Dalam sesebuah hospital, keselamatan fizikal adalah aspek penting yang menyumbang secara langsung kepada perlindungan pesakit, kakitangan, aset dan infrastruktur. Salah satu elemen asas dalam sistem keselamatan ini ialah pengurusan kunci berdaftar yang sering dipandang remeh tetapi amat kritikal dalam menjamin tahap kawalan akses yang berkesan.
Kunci Berdaftar
Kunci berdaftar merujuk kepada kunci fizikal yang telah direkodkan penggunaannya,
pemilikannya dan pemindahannya dalam satu sistem pengurusan atau daftar rasmi. Lazimnya digunakan bagi mengawal akses ke lokasi-lokasi sensitif seperti bilik server, farmasi, stor ubat-ubatan terkawal, bilik rekod perubatan dan kawasan kritikal lain.
Jenis-jenis Kunci dalam Sistem Keselamatan Hospital
Pengurusan kunci yang efisien melibatkan pelbagai jenis konfigurasi kunci, bergantung kepada tahap akses dan tanggungjawab pengguna. Antara jenis-jenis utama kunci yang digunakan ialah:-
1) GMK – Grand Master Key
Kunci tertnggi dalam hierarki. Ia boleh membuka semua pintu dalam sistem kunci berstruktur, termasuk semua MK, KA, dan IK. Biasanya hanya dipegang oleh pegawai kanan keselamatan atau teknikal yang diberi kuasa penuh.
2) MK – Master Key
Kunci induk untuk satu kumpulan pintu tertentu sahaja. Contohnya satu MK hanya boleh membuka semua stor dalam Jabatan Farmasi, tetapi tidak untuk jabatan lain.
3) KA – Key Alike
Kunci yang boleh membuka beberapa pintu yang dikonfigurasi sama. Sesuaidigunakan untuk lokasi-lokasi dengan fungsi sama, seperti semua bilik utiliti atau bilik janakuasa di satu aras.
4) IK – Individual Key
Kunci peribadi yang hanya boleh membuka satu pintu sahaja. Digunakan untuk bilik-bilik yang mempunyai satu pengguna tetap seperti pejabat pegawai atau makmal khusus.
Kepentingan Pengurusan Kunci Berdaftar
1) Keselamatan Aset dan Infrastruktur
Mencegah akses tidak sah kepada kawasan penting atau peralatan bernilai tinggi yang boleh menyebabkan kehilangan, kerosakan atau risiko keselamatan.
2) Rekod dan Audit Jejak Akses
Dengan sistem pengurusan yang sistematik, setiap transaksi pinjaman dan pemulangan kunci dapat dijejak menjadikannya mudah untuk melakukan audit keselamatan dalaman.
3) Pemantauan Akses Secara Terkawal
Hanya individu yang diberi kuasa boleh memegang atau mengakses kunci berdaftar sekaligus mengurangkan risiko pencerobohan atau pelanggaran keselamatan.
Tatacara Am Pengurusan Kunci di Hospital
1) Pendaftaran Kunci
Setiap kunci yang mengakses kawasan penting hendaklah didaftarkan dalam sistem fizikal atau digital, termasuk nombor siri kunci, lokasi akses dan pemegang tanggungjawab.
2) Prosedur Pinjaman & Pemulangan
Pengguna perlu menandatangani borang atau log digital semasa mengambil dan memulangkan kunci. Penggunaan kunci untuk tempoh lama perlu mendapat kebenaran khas secara bertulis.
3) Kunci Hilang atau Rosak
Kehilangan kunci wajib dilaporkan segera kepada unit keselamatan atau pengurusan fasiliti. Penilaian risiko akan dilakukan dan tindakan seperti penggantian silinder atau kunci semula akan dilaksanakan jika perlu.
4) Penyimpanan Kunci Utama (Master Key dan Grand Master Key)
Disimpan di tempat selamat seperti peti berkunci dengan akses terhad. Hanya pegawai tertentu dibenarkan menggunakan kunci utama atassebab operasi kecemasan.
Pendigitalan & Inovasi
Kini, banyak hospital beralih kepada sistem pengurusan kunci elektronik dengan integrasi kad akses atau sistem biometrik, yang bukan sahaja meningkatkan keselamatan tetapi juga menambah kecekapan dalam merekod dan mengurus akses fizikal ke fasiliti hospital.
Kesimpulan
Pengurusan kunci berdaftar bukan sekadar urusan teknikal tetapi merupakan elemen penting dalam pelan keselamatan menyeluruh hospital. Melalui pengurusan yang telus, tersusun dan disokong oleh teknologi, hospital dapat memperkukuh kawalan akses fizikal dan seterusnya memastikan persekitaran yang selamat kepada semua.
Oleh:-
ASP/PB Sharman bin Yeop Ismail
Ketua Seksyen
Keselamatan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM
Tarikh Input: 10/09/2025 | Kemaskini: 10/09/2025 | miorazham

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan Malaysia