Kejadian Tanah Runtuh Di Tanah Tinggi Malaysia | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Kejadian Tanah Runtuh di Tanah Tinggi Malaysia

Kejadian Tanah Runtuh di Tanah Tinggi Malaysia

Tanah runtuh merupakan fenomena alam yang kerap berlaku di sesuatu tempat terutamanya di kawasan tanah tinggi dan cerun curam seperti Bukit Fraser, Cameron Highland dan Ranau. Sehingga Januari 2022, terdapat 139 kes tanah runtuh yang berlaku di sepanjang jalan naik dan turun Bukit Fraser dan 60 daripadanya dilaporkan menghadap jalan. 10 kes tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat yang berlarutan selama dua jam pada 22 November 2021 di jalan utama Cameron Highland yang mengakibatkan beberapa orang awam tercedera. Ranau pula mencatatkan 2 kes tanah runtuh di sepanjang Jalan Kampung Bongkud dan Jalan Kompleks Sukan pada 2 Januari 2022 bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Tanah runtuh ditakrifkan sebagai pengerakkan tanah, batuan dan debris menuruni cerun jatuh ke bahagian tanah yang landai. Tanah runtuh juga terbahagi kepada banyak jenis seperti gelongsoran putaran, gelongsoran translasi, runtuhan batuan and aliran debris. Kekerapan berlakunya geobencana semula jadi ini banyak memusnahkan harta benda, mengorbankan banyak nyawa dan menganggu sektor ekonomi. Ia berlaku pada bila – bila masa dan di mana – mana tempat serta memberi kesan negatif kepada persekitarannya. Masyarakat masih kurang peka lagi berkenaan kejadian tanah runtuh ini meskipun geobencana ini acap kali terjadi. Hal ini demikian kerana kurangnya ilmu berkenaan punca atau faktor dan tanda – tanda serta ramalan akan berlakunya fenomena alam ini.

Bahkan perulangan tanah runtuh juga turut berlaku di tanah tinggi dan kawasan pedalaman Malaysia tanpa disedari oleh rakyat tempatan. Hal ini telah diulas oleh pakar geologi, yang mana kebanyakan tanah runtuh yang telah terjadi dahulu atau tanah runtuh pendam lama ini dilitupi dengan tumbuh – tumbuhan tebal. Kemungkinan kejadian tanah runtuh baru berlaku di dalam zon tanah runtuh pendam lama amat tinggi dan ia sukar dilihat dengan mata kasar. Pengaktifan semula tanah runtuh ini mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kelembapan bawah tanah dan variasi tekanan liang berkait dengan intensiti hujan, geologi kawasan serta gangguan aktiviti manusia.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kejadian tanah runtuh. Walau bagaimanapun, setiap kawasan berlaku kejadian tanah runtuh mungkin tidak dipengaruhi oleh faktor yang sama. Setiap faktor tersebut perlu dikaji dan dihubung kait dengan kejadian tanah runtuh dengan lebih mendalam yang mana siasatan di lapangan perlu dilakukan dan dibantu oleh data – data sokongan. Antara faktor – faktor tersebut adalah taburan hujan, litologi, jenis tanah, guna tanah dan sudut kecuraman cerun.

Taburan hujan memainkan peranan penting dalam kejadian tanah runtuh yang mana pergerakan air dalam tanah akan berlaku kemudian mengalir ke bahagian rongga dan bahan yang longgar. Selepas curahan hujan yang berterusan, kemungkinan berlakunya fenomena tanah runtuh adalah tinggi disebabkan penambahan jisim ke atas jasad batuan atau cerun. Litologi juga menjadi faktor penting dalam fenomena tanah runtuh kerana setiap litologi mempunyai komposisi mineral dan tekstur yang berbeza. Hal ini mempengaruhi kekuatan, keporosan, kebolehtelapan dan proses luluhawa pada sesuatu jasad batuan. Oleh itu, jenis litologi yang berbeza mempunyai tahap rintangan dan tahap kerentanan yang berbeza dalam isu tanah runtuh ini.

Kekuatan jasad batuan akan dipengaruhi oleh struktur geologi seperti sesar, kekar dan rekahan. Bukaan di sesuatu jasad akan melemahkan jasad tersebut yang mana berlaku peningkatan kebolehaliran bahan asing atau air di dalamnya kemudian memusnahkan bahan yang disimen. Zon luluhawa juga akan mudah terjadi dengan adanya rekahan dan bukaan di dalam jasad batuan. Tanah adalah puing batuan yang terluluhawa sempurna, berbutir halus dan bercampur dengan sedikit bahan organik. Jenis tanah mempunyai kandungan mineral, keporosan dan keplastikan yang berbeza. Oleh itu, jenis tanah di sesuatu kawasan perlu dijalankan ujian makmal untuk mengetahui had keplastikan dan saiz butirannya. Guna tanah merujuk kepada penggunaan tanah bagi tujuan aktiviti manusia seperti pertanian dan pembangunan. Luluhawa dan hakisan akan berlaku jika permukaan tanah terdedah kepada agen luluhawa. Pemotongan cerun yang mempunyai risiko geobahaya bagi tujuan pembangunan perlu dielakkan tetapi jika masih perlu, langkah mitigasi bagi mengelakkan kegagalan bahan bumi wajib diambil secara serius. Sudut kecuraman cerun, yang mana bahan bumi lebih mudah bergerak menuruni cerun yang curamnya melebihi 25°. Kesannya, kawasan yang mempunyai kecuraman cerun yang lebih tinggi akan mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh.

Terdapat pelbagai analisis dan siasatan yang harus dilaksanakan di zon bencana tanah runtuh. Pada peringkat awal, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah seperti analisis foto udara, imej satelit, peta topografi dan geologi terain untuk merekodkan data lineamen sebelum ke lapangan. Kemudian, survei ciri geomorfologi dan canggaan permukaan dengan kaedah survei butiran aras laras turut dijalankan bagi menghasilkan peta dasar yang meliputi kawasan zon bahaya dan zon kawalan. Survei ini dijalankan di lapangan bagi mengumpul data – data seperti topografi, morfologi tanah runtuh, infrastruktur, bangunan dan saliran. Pemetaan geologi dan geomorfologi lokasi tanah runtuh turut dilakukan untuk merekodkan fitur-fitur geodinamik, jenis litologi, struktur geologi seperti lipatan, sesar, retakan dan struktur relik turut direkodkan. Kemudian, pengenal pastian jenis dan mekanisma kegagalan tanah runtuh.

Selain itu, siasatan seperti geologi kejuruteraan, geofizik, air bawah tanah, penggerudian sampel tanah serta batuan dan ujian in-situ termasuk persampelan dan ujian makmal diklasifikasi di bawah siasatan geoforensik tanah runtuh turut dilakukan. Geoforensik tanah runtuh merupakan aplikasi teknik geosains yang dijalankan bagi mengumpul bahan bukti dalam sistem perundangan untuk mengenal pasti kegagalan struktur kejuruteraan atau fitur semula jadi.

Siasatan geologi kejuruteraan merangkumi pemetaan menyeluruh struktur geologi, survei ketakselanjaran dan geologi bawah tanah dijalankan di zon bahaya tanah runtuh. Siasatan geofizik pun turut digunakan bagi membantu mengenal pasti profil geologi subpermukaan, kawasan sesar dan kawasan tepu air. Siasatan ini membolehkan pengecaman struktur tertimbus yang berkaitan dengan aktiviti manusia dan proses semula jadi dilakukan.

Survei keberintangan geoelektrik, pengutuban teraruh dan pembiasan seismos adalah antara kaedah geofizik yang biasa digunakan dalam kes tanah runtuh. Survei keberintangan geoelektrik dijalankan bagi menentukan nilai keberintangan bahan bawah tanah dengan mengalirkan arus elektrik ke bawah tanah. Arus elektrik yang mengalir akan melalui medium subpermukaan yang merangkumi lapisan bahan dan keberintangan yang berbeza. Survei pengutuban teraruh pula dapat merekodkan nilai kebolehcasan bahan pada zon tanah runtuh yang mana nilai kebolehcasan tanah liat adalah tinggi. Nilai yang rendah menunjukkan kandungan air yang dikaitkan dengan zon terluluhawa. Survei seismos biasan dijalankan untuk mengetahui struktur lapisan bawah permukaan dan halaju melalui lapisan batuan dengan menilai masa ketibaan gelombang pertama dan biasannya. Ringkasnya, siasatan geofizik tidak merosakkan struktur kawasan kajian. Ia sesuai untuk digunakan di kawasan didiami penduduk seperti bandar, yang mana banyak isu alam sekitar dan kejuruteraan terjadi. Kaedah geofizik dapat mengumpul maklumat bahan bumi subpermukaan di kawasan luas dengan cepat. Selain itu, siasatan geofizik tidak memerlukan penggalian bawah tanah. Ini bermakna kawasan tanah yang besar boleh dikaji dengan kos yang jauh lebih murah.

Kemudian, siasatan air bawah tanah turut dilakukan bagi kes tanah runtuh, ia melibatkan pengukuran paras air bawah tanah dan tekanan air liang.  Lokasi penggerudian dan ujian in-situ pula ditentukan berdasarkan kepada maklumat siasatan geologi kejuruteraan dan survei geofizik. Penggerudian dijalankan untuk mendapatkan profil geologi bawah tanah dengan peralatan mekanikal. Akhir sekali, persampelan bahan geologi di tapak kejadian tanah runtuh dibawa ke makmal untuk menentukan sifat-sifat fizikal seperti pengelasan saiz butiran, kekuatan dan kandungan bahan mineral.

Konklusinya, kes tanah runtuh yang terjadi di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Oleh itu, tinjauan dan kajian geologi perlu dilakukan oleh pihak berwajib dengan menggunakan kaedah atau siasatan yang terperinci bagi membendung bencana ini yang banyak merosakkan infrasktruktur, kehilangan nyawa dan kemerosotan ekonomi di sesuatu kawasan. Suatu dana khas perlu disediakan untuk kerja-kerja penyiasatan geobencana yang berlaku bagi mengelakan kejadian tersebut berulang dengan tragis dan semua pihak akan lebih bersedia menghadapinya.

Sumber: www.majalahsains.com

Date of Input: 10/01/2023 | Updated: 10/01/2023 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
SXFULAS~