertaan aktif komuniti dan segmen lain dalam masyarakat sivil adalah penting dan kritikal dalam usaha pencegahan jenayah yang lebih berkesan.

Keberkesanan pencegahan jenayah mempunyai manfaat jangka panjang dari segi mengu­rangkan kos berkaitan sistem peng­adilan jenayah dan juga kos-kos lain yang berpunca daripada jenayah. Berlakunya jenayah adalah satu peringatan bahawa rakyat tidak boleh memandang remeh hal keselamatan dan kesejahte­raan mereka.

Tidak menghairankan jika jenayah masih menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia memandangkan mungkin ada kalangan mereka, saudara-mara atau kawan-kawan rapat yang pada suatu masa pernah menjadi mangsa jenayah. Membaca berita jenayah setiap hari di media juga boleh menyebabkan rasa tidak selamat dan takut terhadap jenayah.

Bagaimanapun kita tidak harus melihat perkembangan ini secara negatif dari sudut pencegahan jenayah.

Hakikat bahawa jenayah adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia mencerminkan kesedaran awam yang semakin meningkat tentang keperluan untuk meme­rangi jenayah dan mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.

Ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu melihat lebih banyak usaha menangani jenayah dan mereka tidak mengambil ringan hal jenayah.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan perkembangan ini. Kebimbangan yang semakin meningkat terhadap jenayah harus diterjemahkan ke dalam penyertaan dan penglibatan lebih ramai rakyat di dalam program-program pencegahan jenayah dan aktiviti yang dianjurkan oleh MCPF.

Lebih ramai rakyat Malaysia daripada semua kaum boleh dan patut terlibat secara aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah di dalam masyarakat dan kejiranan mereka. Mereka perlu tampil menyertai program-program dan aktiviti pencegahan jenayah yang diusahakan sama ada melalui persatuan penduduk mereka sendiri, organisasi perdagangan atau mana-mana badan bukan kerajaan lain untuk meningkatkan kese­daran orang ramai tentang apa yang boleh dan perlu dilakukan untuk mencegah jenayah.

Objektif utama adalah untuk menanam serta menyemai budaya pencegahan jenayah dalam kalang­an masyarakat supaya semua akan mengambil serius perihal keselamatan. Apa yang diperlukan adalah membangunkan satu sikap toleransi sifar terhadap jenayah.

Pada masa sama, pihak polis yang menggalas tanggungjawab utama membanteras jenayah perlu meneruskan dan mengukuh­kan keupayaan serta sumber-sumber sedia ada dengan penglibatan da­ripada masyarakat.

Sasaran perlu diletakkan untuk mencapai kadar penyelesaian kes jenayah yang lebih tinggi melalui prestasi yang dipertingkatkan dan kecekapan yang lebih baik terutama dalam keupayaan pengumpul­an maklumat menjurus kepada sasaran mereka.

Usaha polis dalam tindakan pembanterasan jenayah bukan sahaja boleh membantu membina persepsi awam yang positif, bahkan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai bahawa pasukan itu benar-benar profesional dan dapat melaksanakan peranannya dengan penuh integriti.

Dalam menangani kebimbang­an orang ramai terhadap jenayah, apa yang penting bukan sahaja memastikan kehadiran anggota polis di kawasan-kawasan yang berisiko jenayah, tetapi juga memastikan penempatan lebih ramai anggota polis di jalanan yang mampu berinteraksi mesra de_ngan orang ramai dan memahami keperluan dan apa yang menjadi kebimbangan mereka.

Dalam beberapa pertemuan antara saya dengan pihak polis, saya sering menekankan tentang keperluan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Dengan kemahiran komunikasi dan latihan yang lebih baik, mereka akan dapat menjalankan tugas secara profesional. Pembelajaran bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil juga boleh dilaksanakan untuk membantu meningkatkan interaksi dengan masyarakat secara berkesan.

Walaupun kita perlu berusaha keras untuk memerangi jenayah dengan memperketatkan pengu­atkuasaan undang-undang dan melatih lebih ramai tenaga kerja, kita tidak boleh mengabaikan punca-punca dan penyebab kepada berlakunya jenayah.

Jenayah berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti kemiskinan dan kemerosotan ekonomi, pengangguran, nilai-nilai sosial dan keluarga yang semakin rapuh, masalah dadah yang serius, institusi kekeluargaan yang semakin berpecah dan juga ketidakseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan moral dan nilai murni.

Isu-isu seperti ini perlu diteliti dan diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan penggubal dasar.

Penagihan dadah adalah salah satu punca utama berlakunya pelbagai kes jenayah jalanan se­perti ragut, pecah rumah dan sebagainya. Lebih banyak kejadian jenayah akan terus berlaku jika isu penyalahgunaan dadah tidak dapat diatasi.

Kita perlu menangani jenayah daripada pelbagai sudut:-

Dari aspek pendidikan, kita memerlukan program-program kesedaran yang berterusan untuk mendekati semua lapisan masyarakat serta mendidik golong­an belia dan remaja menjauhi diri daripada gejala sosial. Pihak sekolah perlu memperketatkan disiplin dengan bantuan para guru, ibu bapa dan pihak berkuasa yang berkenaan.

Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka dalam membesarkan anak-anak. Mereka perlu sentiasa memikirkan tentang keselamatan anak-anak di luar rumah dan juga di sekolah. Ibu bapa mesti mengambil berat masalah membesarkan anak-anak dan memainkan peranan membimbing mereka membesar menjadi insan yang baik dan berguna.

Kerajaan pula mesti bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang demi kepentingan keharmonian masyarakat dan pencegah­an jenayah.

Undang-undang bukan sahaja perlu dikuatkuasakan tetapi mesti dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

 

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

 

Sumber: Utusan Online (29 Disember 2016)

Date of Input: 31/05/2019 | Updated: 15/10/2019 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
WXFfSA5~