Ada cakap-cakap mengatakan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan latar belakang masih dilihat rapuh meskipun sudah lebih enam dekad negara merdeka dan Malaysia terbentuk.
Dalam landskap sosial semasa, isu kecil dilihat mudah mencetuskan ketegangan kaum apabila dinilai melalui lensa perkauman.
Fenomena ini amat mengecewakan kerana ia berlaku di sebalik pelbagai usaha kerajaan sejak 1970-an untuk memperkukuh perpaduan, termasuk pelaksanaan dasar inklusif seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB).
Antara insiden sering menjadi polemik ialah pemasangan bendera secara terbalik. Namun, ia dilihat lebih ketara sejak beberapa tahun ini.
Insiden itu ada yang didakwa berlaku secara tidak sengaja, sering dilihat dari sudut etnik apabila pihak tertentu menuduh pelakunya, kebetulan daripada kaum bukan Melayu sebagai tidak patriotik atau menghina negara.
Begitu juga dalam isu berkaitan pendidikan, seperti kegagalan pelajar memperoleh tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) dihajatkan.
Situasi ini kadang kala dipolitikkan dan dijadikan bahan perbahasan perkauman meskipun sistem pengambilan pelajar tertakluk kepada pelbagai kriteria merit dan keperluan.
Reaksi masyarakat terhadap isu sebegini sering memecahkan sokongan berdasarkan kaum, lebih-lebih lagi apabila ia dibangkitkan tokoh masyarakat, individu berkedudukan dan orang politik, yang sepatutnya berperanan meredakan keadaan, bukan menambah bara.
Seharusnya, mereka menjadi teladan dalam mempromosikan keharmonian dan mempraktikkan pepatah Dayak, 'hal besai digaga mit, hal mit digaga nadai' membawa maksud 'isu besar dikecilkan, isu kecil dihapuskan'.
Pengalaman 60 tahun jadi pedoman
Selepas lebih 60 tahun meniti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, sudah tiba masanya untuk negara melakukan penilaian menyeluruh terhadap pendekatan perpaduan nasional.
Sebelum 1963, naratif perpaduan tertumpu kepada hubungan antara kaum utama di Semenanjung, iaitu Melayu, Cina dan India, termasuk Orang Asli.
Namun, selepas kemasukan Sabah dan Sarawak, skop perpaduan negara harus diperluas dengan lebih teliti untuk turut merangkumi pelbagai suku kaum dari Borneo.
Ini termasuklah keperluan mengemas kini kontrak sosial diasaskan sekitar 1948. Ketika itu, ia dibentuk oleh wakil Melayu, Cina dan India, namun tanpa penyertaan pemegang taruh dari Sabah dan Sarawak.
Perubahan demografi dan struktur masyarakat hari ini memerlukan perjanjian sosial lebih inklusif, adil dan mengambil kira semua pihak.
Selain itu, objektif dasar kerajaan yang bertujuan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat juga perlu diteliti semula dalam konteks semasa.
Matlamat pembangunan baharu yang lebih saksama perlu digariskan untuk membawa manfaat merentasi sempadan etnik dan wilayah.
Cabaran perpaduan amat luas dan penting. Ia tidak boleh ditangani satu agensi atau kementerian sahaja. Ia memerlukan strategi bersepadu pelbagai kementerian berkaitan seperti pendidikan, ekonomi, agama, budaya dan hal ehwal wilayah.
Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang kini berada di bawah Kementerian Perpaduan Negara wajar diberikan peranan lebih strategik sebagai penasihat utama kerajaan dalam hal ehwal perpaduan. Had sempit peranan kementerian sahaja tidak cukup untuk menangani isu berbilang dimensi seperti ini.
Dalam membincangkan dasar perpaduan, suara pemegang taruh seperti masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli dan komuniti etnik dari Sabah dan Sarawak perlu didengar secara langsung.
Tidak memadai jika hanya menjemput pakar akademik tanpa kehadiran wakil komuniti sebenar yang terkesan oleh dasar ini.
Perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak wajar hanya diraikan dari sudut pengembalian kuasa atau sumber kepada Sabah dan Sarawak semata-mata.
Tumpuan juga perlu diberikan kepada persoalan bagaimana manfaat itu akan diagihkan secara adil kepada rakyat biasa termasuk komuniti Dayak, Melanau dan masyarakat luar bandar yang masih belum menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan rangkaian jalan raya yang baik.
Dalam hal ini, pengukuhan institusi seperti Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) atau pelaksanaan kuasa kerajaan tempatan yang dinyahpusatkan harus diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup semua rakyat, bukan hanya angka atas kertas atau peningkatan hasil negeri.
Kejayaan sesebuah kerajaan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah projek dilancarkan atau pertumbuhan ekonomi, tetapi dari segi sejauh mana manfaat itu dikongsi secara menyeluruh dan tidak terhad kepada kelompok atau kawasan tertentu.
Pada akhirnya, kualiti kepemimpinan perlu dinilai berdasarkan keupayaan untuk membawa kesejahteraan kepada semua rakyat, bukan semata-mata meningkatkan populariti atau imej peribadi.
Rakyat hari ini semakin celik maklumat, kritis dan menuntut ketelusan serta keadilan dalam setiap aspek pentadbiran negara.
Jika pemimpin gagal menggalas amanah diberi, rakyat tidak teragak-agak membuat pertimbangan sewajarnya, sama ada melalui undi mahupun suara kolektif mereka di ruang awam.
Penulis adalah Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Sumber: bharian.com.my (23 September 2025)
Tarikh Input: 06/10/2025 | Kemaskini: 06/10/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia