Etika Pergaulan Islam Elak Gangguan Seksual Di Tempat Kerja | AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
» ARTICLE » Etika Pergaulan Islam Elak Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

Etika Pergaulan Islam Elak Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

 

Selain di tempat awam, gangguan seksual juga boleh berlaku di tempat kerja dan pelakunya mungkin majikan atau ketua; rakan sekerja; atau pelanggan organisasi. 

Menurut Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999, gangguan seksual terbahagi kepada dua bentuk.  Pertama, pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau istilahnya quid pro quo.  Sebagai contoh, majikan berkata kepada pekerjanya, “Kalau kamu hendak naik pangkat, bersedialah untuk melayan kemahuanku” dan kemahuannya itu berkait dengan seks.

Kedua, tingkah laku yang menimbulkan suasana tempat kerja yang tidak tenteram kepada mangsa, khususnya tingkah laku seksual yang tidak diingini.  Gangguan seksual bentuk kedua ini boleh berlaku secara lisan (usikan-usikan bersifat seksual), isyarat (isyarat yang membayangkan perlakuan seks), visual (menunjukkan bahan-bahan lucah), psikologi (mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak) dan sentuhan fizikal (menepuk, mencubit, mengusap, menggesel dan seumpamanya). 

Dalam satu kajian ke atas jururawat wanita di Melaka, didapati bahawa 51.2% daripada mereka pernah mengalami gangguan seksual.  Kajian dalam kalangan pekerja hospitaliti di Terengganu pula mendapati bahawa 53% daripada mereka pernah mengalami gangguan seksual. 

Walaupun lebih separuh warga kerja pernah menjadi mangsa gangguan seksual, namun hanya sedikit sahaja yang melaporkan kejadian tersebut.  Ada kajian yang mendapati bahawa hanya 20% kes gangguan seksual yang dilaporkan manakala 80% lagi berlalu begitu sahaja. 

Selain rasa malu dan takut akan stigma sosial, mangsa gangguan seksual tidak melaporkan kejadian tersebut kerana takut akan akibatnya seperti tidak mendapat kenaikan pangkat yang diharapkan; percaya bahawa laporan yang dibuat tidak akan ke mana-mana; dan, bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana melaporkan kejadian tersebut.  Pertimbangan untuk melapor atau tidak melaporkan kes gangguan seksual ini akan menjadi lebih sukar jika pelakunya merupakan ketua mangsa di pejabat.

Gangguan seksual meninggalkan tiga (3) kesan utama kepada mangsa.  Pertama, kesan psikologi, iaitu mangsa merasa kecewa, marah, takut, dan malu.  Kedua, kesan fisiologi iaitu kesan yang berkait dengan kesihatan mangsa dan  mangsa mungkin mengalami rasa pening, penurunan berat badan yang mendadak, gangguan tidur serta fobia.  Akhirnya, kesan terhadap pekerjaan, mereka mungkin hilang tumpuan, produktiviti terjejas dan mungkin membuat keputusan untuk berhenti. 

Dalam keadaan terdapat ramai mangsa gangguan seksual di tempat kerja dan mereka mengalami kesan negatif daripada kejadian itu; sedangkan kejadian-kejadian ini tidak dilaporkan, maka menghindari gangguan seksual di tempat kerja adalah lebih baik berbanding usaha untuk menanganinya setelah ia berlaku.

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat sentiasa menjadi pendekatan Islam.  Salah satu cara untuk mencegah gangguan seksual menurut Islam adalah dengan mengamalkan etika pergaulan antara lelaki dengan perempuan.

Menurut Abu Syuqqah (1998) etika pergaulan yang dianjurkan Islam ini merangkumi empat perkara:  (i) serius dalam pertemuan; (ii) menahan pandangan (dan memelihara aurat); (iii) menghindari khalwat; dan, (iv) menghindari pertemuan lama yang berulang-ulang.

Serius dalam pertemuan bermaksud apabila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan, mereka perlu berhubung secara serius. Etika ini berdasarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Ahzab (33), ayat 32.  Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi, oleh sebab tujuannya baik, maka ia boleh dijadikan panduan oleh wanita biasa demi untuk mengelakkan kejadian buruk terhadap diri mereka.

Etika kedua ialah menahan pandangan yang membawa maksud, dalam pertemuan antara lelaki dengan wanita, mereka perlu menjaga pandangan agar tidak timbul niat yang tidak baik dan untuk mengelakkan fitnah. Etika ini berdasarkan ayat 30 – 31, surah an-Nur, Allah mengingatkan kaum lelaki dan wanita agar menyekat pandangan mereka dari melihat yang haram dan menjaga kehormatan daripada melakukan zina.  Bagi wanita pula ditambah arahan agar tidak mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahram kecuali anggota tubuh yang zahir – iaitu bulatan muka dan kedua tapak tangan.

Etika ketiga ialah menghindari khalwat. Perkara ini berdasarkan kepada hadis Riwayat Bukhari, iaitu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya”.  Jadi, apabila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan, mereka hendaklah mengelakkan diri dari berdua-duaan.

Etika keempat ialah menghindari pertemuan yang lama dan berulang-ulang. Etika ini perlu dijaga kerana dalam pertemuan seperti ini amat sukar untuk menjaga pelbagai etika seperti menahan pandangan, serius dalam berbicara atau bertingkahlaku yang sopan. Sebaliknya, dalam pertemuan seumpama ini, nilai-nilai malu dan kesopanan itu semakin menipis.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini, etika pergaulan Islami ini perlu diamalkan bukan sahaja dalam hubungan bersemuka, tetapi juga ketika berhubung melalui telefon dan di alam maya.   

Ada yang menganggap “usikan” yang dilakukan kepada rakan sekerja sebagai satu gurauan tanpa menyedari bahawa gurauan tersebut ialah satu gangguan seksual.   Adab bergurau dalam Islam merangkumi: (i) tidak keterlaluan dan melebihi batasan; (ii) tidak menganiayai atau memburukkan orang lain; dan, (iii) menjauhi dusta.  Dengan adab semurni ini, tiada ruang untuk “gurauan lucah” dan “gurauan menghina” dalam masyarakat.

Sehubungan dengan itu, majikan perlu memainkan peranan untuk menghindari gangguan seksual di tempat kerja dengan meningkatkan kesedaran warga kerja tentang perkara ini; menganjurkan etika pergaulan Islami; dan menyediakan mekanisme pengurusan gangguan seksual yang berkesan agar mangsa mendapat keadilan dan pemangsa dihukum.  Jika tidak, majikan dianggap gagal untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat sehingga maruah dan harga diri pekerja dengan mudah dicabuli oleh pekerja lain.

Sumber: https://www.ikim.gov.my/ (4 Mac 2022)

Date of Input: 20/09/2022 | Updated: 20/09/2022 | miorazham

MEDIA SHARING

AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER (APSeC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 8005
03-9769 7930
SXFUOAg~