Kaedah Baharu Tangani Kes Jenayah | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Kaedah Baharu Tangani Kes Jenayah

Kaedah Baharu Tangani Kes Jenayah

 

Jenayah ialah produk sosial. Sifat dan ragamnya mencerminkan keadaan masyarakat. Dalam menangani jenayah, kita dapat lihat bagaimana sesebuah negara merumuskan polisi dan undang-undang mengikut keperluan semasa.

Contohnya di Malaysia, kita dapat lihat bagaimana Kanun Keseksaan dipinda lebih 20 kali sejak negara merdeka. Begitu juga penggubalan undang-undang bahar membanteras jenayah khusus seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sifat teras jenayah kekal setiap zaman. Asasnya, jenayah ialah segala tindakan mendatangkan mudarat kepada manusia dan kerosakan harta benda. Bagaimanapun, pendekatan menangani jenayah perlu sentiasa disemak dan ditambah baik.

Dua faktor utama menuntut perubahan dibuat ke atas pendekatan melawan jenayah. Pertama, berkaitan perubahan masyarakat mencakupi ekonomi, sosial dan politik, yang turut mengubah ragam jenayah hari ini. Ini termasuk proses globalisasi yang memudahkan jenayah rentas sempadan.

Faktor kedua berkaitan perkembangan pesat teknologi dan sains. Usaha membasmi jenayah perlu lebih ke depan dalam memanfaatkan kemajuannya berbanding penjenayah licik.

Perubahan pendekatan pembasmian jenayah seharusnya bukan terbatas pindaan undang-undang tetapi merangkumi aspek penting lain. Pendekatan holistik menuntut pembabitan pelbagai sektor. Kini, pencegahan dan pengurusan jenayah bukan hanya tanggungjawab penguatkuasa undang-undang dan badan kehakiman.

Terdapat dua asas utama pendekatan baharu menangani jenayah. Pertama, ia menuntut agar polisi pencegahan dan pengurusan jenayah dirumuskan berdasarkan bukti penyelidikan atau evidence-based. Undang-undang terhasil berdasarkan kajian mendalam, terperinci dan menyeluruh lebih berkesan, berbanding undang-undang secara reaktif. Undang-undang reaktif sekadar menjawab gesaan ‘kita mesti buat sesuatu’, sering tidak berkadaran dan lebih buruk lagi jika mengesampingkan nilai diangkat masyarakat dan Perlembagaan.

Mutakhir ini, penularan maklumat di media sosial ada kalanya tidak menggambarkan keseriusan dan keleluasaan sebenar sesuatu jenayah. Maka, data dan statistik wibawa menjadi prasyarat penting melaksanakan proses menyemak atau meminda undang-undang jenayah. Penggubalan undang-undang berdasarkan sentimen dan ‘tuntutan politik’ perlu dielakkan.

Penyelidikan mengenai langkah menangani jenayah perlu dibumikan melalui gandingan tenaga merentasi sektor perkhidmatan. Kerjasama antara penguatkuasa, pengamal undang-undang dan penyelidik akademik perlu sentiasa dipertingkatkan.

Penyelidikan di institusi juga perlu berpijak di bumi nyata. Selain makalah akademik di jurnal antarabangsa, universiti awam (UA) perlu menggalakkan penyelidik memperluaskan impak sosial hasil kajian. Penghasilan kertas polisi dan penganjuran sesi rundingan dengan golongan di lapangan sewajarnya diberi perhatian.

Di samping itu, penyelidikan rentas disiplin mustahak dalam menangani jenayah berteraskan bukti penyelidikan. Misalnya, penyelidik undang-undang perlu bergandingan ahli kriminologi agar kajian lebih menyeluruh dan mampu membuahkan hasil wibawa.

Memandangkan jenayah cukup relatif dengan keadaan masyarakat, pendekatan penyelidikan ‘socio-legal’ wajar diperluaskan. Sudah tiba masanya untuk ahli kriminologi ditempatkan di fakulti undang-undang seperti amalan universiti terkemuka di Eropah.

Asas kedua, pendekatan baharu perlu mengurangkan penumpuan aspek hukuman dan kebergantungan terhadap undang-undang. Jenayah perlu dilihat sebagai penyakit sosial yang perlu dirawat dan dipulihkan serta tidak semuanya ditangani dengan hukuman. Adakalanya, hukuman akan hanya mengeruhkan keadaan atau mengendalakan usaha melawan jenayah, selain membazir tenaga dan kos.

Dasar diperkenalkan kerajaan yang menanggapi penagihan dadah sebagai penyakit perlu dirawat dan bukan dihukum, wajar disokong. Begitu juga semakan yang sedang dibuat ke atas kesalahan cubaan membunuh diri yang sewajarnya ditangani melalui langkah pemulihan. Menghukum orang yang sudah putus asa untuk hidup, sukar diterima akal.

Proses dekriminalisasi bukan bermakna masyarakat dipaksa menerima sesuatu tindakan sebagai baik atau tidak mudarat. Hakikatnya, ia menitikberatkan kaedah terbaik dalam menangani sesuatu penyakit sosial dengan menyaring langkah yang tidak membantu. Kita perlu sedar undang-undang bukan jawapan untuk semua masalah sosial.

Hukuman hanya mungkin memuaskan hati, tetapi bukan mengubati. Sekiranya hukuman diperlukan bagi kesalahan tertentu, bentuk sewajarnya dipelbagaikan agar berkadaran dan berpadanan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui United Nations Standard Minimum Rules for Non-custodial Measures (Tokyo Rules), mempromosi dan mengeluarkan garis panduan bagi penggunaan hukuman alternatif dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hukuman pemenjaraan.

Gaya hidup dan keadaan d masyarakat berubah menuntut kita mengislah sudut pandang terhadap jenayah dan langkah menanganinya. Dalam wacana akademik di Universiti Leeds dihadiri penulis pada 2018, sarjana kriminologi dan keadilan jenayah, Prof Phillip Stenning, memberi analogi menarik mengenai jenayah.

Beliau mengibaratkan jenayah sebagai sampah atau bahan buangan. Jika dahulu, kita meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan untuk melupuskan sampah, kini kita mula membantu dengan mengasingkannya mengikut jenis bagi tujuan kitar semula.

Sebahagian pula lebih proaktif dengan cuba ‘mencegah’ penghasilan sampah dengan mengurangkan penggunaan beg dan botol plastik. Begitulah juga usaha menangani jenayah. Pendekatan baharu dan anjakan paradigma diperlukan apabila kita sedar cara lama tidak berkesan dan kita bertanggungjawab mencegah dan mengurus jenayah.

Sumber: bharian.com (4 Februari 2020)

Date of Input: 27/06/2023 | Updated: 28/06/2023 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
SXFUNAu~